March 12, 2013

Pelajaran dari sebatang pensil
 
 
Nenek Non sedang asyik menulis sesuatu di meja study cucunya, Yam. Keasyikan itu menarik perhatian sang cucu lantas menyapa, “Ha…nenek mesti tengah tulis pasal Yam kan?”. “Betullah tu…tapi nenek nak cerita yang lebih penting…pasal pensil ni,” balas si nenek seraya mengangkat pensil di tangannya. “Ada apa dengan pensil, nek?” tanya sang cucu.
“Cu, pada pensil ini terdapat pengajaran yang besar. Nenek dapat simpulkannya menjadi lima perkara yang bakal menjadikan hidupmu tenang sentiasa,” si nenek mula bercerita.
Pertama, pensil itu hanya dapat berfungsi dengan baik apabila ianya dipimpin oleh tangan yang mahir. Dengan kemahiran tangan inilah pensil dapat mencoretkan beribu bahkan berjuta huruf yang bercantum menjadi patah kata dan ayat. Ayat itu kemudiannya bergabung menjadi perenggan dan akhirnya berdiri menjadi ilmu. Demikianlah juga hidup kita, sebagai pensil hendaklah kita menurut patuh dengan ‘tangan’ yang mahir mencorakkan huruf, patah kata dan ayat. Dialah Allah yang maha kuasa.
Kedua, pensil dalam jangka masa tertentu barang pasti perlu diraut. Proses meraut ini kelihatannya menyakit dan menyiksaan. Namun proses ini adalah kemestian demi menajamkan mata pensil buat membolehkannya berfungsi semula. Demikianlah hidup kita, ada kalanya kesedihan, kesakitan dan penderitaan datang melanda. Bukanlah Allah itu mahu membeban dan menyiksa kita, bahkan mahu menjadikan kita terus berfungsi dengan baik. Kan tanpa cubaan kita sukar menjadi dewasa?
Pengajaran ketiga ialah tulisan yang terhasil pastilah kedapatan kesalahan. Dan dalam soal ini, tulisan pensil boleh dipadam oleh getah pemadam dan seumpamanya. Begitulah jua kehidupan manusia, pastilah akan berlaku kesalahan dan dosa. Setiap kekhilafan ini pasti sahaja boleh dihapus dengan kemaafan dan taubat. Sebagai pensil, jangan perasan sempurna, tetap sahaja berlaku keterlanjuran dan dosa, hanya perlu guna pemadam buat membetulkan kesalahan.
Seterusnya, kita lihat apa yang tinggal setelah tulisan pensil dipadam? Pastilah ada kedapatan kesan di atas kertas, bukan? Nah, itulah perlambangan bagi setiap kesalahan pastilah meninggalkan kesan, walau telah terampunkan. Maka berhati-hatilah selalu dalam penulisan kehidupan kerana pasti sahaja kesalahan kita, terutama kepada mereka yang akrab dengan kita, terkesan atas kekhilafan tersebut.
Dan akhirnya, jika diteliti pada fizik pensil itu sendiri, apa yang lebih penting pada pensil? Luarannyakah atau arangnya? Pastilah arangnya. Makanya, arang itu terletak di sebelah dalam dan dilindungi kayu yang keras. Inilah perlambangan paling hebat oleh sebatang pensil. Jiwa yang letak duduknya di dalam manusia, itulah yang lebih penting berbanding jasad luaran kita. Boleh sahaja pensil itu berharga puluhan malah ratusan ringgit tetapi arangnyalah yang paling berharga. Andai pensil berharga ratusan ringit namun tidak punya arang di dalamnya, masih berhargakah ia? Begitulah jua ibaratnya manusia, kalaulah sahaja jiwanya kosong, kumul dan bobrok, apakah nilaiannya berbanding penampilan luaran yang serba keren, gensi dan juga moden?
“Maka dengan itu wahai cucu, sentiasalah kita mencari pengajaran dari apa yang ada di sekeliling kita, hatta sebatang pensil. Kerana kitalah pensil itu, diciptakan dengan sebaiknya dan dituntun oleh sang Pencipta, diuji untuk mematangkan dan sentiasalah kita berbuat kesalahan, namun di sana, tetap sahaja ada kemaafan. Namun akhirnya, jiwa kitalah yang menjadi nilaian-Nya. Ingatlah, Allah menyuruh kita sentiasa peka dengan alam dan kehidupan. Di sana pasti kita sedar kemudiannya bahawa tiada suatu pun yang diciptakan sia-sia,” demikian pesan nenek.
 

March 5, 2013



Aku Bercerita

 

 

Buah tangan terkini Ramlee Awang Murshid mengetengahkan pendekatan baru dalam penulisan novel. Masih kuat memegang konsep triller, RAM bukan sahaja menyajikan sebuah, namun lima buah cereka yang bersifat individual namun saling berkait. Lima buah cereka yang berlainan perisa merupakan satu bonus kepada pembaca, kerana setiap satunya membawa latar zaman dan karakter serta isu yang berbeza. Namun semuanya masih sahaja terkait kuat dengan watak “Aku”.
Aku Bercerita (AB) mengisahkan “Aku” , seorang penulis prolifik yang menghabiskan cutinya di Pulau Pinang buat mencari idea tulisan barunya namun seakan terkena sindrom writer’s block. Aku menghadapi kisah aneh apabila mendapati satu persatu cereka terpapar di dalam skrin komputer ribanya. Gaya penceritaannya seakan-akan gayanya, namun bukanlah miliknya. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, cerita itu disalin ke dalam pen drive dan dipadam. Bukan satu, tetapi lima buah cereka. Sekarang hanya hatinya yang menimbang samada mahu menjadikan kesemua cereka itu karya miliknya atau tidak.
Pembaca pasti sahaja terbuai dengan pelbagai genre yang dihidangkan oleh RAM dalam AB. Bermula dengan Bunian, kisah berlatarkan kehidupan zaman 50-an yang masih tebal dengan kisah bunian dan mistik. Gaya bahasa yang sesuai pasti sahaja menyeret pembaca merasai suasana kampung bernuansa aman dan damai sehingga tercetusnya keributan apabila manusia dan bunian menembusi hijab dunia masing-masing. Saya hampir sahaja percaya bahawa Jailani itu adalah manusia…
Cereka kedua adalah Culik. Kisah ini lebih bersifat thriller moden dengan penculikan Lisa, anak tunggal jutawan, Mizwar. Pace cerita ini adalah inti dan nadi kepada Culik sesuai dengan plot yang jelas dan tidak berbelit-belit. Kalau diamati, ada sedikit persamaan dengan 9 Nyawa.
Seterusnya pembaca dihidangkan dengan Cinta Matiku. Berlatarkan tahun-tahun awal selepas Merdeka, Cinta Matiku membawa pembaca mengimbas cinta antara Tahir dan Rukiah. Tahir, anak seorang pemilik ladang kelapa sawit dituduh membunuh Rukiah, cinta matinya. Ah, terus-terusan aku meneka bahawa Rukiah adalah Rukiah, namun dia adalah Kefira Hebrew atau Kalsom atau Rukiah. Disulami sejarah perjuangan Perdana Menteri Malaysia kedua, Cinta Mati juga menceritakan kelicikan gerakan komunis di Tanah Melayu.
Sang Kancil pula mengambil slot seterusnya dalam AB. Umpama membaca kisah dan tauladan, Sang Kancil mengajar dalam diam, menjentik dalam geram dan menggugah dalam leka. Satu ungkapan paling glamer dalam Sang Kancil adalah, “Dalam dunia manusia banyak terdapat haiwan, tapi dalam dunia haiwan tiada terdapat manusia”. Haha…betul juga kan. Sang Kancil menceritakan mengenai Ahmad, seorang anak yang pendiam dan sering disisihkan, namun mempunyai satu kelebihan iaitu baik hati. Atas kebaikannya menyelamatkan sang kancil daripada jerat, dia akhirnya dibawa ke Pelangi Awangan dan mempelajari pelbagai kemahiran dalam dunia haiwan. Kemahiran Ahmad akhirnya berjaya menggagalkan rompakan di bank tempatnya bekerja dan dihadiahi sebuah kereta Kancil.
AB akhirnya ditutup dengan kisah Cut. Tidak sukar ditebak waktu mula membaca cereka penutup dalam AB ini sebagai sebuah babak lakonan apabila jalan ceritanya sangat dekat dengan cerekarama di dalam tv. Mengisahkan perkahwinan Herman dan Cut Asmidar yang diadakan secara tergesa-gesa buat menutup aib keluarga kaya Ibrahim Fakeh yang banyak berjasa kepada Pak Ayub. Sungguh pun sarat dengan emosi, RAM dilihat bijak dengan menggunakan pace penceritaan yang laju dan penggunaan bahasa yang tidak meleret.
Akhir kepada sebuah pengakhiran adalah, siapakah Aku dalan AB apabila pemilik sebenar kelima-lima cereka muncul menuntut haknya.
Secara peribadi, saya merasakan bahawa RAM sememangnya seorang penulis dan penghibur. Beliau membawa gaya penceritaan baharu dalam penulisan. AB bukanlah sebuah antologi walau hampir sama sifatnya. Ini kerana watak “Aku” akhirnya terungkai jua. Dan saya berasakan bahawa AB ini adalah hadiah RAM kepada peminat tegarnya kerana  dia menghadiahi 5 cerita dalam sebuah novel. Hebat bukan?

February 22, 2013


Ilir Ilir

 

Lir-ilir, Lir Ilir (Sayup sayup terbangun)
Tandure wus sumilir (Pohon sudah mulai bersemi)
Tak ijo royo-royo (Demikian menghijau)
Tak sengguh temanten anyar (Bagaikan ghairah pengantin baru)

Cah Angon, Cah Angon (Anak pengembala)
Penekno Blimbing Kuwi (Tolong panjatkan pohon belimbing itu)
Lunyu-lunyu penekno (Walau licin tetap panjatlah)
Kanggo Mbasuh Dodotiro (Untuk membasuh pakaianmu)

Dodotiro Dodotiro (Pakaianmu Pakaianmu)
Kumitir Bedah ing pinggir (Terkoyak koyak di bahagian samping)
Dondomono, Jlumatono (Jahitlah, baikilah)
Kanggo Sebo Mengko sore (Untuk menghadap petang nanti)

Mumpung Padhang Rembulane (Sementara bulan masih terang)
Mumpung Jembar Kalangane (Sementara ruang masih lapang)
Yo surako surak Iyo!!! (Mari bersorak-sorak ayo)

 

 

Sebelum-sebelum ini tak pernah rasanya teringin nak buat sedikit penelitian mengenai sesebuah lagu. Tapi first time dengar lagu ilir ilir ini hati terus terpikat…terpikat dengan suara, muzik dan yang paling mendalam sudah pasti bait bait liriknya. Selidik punya selidik barulah ketahuan bahawa ada yang menyatakan bahawa ianya adalah syair nukilan Kanjeng Sunan Kalijaga, salah seorang wali songo.

Sementelah darah jawa mengalir di jiwa, serasa bahasanya sangat memikat. Pertamanya, semakin jarang dapat mendengar bahasa boso hari ini melainkan daripada warga emas. Itupun kala mereka berbual sesama sendiri. Dalam adat jawa, kalau orang tua berbual, yang muda tidak patut nguping, maka semakin jauh rasanya bahasa ini daripada golongan muda.

Namun saya tetap percaya bahawa kata-kata orang alim itu sangat keramat dan penuh hikmat. Kalau dilihat sahaja bagaimana susunan syair ini, Kanjeng Sunan mengunakan perumpamaan yang sangat dekat dengan masyarakat terbanyak. Lebih kurang begini nasihat beliau;

Bangunlah wahai umat dari tidur yang lena, bangunlah dari kemunduran dan ketinggalan, kerana Allah telah menurunkan Islam yang segar sesegar tanaman yang sedang menghijau. Dan keghairahan manusia yang mengenal Islam itu saling tak tumpah seperti sepasang pengantin baru.

Seterusnya Kanjeng Sunan bernasihat, wahai anak pengembala tolong panjatkan pohon belimbing, walau licin panjatkanlah untuk dijadikan pencuci baju. Wah, mengapakah digunakan perumpamaan manusia ini sebagai pengembala? Mungkin sahaja kita ini pengembala kepada hati nan mulanya liar. Maka sifat liar telah menyebabkan pakaian iman kita menjadi cemar dan kotor. Ubatnya? Panjatlah pohon Islam yang diumpamakan dengan pohon belimbing. Ternyata Kanjeng Sunan sangat bijak dengan memilih perlambangan belimbing yang punya 5 bucu. Bukankah Islam itu terbangun dengan 5 rukun dan ditunjang oleh solat fardu yang 5? Maha Suci Allah.

Pakaian itu koyak di bahagian tepinya. Sesungguhnya benarlah kenyataan bahawa cela dan koyakan kain itu pastilah bermula dari sebelah tepi kerana kita sering mencuaikan bucu kain kita. Dan Kanjeng Sunan memilih perumpamaan ‘dodot’ iaitu sejenis kain yang mahal khusus dipakai ketika menghadap raja-raja Jawa. Ini sangat berbetulan dengan kenyataan bahawa pakaian iman itu adalah sebaik baik pakaian dan paling bernilai kepada manusia samada secara sedar atau tidak. Jahitlah dan perkemaskanlah kain pakaian kita sebagai persiapan kita waktu petang. Ini mungkin sahaja boleh difahami sebagai persediaan kita menjengah hari akhirat nanti.

Dan Kanjeng Sunan mengakhiri syairnya dengan kenyataan bersedialah sementara bulan masih terang dan masa masih terluang. Sekali lagi pemilihan kiasan sementara bulan masih terang membawa maksud sementara kita masih muda, masih cakep dan bergas, dan sementara kita masih punya masa yang banyak. Kan pernah dinyatakan nabi bahawa kelebihan muda itu adalah kesihatan dan kelapangan waktu. Makanya, gunakan sebaiknya kelebihan ini buat memelihara pohon iman kita. Dan pada bait terakhir beliau mengajak agar pendengar menyahut seruan suci ini.

Sesunguhnya saya sangat terkagum dengan kerelevanan syair Kanjeng Sunan dengan dunia hari ini, walau dinukilkan lebih 500 tahun lalu. Dan kekaguman itu saya pulangkan kepada sang Maha Pencipta yang telah mengilhamkan kecerdikan kepada hambaNya, Kanjeng Sunan buat pedoman umat akhir zaman.

February 15, 2013


Hijab Sang Pencinta

 

 

Siri terakhir trilogi epik RAM ini adalah peleraian segala persoalan yang ditinggalkan daripada Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu. Sesuai dengan tajuknya, segala hijab akhirnya terbuka namun diceritakan mengikut batas logika akal. Dan kali ini musuh utama adalah Manggala, manusia serigala berasal dari Tibet yang diangkat oleh Taghut. Sedikit kelainan pada Hijab Sang Pencinta (HSP), Sunan mengembara bersendirian tanpa teman dan berlatar belakangkan belantara Sumatera. Selain itu, HSP masih sarat dengan pertempuran dan pertembungan antara kebaikan dan kejahatan yang seakan tiada berkesudahan sesuai dengan janji iblis hingga ke hari kiamat.
HSP juga membawa kelainan apabila Sunan pula yang hadir ke abad 21 setelah tertidur di dalam gua berdekatan perkuburan bondanya, Sulimah. Hikmahnya, Sunan telah berjaya menyelamatkan Haryani dan Dani daripada bangsa manusia serigala seterusnya menghapuskan baka Manggala, si jenglot daripada hidup semula dengan mencampakkannya ke dalam kawah Gunung Anak Krakatao.
Pada pengakhiran HSP, Sunan telah melamar Haryani sebagai isteri namun ditembak oleh Hamid, pengikut setia Ibnu Misad dan ‘menghantarnya’ pulang ke kurun 15. Ketika itu, Portugis telah melanggar Melaka. Meminjam kata ayah Yam, akhirnya setiap cerita pastilah kematian, begitulah jua HSP. Sunan telah meninggal dan sejarah hidupnya yang sering meningkah kebiasaan mungkin menjadi musabab mengapa tiada catatan mengenai Laksamana Sunan di mana-mana. Ah, sebuah penghidupan serupa Laksamana Sunan tidak memerlukan dendangan sejarah, cukuplah rakaman RAM dalam triloginya.

Sebagai penambah perisa, RAM memasukkan watak Gimbaran, Awang Bagan, Putri Kober Gindring dan Saliha. Juga sedikit kisah bagaimana Hang Tuah dapat merampas keris si Taming Sari daripada perajurit tua  Majapahit yang sedang mengamuk itu. RAM juga tidak lupa membuat homework mengenai lokasi-lokasi di Sumatera seperti Palembang,  Tulang Bawang atau Sai Bumi Ruwa Jurai dan suku bangsa seperti suku Sebatin dan Pepadun.
Kesimpulannya, trilogi ini selayaknya diangkat sebagai kerja tangan epik RAM kerana aliran ceritanya ibarat air sungai dari pergunungan. Ada kalanya mengalir deras, ada kalanya merbahaya ketika melalui jeram dan lubuk, ada kalanya tenang dan mendamaikan, namun air itu tidak pernah berhenti mengalir dan terputus. Banyak ranjau yang menghalang aliran ini, namun sungai tetap berjasa kepada kehidupan, walau budinya sering dilupakan. Begitulah ibaratnya Saifudin alias Laksamana Sunan. Andai ada di kalangan penggiat seni yang masih mencari manuskrip kisah pengembaraan untuk diangkat ke layar perak, inilah jawabannya. Kerana trilogi ini setanding Lord of the Ring, bahkan lebih hebat lagi.

January 29, 2013


Kekalutan dalam isu penggunaan kalimah Allah kepada selain Islam

Situasinya ketika minum petang di sebuah majlis selepas solat Jumaat.

Ahli politik: Saya tak ada masalah bila ada pihak bukan Islam yang mahu menggunakan istilah Allah bagi menggantikan kalimah Tuhan. Apa masalahnya? Itu kan istilah universal yang patut dibenarkan untuk digunakan oleh semua orang…

Sorang lagi ahli politik yang kelihatan lebih ‘islamik’: Betul tu YB. Kita baca dalam quran, surah alfatihah, ayat pertama; “Maha suci Allah tuhan sekalian alam”. Nah, sudah jelas menyatakan bahawa Allah itu adalah tuhan sekelian alam, bukan hak esklusif orang Islam. Kita sahaja yang masih belum terbuka dengan situasi seperti ini. Saudara-saudara kita di Indonesia dah lama benarkan penggunaan kalimah ini.

Bupati: Saya tak setuju. Memanglah kalimah Allah itu menunjukkan Dialah Allah tuhan sekalian alam dan ini sudah pastinya termasuk orang bukan Islam. Tetapi tuhan yang dirujuk oleh orang bukan Islam (khususnya Kristian) bukanlah Allah, satu-satunya tuhan kepada orang Islam.

Jurutera: Saya sokong pendapat bupati. Saya juga tidak bersetuju sekiranya orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah bagi merujuk tuhan. Saya berasal dari Sarawak dan saya telah lihat kesan daripada penapisan yang lemah di dalam menterjemah Bible ke dalam Bahasa Melayu. Ramai saudara baru yang terpesong akidahnya dan bertukar ke agama Kristian, bahkan ada orang Islam yang berani mempersoalkan akidah Islam kesan daripada kekeliruan ini.

Bupati: kalaulah kalimah Allah itu tidak significant, boleh dikongsi oleh mana-mana agama, dan sepele di dalam Islam, kenapa kita kena menyebut nama Allah ketika mahu memeluk Islam dalam syahadah? Kenapa tidak sahaja ucap “Tiada tuhan selain God?” bahkan saat mahu mati sekali pun, apa yang dibisikkan ke telinga kita adalah kalimah Allah…

Ahli politik yang kjelihatan islamik tadi: Kalau macam tu, kenalah tukar lagu negeri yang sebut perkataan Allah kerana ianya dinyanyikan oleh bukan Islam.

Kepala kantor sebuah pbt: Sudah-sudahlah tu…ini perkara kecil. Tak perlulah kita berbahas pasal perkara ini. Sebenarnya ada pihak (kerajaan) yang sedang berusaha mengalihkan isu dan cuba memecahkan kerajaan negeri…tak ada apa yang perlu dipertikaikan, asal sahaja akidah kita kuat, nama apa sahaja pun yang merujuk kepada tuhan boleh digunakan oleh sesiapa dan di mana-mana pun.

Tak lama lepas tu, sahabat saya bertanyakan pendapat saya mengenai isu ini. Ini jawapan saya:

Kalimah Allah adalah kalimah daripada Bahasa Arab. Kita sebagai umat Islam lebih mengutamakan kalimah Allah berbanding kalimah God atau seumpamanya seperti agama lain walaupun secara amnya ianya bermakna tuhan. Kenapa Allah? Kerana Allah itu merujuk kepada tuhan yang esa. Cuba kita lihat kepada kalimah God itu sendiri, kiranya ditambah huruf ‘s’, maka ianya akan bermakna banyak tuhan (Gods). Andai ditambah ‘ess’ akan menjadi Goddess bermakna tuhan perempuan. Tetapi kalimah Allah itu tidak pernah mungkin boleh ditambah dengan apa-apa penambahan sesuai dengan sifat Allah yang maha esa.

Kedua, Dr Zakir Naik mencadangkan agar digunakan satu test samada ‘tuhan’ seperti difaham di dalam agama selain Islam untuk disamakan dengan Allah melalui surah al Ikhlas.

                Pertama: “Katakanlah (Muhammad) Allah itu maha esa”. Esa tu maknanya tunggal, tiada dua dan seterusnya. Jadi mana-mana tuhan yang dirujuk oleh mereka ini hendaklah tunggal. Janganlah kalau ada konsep trinity, konsep deity, konsep dewa-dewa dan sebagainya nak disamakan dengan konsep oneness of God, jauh lagi nak guna kalimah Allah kerana ‘tuhan-tuhan’ ini sememangnya bukan Allah.

                Kedua: “Allah tempat bergantung segala sesuatu”. Bermakna segala makhluk sentiasa memerlukan Allah samada untuk hidup di dunia mahupun di akhirat. Allah yang maha memberi rezeki, yang menentukan qada’ dan qadar, serta maha menghidup dan mematikan. Kalaulah boleh dibuktikan bahawa tuhan-tuhan mereka ini boleh menjadi tempat bergantungnya segala makhluk, maka umat Islam tiada keberatan untuk membenarkan ‘tuhan’ mereka ini dipanggil Allah.

                Ketiga:”Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan”. Bermakna Allah itu tidak mempunyai anak dan tidaklah Dia mempunyai ibu dan bapa. Secara ringkasnya test ini menolak konsep trinity, dualism dan animism. So, apa lagi hujah mereka nak menggunakan kalimah Allah buat merujuk kepada tuhan?

                Keempat: “Dan tidak ada sesuatu pun yang boleh disekutukan kepada-Nya”. Ayat ini bermakna andai ada sesuatu yang dapat disamakan bahkan diumpamakan seperti Allah, maka itu bukanlah Allah. Atau dengan kata lain, andai tuhan itu boleh dizahirkan seperti material, batu, kayu, emas, logam atau tuhan seperti sesuatu yang seni seperti air, udara, cahaya mahupun api, atau sesuatu yang tidak dapat dilihat, didengar dan dirasa seperti roh, itu bukanlah Allah. Bahkan apa-apa yang dibandingkan dengan sifat tuhan seperti “kekuatan tuhan adalah 1000 kali ganda kekuatan Arnold Schwarzenegger” juga menunjukkan ia bukanlah Allah.

 

Persoalannya sekarang ialah, mengapakan sekarang ini ada pihak yang mahu menggunakan kalimah Allah buat merujuk kepada God di dalam terjemahan Bible. Dan yang lebih menghairankan ianya dibangkitkan oleh seorang penganut agama Buddha, bukannya Kristian. Dan yang lebih menghairankan ada di kalangan umat Islam sendiri yang beria-ia mempertahankan permintaan bukan Islam ini atas nama toleransi beragama. Come on la, kalau sahaja golongan Muslim ini sesensitif isu babi…

Gadis Kecil di Pinggir Gaza


Namanya Palestine, hanya Palestine. Sesuai dengan nama tanah tumpah darahnya yang sedang dijarah oleh bangsa Israel yang terlaknat. Kisah hidup Palestine saling tak tumpah seperti tanahairnya, penuh kesedihan dan kesengsaraan.

Palestine pernah punya keluarga, punya ayah, ibu, abang dan juga kakak. Suatu hari Bandar tempat tinggalnya dibedil Israel. Sorayya, si ibu, Ahmeed, si abang dan Zahra si kakak terkorban di bawah puing-puing runtuhan rumah. Cuma tinggal Palestine yang baru berusia 10 tahun, cuma sempat mengambil cincin di jari jenazah ibunya buat tanda bahawa dia pernah punya family. Palestine dibawa ke kem Jabaliyyah.

Di Jabaliyyah Palestine bertemu Yanaan dan Adeeba. Adeeba punya kelebihan melihat beberapa perkara terkehadapan, namun usianya yang terlalu muda menjadikan omongannya sekadar ocehan kanak-kanak yang mengalami trauma akibat peperangan. Palestine berbeza dengan kanak-kanak seusianya. Dia lebih berani dan nekad. Tekad mahu berjumpa bapanya, Yahdeed Haidar, seorang pejuang Hamas. Dan begitu juga sebaliknya, Yahdeed hanya mahu berjumpa satu-satunya keluarga yang masih hidup di muka bumi ini.

Dugaan demi dugaan menimpa Palestine, dan keberanian anak kecil ini bersemuka dengan askar Israel menyebabkannya ditembak. Ditembak tepat di dadanya…dalam jarak dekat. Laknatlah ke atas Hebrew, askar wanita Israel yang tega menembaknya. Palestine koma dan Yahdeed berjaya menemuinya di hospital secara menyamar sebagai orang awam. Namun tertangkap dek askar Israel ketika Yahdeed mencari air buat menghilangkan dahaga anaknya yang baru sedar dari koma.

Maka ujian semakin berat menekan Palestine. Anak ini sanggup bertemu Hebrew semula untuk membawanya bertemu sang bapa. Namun apakah tidak bernama Yahudi jika tidak memungkiri janji. Palestine dibawa ke Jerussalam dan dikerah bekerja di dalam penjara. Kemudian ditinggalkan di tempat terpencil dengan tangan, kaki dan mata terikat. Sehinggalah datang bantuan Allah melalui seorang bekas tentera wanita Israel bernama Abigail yang membawanya ke Masjidil Aqsa. Kemudian Palestine dikutip Hajna, si nenek baik hati yang mana anak dan menantunya dipenjara bersama Yahdeed.

Sedikit kegembiraan buat Palestine pabila sempat berutus sepucuk surat kepada bapanya melalui Dalaj, anak kepada nenek Hajna tetapi malang tetap mengejar Palestine. Dalaj dihukum tambahan setahun penjara akibat surat Palestine dan dia dihalau dari rumah nenek Hajna. Kini Palestine terkontang kanting seorang diri di Jerussalem tanpa pelindungan. Sehinggalah dia diambil Moniroth, seorang sukarelawan dari Rusia dan dibawa balik ke Jabaliyyah.

Kerinduan Palestine kepada bapanya tidak pernah padam, saling tak tumpah seperti kerinduan bangsanya kepada keamanan. Begitulah juga keadaan bapanya di dalam penjara. Cuma seketika sempat bertemu si adik, Sarah Hanabi yang diseksa dan akhirnya meninggal dunia. Maskobeyya sangat kejam…membunuh tanpa peri kemanusiaan. Laknatlah ke atas Israel. Sarah hanya sempat menulis wasiat buat Yahdeed dan Palestine.

Nasib Yahdeed tidaklah lebih baik daripada Sarah, diasingkan di sel tahanan yang gelap, sempit, bersebelahan dengan kandang anjing yang dibiarkan kelaparan. Hanya diberi makan 3 hari sekali…

Dan Palestine? Kesihatannya mulai merosot. Lukanya yang belum benar-benar sembuh menyebabkan dia dihinggap penyakit berkaitan paru-paru. Ditambah dengan kerinduan yang sangat berat, Palestine menjadi semakin pendiam…biar terhadap Yanaan, teman baik yang mula menaruh hati kepadanya.

Suatu hari janji Allah tertunai jua. Yahdeed ditemui meninggal dunia oleh pengawal penjara secara mengenaskan. Meninggal dunia dimakan anjing yang sedang kelaparan, sedang dia sudah tidak berdaya melawan. Hanya dua pucuk surat daripada Sarah sebagai wasiat kepada Palestine. Itu pun sempat diserahkan kepada Dalaj saat dia dibebaskan. Dan Palestine tidak pernah sempat membacanya kerana dia juga telah menghembuskan nafas terakhir dalam kerinduan. Rindu kepada sang bapa, rindu kepada keluarga dan rindu kepada Palestine yang aman…

Sesungguhnya membaca buku kecil ini benar-benar menginsafkan akan nilai keamanan, kemanusiaan dan yang paling utama kesucian Islam. Di Palestine, mereka tidak sempat sibuk dengan gajet dan kemewahan, tidak pernah sempat bermasam muka dan bersengketa dengan jiran, bahkan tidak pernah sempat berbalah mengenai politik. Apa yang dicari adalah bagaimanakah cara untuk mempertahankan tanah mereka dari terus dijarah oleh Israel. Tetapi kita…Sedarlah wahai teman, ambillah kisah Palestine sebagai pengajaran, Palestine sebagai sebuah Negara dan sebagai seorang anak kecil.

January 25, 2013


Cinta Sang Ratu

 

 

Bahagian kedua trilogi epik RAM ini diteruskan dengan perbagai kisah mistik dan keajaiban. Masih berkisar seputar kisah Laksamana Sunan sebagai tunjang utama yang telah terpisah dengan Haryani dek hijab zaman yang amat jauh, Haryani masih kukuh cintanya kepada Sunan dan menolak cinta Dani, keponakan Sunan sendiri. Akibatnya Dani menjeruk rasa membawa diri ke Acheh demi mencari susur galur keturunannya di sana, sedangkan Acheh kemudiannya dilanda badai tsunami. Sekarang, Dani pula yang terperangkap di kurun ke-15!

Haryani terpaksa menjejak Dani atas rasa bersalah yang kemudiannya menjebak keduanya di desa sumpahan serigala jadian, Manggala. Sementara itu, Sunan telah tercedera akibat panahan sihir Ratu Sulaman waris kerajaan Pulau Utara. Demi melihatkan ketinggian akhlak dan keluhuran pegangan Islam yang ditunjukkan Laksamana Sunan, akhirnya Ratu Sulaman terpikat dengan Islam dan dinikahi Laksamana Sunan sendiri dan menggunakan nama Ratna.

Namun, bukan hidup jika sunyi daripada ujian. Maharani Pulau Utara, bonda kepada Ratna telah berjaya menculik dan menyihir Ratna kembali menjadi Ratu Sulaman menggunakan tahi besi dari Gunung Bromo, dan semestinya melalui bantuan Taghut. Kisah usaha Sunan menyelamatkan Sang Ratu mendominasi bahagian kedua ini. Selajur, watak seperti Kastiwara, Sadik, Ranggas dan pelbagai makhluk dongeng seperti ikan duyung dan polip muncul mendokong watak Sunan. Pelbagai keajaiban terus memukau pembaca persis sebuah ‘great bedtime story’. Dan RAM menyusun keajaiban ini penuh teliti menerbitkan rasa cemas dan intuitif yang tinggi sehingga pembaca tidak sabar menyelak ke helaian terakhir. Bayangkan sahaja saya menyudahkan bahagian kedua ini dalam masa sehari!

Ringkasnya, Cinta Sang Ratu layak diletakkan di pertengahan kembaran trilogi ini. Pelbagai keanehan, keajaiban dan kesaktian ditonjolkan oleh RAM tanpa melupakan nasihat tauhid, akhlaq dan ibadah. Tahniah buat RAM dan saya tidak sabar untuk memulakan membaca pelengkap trilogi ini, Hijab Sang Pencinta.

Bagaikan Puteri

 

 

RAM membawakan mesej yang amat serius di dalam trilogi kali ini. Ya, trilogy bermaksud tiga buah novel yang saling berkait dan perlu dibaca bersama. Untuk itu, aku telah mempersiapkan diri dengan membaca lima buah karya beliau terlebih dahulu. Ibarat appetizer sebelum menyantap hidangan utama.

Laksamana Sunan, sebuah nama yang mendominasi Bagaikan Puteri (BP) dan dua buah novel kembarannya selepas ini. En Fakerol dulu pernah berkata beliau amat tertarik dengan karekter Laksamana Sunan dan mahu hidup sepertinya. Dan BP telah memperkenalkan aku dengannya. Seorang sufi yang hebat ilmu persilatannya, tinggi ilmu agamanya dan yang paling penting, keluhuran akhlak dan kelakunya. Hidup di penghujung kurun ke-15, Laksamana Sunan tidak pernah menyangka akan jatuh cinta kepada Hayani, gadis dari kurun ke-21 yang terperangkap di zamannya sewaktu koma.

RAM sendiri secara terang-terangan menyatakan bahawa BP bukanlah kisah sejarah tetapi pendekatan sejarah dan mitos, lagenda dan kesaktian adalah ramuan utama keunikan karya kali ini. Beliau bijak memilih latar keagungan empayar Melaka bagi menghidupkan watak Sunan itu sendiri. Begitu juga dengan keperkasaan Sunan menentang dunia kejahatan bermula dengan Buragas, Purba Hitam, Nyi Burga Klara dan akhirnya tewas kepada Ratu Sulaman. Tewas? Jarang pembaca dapat menerima kenyataan itu, tetapi itulah yang tercatat di penghujung BP.

Secara peribadi saya merasakan RAM berani ‘bermain api’ dengan watak dan sejarah. Masakan tidak? Ikon seperti Sultan Melaka, Dato Bendahara dan Hang Tuah sendiri disebut tanpa sembunyi. Namun atas nama ‘cereka’ kita boleh sahaja berkompromi kerana cereka itu sendiri adalah cerita yang direka-reka. Saya suka semangat Laksamana Sunan, sanggup berbakti kepada orang tua, berkorban demi kekasih dan berjuang demi Acheh, negeri tumpangannya. Tetapi saya yakin, peristiwa kematian Sunan di tangan Ratu Sulaman bukanlah suatu pengakhiran kerana kebenaran dan kebaikan pasti akan menang, walau ditangguhkan.

Ada sedikit kekhilafan di dalam penyusunan kisah BP kali ini, iaitu pada awalnya dikisahkan Melor, cinta pertama Sunan mempunyai seorang anak perempuan tetapi di pertengahan cerita dikisahkan pula anaknya adalah lelaki. Pun begitu, kekhilafan itu adalah manusia dan tiada siapa yang tidak dapat memaafkan fakta ini.

Saya suka dialog Sulimah, ketika Sunan menyentuh wajahnya buat kali pertama, “Tidak ada seorang lelaki yang mahu menyentuh wanita setua aku kecuali suamiku sendiri dan…”, “…dan anaknya sendiri,” sambung Saifudin. Ah, persis dalam Kabhi Kushi Kabhi Gham…

January 7, 2013


9 Nyawa

 

 

Membaca 9 Nyawa sangat mengujakan perasaanku. Kulit depan ada gambar mata kucing, sinonim dengan mitos kucing punya 9 nyawa, barangkali. Aku suka 9 Nyawa kerana plot ceritanya pantas, biar sebentar flashback, ke hadapan, flashback dan kembali ke masa sebenar, ianya tidak memenatkan, bahkan menghiburkan. Maybe dah biasa dengan Fiksyen 302. Opss, tak patut banding-bandingkan karya RAM kerana semuanya adalah bagus.

Peneraju utama 9 Nyawa adalah Hakim yang buta penglihatan zahir  tetapi celik mata hatinya. Diberi anugerah mampu berinteraksi dengan mereka yang terperangkap di alam koma atau dimensi ‘ambang kematian’. Dari situ Hakim bertemu Intan Suryani, pewaris tunggal D’Diamond yang mempunyai asset billion ringgit. Kenapa kedua-dua watak ini penting? Kerana segalanya berlegar seputar kisah mereka.

Meski, aku lebih suka watak Khairil aka Carl, si antagonis. RAM sangat bijak menyembunyikan Carl sehingga babak-babak terakhir ibarat saving the best to the last. Haha, kiranya Carl tidak terkalah dengan kejahatan watak Zonan dalam 302. Mungkin suatu hari nanti RAM boleh mengumpulkan watak-watak antagonis ini membentuk evil pack yang sangat mastermind.

Apa pun, 9 Nyawa tetap cukup ramuan untuk diangkat ke filem andai masih ada penggiat seni yang percaya bahawa karya yang baik tidak semestinya terikat dengan selera melankolik dan ayat cair mencair sahaja atau rempit merempit yang tak sudah sudah. Tiada komen mengenai 9 Nyawa Cuma barangkali tak perlu meletakkan wajah mana-mana watak di muka kulit kerana aku rasa watak yang wujud dalam imaginasi pembaca cukup ‘istimewa’ dan tak perlu dipaksa-paksa tak kira samada pemain utamanya mahupun pemain pembantu.

Sekarang baru kutahu ketaksuban fanclub RAM.

fiksyen 302


Fiksyen 302 “Jangan Percaya”


“Lain kali habis jer baca, terus buat review. Kalau tangguh-tangguh takut terlupa”. Itulah nasihat hatiku tiap kali usai membaca. Tapi akalku menjawab, “Itu kalau tulisan biasa…ini Ramlee Awang Murshid punya werk tau…terkecuali.” Haha, memang RAM penulis berbeza, atau lebih tepat ‘unik’. Unik kerana…

RAM sangat rajin buat homework dalam setiap buah tangannya. Buktinya, beberapa info mengenai perubatan, psikologi, perundangan, kepolisan dilihat sangat berkesan. Itu belum lagi melihat kepada plot dan jalan cerita, perkembangan watak dan transisi peristiwa.

Pendekatan cerita melalui kaedah imbas kembali (flash back) dan ke hadapan menjadikan perubahan masa selama 20 tidak terlalu ‘diada-adakan’ atau artificial. Walaupun teori quantum leap itu macam dah diperkenalkan dalam cereka “Back to the Future”, tetapi Fiksyen 302 langsung tidak dipengaruhi rencah filem tersebut. Bahkan Fiksyen 302 lebih santai, lebih munasabah dan diterima dek akal. Subjek tak perlu naik kereta berkelajuan tinggi untuk pergi ke masa silam dan pulang ke masa hadapan seperti di dalam cereka, sekadar menekan bulatan di tapak tangan yang dilukis menggunakan marker pen! Hebat bukan?

Fiksyen 302 juga tidak terlalu membebankan pembaca dengan plot serta watak yang berbelit-belit. Cukup sekadar anda ‘memegang’ watak Dato Mahali, Norhafiza Izura, Farid Jaah, Lan Lani dan Dr Rozlina (lihat…saya dapat mengingatnya tanpa melihat kembali 302) dan anda akan tetap mengikuti cerita ini tanpa sesat. Sememangnya dendam itu ibarat api membakar sekam, kerana dendam itu terus membara biar telah berlalu sekian lama, biar musuh telah menerima balasan dan dendam juga memusuhi kebenaran.

Sesungguhnya watak pembantu juga berperan menjadikan sesuatu cereka itu lebih berjaya. Dan RAM mencipta mereka penuh berhati-hati sehinggakan tidak perlu terlalu ramai ‘pelakon pembantu’. Penggunaan bahasa yang mudah juga menjadikan kita tidak hilang fokus, sesuai dengan tema thriller 302. Tagline “jangan percaya” pula mengingatkan kita jangan terus percaya dengan apa yang anda ‘telah’ baca kerana apa yang ‘akan’ anda jumpa adalah sesuai di luar duga.


Adalah menjadi harapan saya agar novel ini diangkat menjadi satu filem suatu hari nanti. Iyelah, daripada asyik mengangkat tema cinta yang semakin meleret-leret ke layar perak tempatan, apa kata kita cipta pula tema thriller. Eh, Fiksyen 302 pun tak kalah tau dengan idea luar…kerana RAM sememangnya raja dalam wilayahnya.

Rayyan Fantasi

Kenangan zaman kanak-kanak yang meminati cereka mengenai makhluk asing menyerang bumi seperti ‘V’ menjadikan aku tertanya-tanya, “Apakah mungkin makhluk asing mendarat di Malaysia?”

Dan membaca Rayyan Fantasi (RF), Ramlee Awang Murshid (RAM) bukan sahaja membuktikan setakat mendarat, tetapi ‘menculik’ kita ke satu planet mereka iaitu Yuk’kaa. Tanpa mengorbankan banyak neuron otak untuk memahami  terminologi yang ntah apa-apa, RAM membawa kita dari pergunungan di Sabah, kampus UKM di Bangi dan Yuk’kaa dengan penuh rela. Satu persatu sejarah hidup Aiddin bersama ayahnya, Ibrahim akhirnya tersingkap sehingga membuktikan bahawa mereka adalah sebenarnya alien.

Seperti biasa, RF juga di’bumbu’ dengan elemen kelebihan makhluk asing berbanding manusia bumi, kisah peperangan menentang Singgora dan elemen percintaan Aiddin @ Rayyan dengan Feena buat menjadikannya suatu hidangan eccentric. Sesungguhnya, RAM memang hebat menambat minat pembaca agar terus terusan menyelak helaian demi helaian sehingga ke muka surat terakhir.

Secara peribadi, RF adalah suatu usaha RAM membawa genre yang kurang diteroka penulis tempatan. Hanya mungkin, pada awalan kisahnya plot cerita agak mendatar dan perlahan. Ah, barangkali ia disengajakan untuk melihat sesetia mana peminat RAM melayan setiap karyanya.

“Another good reading, kudos!” 

December 5, 2012

Tabayyun 2


Dia: Ammar Singh, seorang journalist akhbar tabloid. Kalau ikut jawatan, nampak gah tapi entah kenapa masih belum terkenal seperti Karam Singh. Hari ini dia sampai lewat ke tempat kejadian, macam selalu. Melalui tweeter yang entah daripada siapa, Ammar Singh terus ke Jalan Yuda. Katanya ada berlaku kemalangan melibatkan kematian.

Orang ramai berkerumun, sesak lagi menyesakkan. Ammar cuba menyusup ke depan, nak dapatkan coverage lebih jelas, tetapi badannya yang ‘sedap’ memustahilkan niatnya. Tertolak kembali ke belakang, dek kesesakan khalayak. Ammar termenung sejenak, benaknya ligat mencari jalan bagaimana mahu ke hadapan.

“Ketepi, ketepi, bapak mangsa nak lalu,” seru Ammar Singh dengan suara besarnya. Semua ketepi, memberi laluan. Anehnya semua mata merenung kehairanan. Ammar berjalan megah, taktiknya berjaya. Tetapi kemegahan itu tidak lama, sirna bersama pemandangan di hadapan matanya. Kelihatan seekor monyet penyet di bawah tayar lori. Hanya tangan yang masih kelihatan. Wajah Ammar memerah. Kedengaran suara-suara berbisik, ”Tak sangka ada monyet berbapakan orang ye…”. Itulah akibatnya kalau kurang prinsip tabayyun.

November 2, 2012


The king of torts

 

I feel obliged to finish this Grisham's work as it is a gift from my wife. To be frank, I take longest time to digest the story as I have to juggle between the plot, the terms and the characters. It is a story of a young DC lawyer who happens to change his simple life to a mass tort claims worth billions against giant pharmaceutical companies, representing thousands of clients across the country. Clay Carter, as his name, had become the youngest king of torts within 18 months collecting billions from the cases. The scene of a wealthy (lavish, I would say) lifestyle with big boy toys like the jets, boats, yachts, mansions, bourbons, mistresses, and the list continues, dominated the story. Mass tort claim finally fall as the other lawyer brought the issue of ethics, their greed to settle things fast and collecting fat legal fees denying the real interest of the client. And Clay ends his legal career as a bankrupt.
 
What I like about this work is how mundane a person can be, from a simple man, struggle to be rich and famous, to prove to others, to be on the top, to greed, to be spendthrift, and to be fall and hated. But at the end of the day, he only needs an apartment and a lady he love, and few loyal friends to spend the rest of his life. Oh, maybe I need to settle down with Grisham for some time as this is heavy, or perhaps I am getting old. But I never hate him.
 

October 11, 2012

Bodo Melantun Lantun

Entah kenapa ada manusia yang bukan setakat bodo tapi sampai melantun lantun. Kepada yang berkenaan and fall under this category (kebodohan tahap gila khinzir) cepat-cepatlah bertaubat sebelum nyawa sampai di halkum...bukan apa, anda hanya menyusahkan orang sekeliling anda...(catatan emo)

July 18, 2012



I should give A+ for the creativity answer


Below are the answers that is logic but never make you score a high mark.

1. In which battle did Napoleon die?
His last one.

2. Where was the Declaration of Independence signed?
On the bottom of he page.

3. River Ravi, flows in which state?
Liquid state.

4. What is the main reason for Divorce?
Marriage.

5. What is the main reason for Exams?
Failure.

6. What can you never eat for Breakfast?
Lunch and Dinner.

7. Who looks like half an apple?
The other half.

8. If you threw a red stone into the Blue Sea, what will it become?
Simply, a wet stone.

9. How can you lift an elephant with one hand?
You can never lift an elephant that has one hand.

10. If you had 3 apples and 4 oranges in one hand and 3 oranges and 4 apples in the oher hand, what would you have?
Very big hands.

11. How can a man go 8 days without sleeping?
Easy, sleep at night.

12. If it took 8 man 10 hours to build a brick wall, how long would it take to 4 men to build it?
No time at all, the wall was already built.

13. How can you drop of raw egg onto a concrete floor without cracking i?
Anyway you want it, because a concrete floor is very hard to crack.





June 28, 2012

Pesan Bulan Syaaban

Seorang lelaki bertanya: "Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar menghadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.
Kemudian baginda menjawab:
"Sekiranya benar seperti yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah selagi mana engkau berada dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu". Hadis riwayat Muslim.

Maka bersabarlah di atas perbuatan buruk saudara kita dan sentiasalah berusaha untuk menyambung silaturrahim. Kerana Allah bakal mengganjar dengan sebaik-baik ganjaran.

June 26, 2012

Suits

Suits


Ntah kenapa akhir-akhir ni aku terminat sangat nak follow tv series Suits. Besides genre legal issues, bila ditilik-tilik, akhirnya barulah terperasan rupanya jalan cerita siri ini ada sikit persamaan dengan politik di pejabatku.

Harvey Spencer


Oklah, pertamanya, Harvey Spencer memang superb. Coolethical dan kadang-kadang stone. Aku nak sangat jadi cam Harvey, tapi tak boleh kut, sbb karekter untuk post aku tak membenarkan aku jadi cam dia. Tapi kedudukan dia sebagai senior associate dalam Pearson Hardman yang sentiasa dicemburui oleh associates lain especially si Louis Litt tu memang berlaku dalam opis aku. Ok, Harvey adalah chief plb dan Louis ialah chief kp, puas?


Louis Litt


Kemudiannya adalah Mike Ross. Well, dia pun best jugak, ada kelebihan photographic memory yg sangat hebat, rajin dan rasanya cuma dia yang boleh follow cara kerja Harvey. Louis sangat bengkek dan sentiasa cari peluang nak dptkan Mike sebagai assistant. Eh, bukankah itu yg Louis usahakan sangat2? (saya merujuk kepada Louis di opis saya ye). Dan Mike itu adalah assistant di plb.

Mike Ross


Akhirnya ialah Jessica Pearson. Well, dialah big boss Pearson Hardman. Tegas dan sentiasa bijak mengurus the firm, especially mengawal 'pertelingkahan' antara Harvey dan Louis. Cuma boss kat opis aku adalah seorang lelaki. Dan kasihan beliau kena uruskan 'pertelingkahan' antara Harvey dan Louis di opisku selalu.


Jessica Pearson

Bila dah tau sinopsisnya, mudahlah aku nak cerita. Suatu hari si Louis telah menyuarakan keinginannya untuk mengambil 'tempat' si Harvey dalam mesyuarat pagi. Bila aku katakan 'tempat', aku benar-benar maksudkan jawatan dan pejabat. Ini terbukti pada satu peristiwa si Louis membawa pegawai daripada audit negara melawat plb instead of pejabat dia sendiri. Siap bangga cakap betapa besar dan tersusunnya pejabat si Harvey.

Dan kemudian si Louis telah dengan tak malunya menyatakan bahawa dia tidak pernah menerima anugerah apc sepanjang perkhidmatannya. Alahai, that's so Louis la...apc tu dianugerahkan...itu sebab nama dia anugerah, bukan didapatkan dengan cara permintaan...Maka pada Rabu ini Louis akan dianugerahkan dengan apc, tapi adakah org ramai akan meraikannya? Haha, Louis...Louis...

Kadang-kadang aku kesian tengok Louis, nak sangat seorang ado, lagi-lagi yang setaraf ngan Mike. Iyelah, selama ini dia sentiasa dilihat dikunyit-kunyitkan oleh orang bawahannya. His ignorance in kewangan, pengurusan dan HR, menjadikan dia sangat tidak berfungsi berbanding cik moron, kak bus dan kak som. Dan Louis mengambil keputusan untuk merebut 'tempat' Harvey. Mari kita nantikan pengakhirannya... 


May 17, 2012

Ma Yan

Seorang penulis yang berkesan seharusnya bukan sahaja mampu mengikat pembacanya kepada karya dengan kejap. Bahkan lebih daripada itu, penulis seharusnya mampu membawa pembaca sama-sama berkongsi rasa dan idea melalui karyanya. Maka seharusnya susun bahasalah pemain penting dan wahana utama ke arah itu. Pun begitu, menurut aku, penulis yang mampu menjadikan pembacanya membuat homework setelah usai membaca sesuatu karya itu adalah seorang penulis yang extra berjaya. Dan kisah Ma Yan ini adalah salah satu contoh yang baik.

Ma Yan aku beli beberapa bulan yang sudah. Mujurlah novel ini bukan seperti makanan, kalau tidak, pastilah Ma Yan telah basi dan busuk. Kelelahan menjalani kehidupan memojokkan Ma Yan seketika daripada prioritiku. Kasihan, tapi tak mengapa, sesuatu yang istimewa seharusnya dinikmati secara penuh santun dan tidak terburu-buru. Begitulah layananku terhadap Ma Ya (hehe, alasan).

Membaca kisah Ma Yan membikin aku jadi serba salah. Mana tidaknya, ianya adalah peristiwa benar yang berlaku di sebuah desa yang sangat mundur di Negara China, dan ianya berlaku pada zaman ini. Kemiskinan yang amat dahsyat tatkala China dilihat sangat maju di sesetengah kawasan. Ma Yan yang tersepit di antara kemiskinan, harapan untuk berubah dan mengubah, serta adat setempat yang bersifat chauvinist menyiat satu persatu harapan gadis kecil ini. Ah, kemiskinan itu kadangkala dilihat amat zalim tetapi kemiskinan adalah kesan dan akibat, pastilah ada puncanya dan tentunya terkait rapat dengan spesis bernama manusia itu.

Ma Yan menampilkan karekter berkesan seorang anak perempuan yang gigih menuntut ilmu atas kesedaran bahawa ilmu itu adalah pintu keluar daripada kemiskinan, kemunduran dan penindasan. Demi mempertahankan prinsip ini, Ma Yan sanggup mengharungi segala kejerihan sebagai insan miskin tapi kaya dengan cita-cita. Hingga pernah suatu ketika Ma Yan terpaksa mengikat perut selama dua minggu demi membeli sebatang pena berharga dua yuan! Dengan pena itu Ma Yan menulis catatan pelajarannya dan juga menyimpan catatan kehidupannya.

Perjalanan mencari ilmu Ma Yan penuh berliku dan sering menghadapi kebuntuan. Bayangkan sahaja dia gagal meraih tempat terbaik di sekolahnya walau pelbagai usaha gigih dan pengorbanan telah dilakukan. Dan yang paling pahit ketika Ma Yan gagal dalam ujian memasuki sekolah menengah berprestij di pekan kelahirannya. Kegagalan itu amat pahit dan perit untuk ditelan terutama pabila berhadapan dengan ibu bapanya yang telah berkalang peluh dan darah.

Allah maha bijaksana dalam perancangan-Nya apabila berkat pendidikan yang diajar oleh kepayahan dan kemiskinan, Ma Yan mampu berfikir melangkaui batas pemikiran rakan sebaya. Dan kelebihan Ma Yan dapat dihidu awal oleh gurunya. Ma Yan menulis;

"Sekiranya kami tidak menjawab kertas peperiksaan dengan baik, guru akan mencerca kami, dan mengeluh beliau mengajar kelas yang terdiri daripaa pelajar yang bodoh dan tidak berguna. Guru, sepatutnya anda tidak meremehkan kami kerana kegagalan kami adalah awal keberhasilan."

Pun begitu, kasih ibu jualah peran sebenar kejayaan Ma Yan keluar dari belenggu kemiskinan apabila nekad menyerahkan buku catatan kehidupan Ma Yan kepada sekumpulan penyelidik berbangsa Perancis yang tidak langsung dikenali. Rupanya kumpulan pengembara ini telah menerbitkan catatan tersebut untuk ditatap oleh masyarakat antarabangsa sehingga tertubuhnya sebuah yayasan bernama Les Enfants du Ningxia. Dan hari ini, yayasan ini telah berjaya memberi pendidikan kepada ramai lagi manusia senasib Ma Yan.

Ma Yan hari ini meneruskan pelajarannya di sebuah universiti terkemuka di Perancis dan bercita-cita membawa keluarga, masyarakat dan seluruh dunia mendapatkan pendidikan kerana ilmu itulah yang membawa kunci membuka penjara kejahilan, kemiskinan dan kekolotan. Benarlah peribahasa yang selalu menyebut; kegagalan adalah keberhasilan yang tertunda.

May 14, 2012

Tombiruo Terakhir

Acap kali penulis melihat buku-buku tulisan Ramli Awang Murshid (RAM) di kedai-kedai buku. Biasanya akan tertulis "Novelis Thriller No 1 Malaysia" di bawah nama pengarang. Nama (RAM) juga banyak kali muncul dalam novel Amerika. Tapi entah kenapa baru kali ini hati ini terbuka untuk membeli dan membacanya, walau ramai teman yang telah lama menjadi 'fan' kepada RAM. Kalau di Sabak Bernam (merujuk kepada Pejabat Daerah Sabak Bernam) tu, hampir kesemua pegawainya adalah 'die hard fan' (kipas susah mati?) RAM. Dan dalam banyak-banyak hasil karya RAM, penulis memilih Tombiruo Terakhir.

Tapi penulis bukanlah hendak menulis mengenai apakah isi Tombiruo Terakhir (TT), sebabnya, dah banyak sangat diulas oleh blogger yg telah membacanya, yang kebanyakannya sekadar menyalin balik apa yang tertulis di muka terakhir TT. Penulis hendak berkongsi rasa setelah menikmati TT.

Seperti sebelumnya, membaca novel bagi penulis ibarat menikmati hidangan. Kalau santai isinya, novel itu samalah seperti sarapan pagi atau minum petang, tapi kalau berat, samalah ianya seperti makan tengah hari atau makan malam. Dan TT adalah ibarat "blind lunch date". Perasaan berdebar-debar dan dont know what to expect tu memang menguasai diri (macam masa Sabariah first time nak jumpa Kasim Selamat tu). Macam manakah TT ni? Khabar mengatakan TT ni mengenai kisah cinta, yang islamik, kasih sayang, suspens, debaran asmara dan pertelingkahan (juga menyalin daripada muka terakhir TT). Apakah?

Penulis mengaku sememangnya amat jarang membaca novel Bahasa Malaysia, lagi-lagi dengan genre thriller. Maka penulis mengambil jalan menerima dengan hati terbuka. Just baca dengan hati terbuka, look at the presentation, enjoy the aroma and the taste. Chew it slowly, savour it and try to digest. Wallawey, macam komen juri pertandingan masakan lak...And its true...I really need sometime to appreaciate something new. This is a good meal, eh, work. RAM really a good author, a damn good one! Penulis tak pernah rasa jemu bila mula membaca TT. Yang paling menyerlah adalah jalan ceritanya. RAM kelihatan sangat berusaha menjaga kualiti TT dengan membuat homework yang rapi. TT bukanlah ibarat bedtime story yang boleh disimpulkan dalam masa lima minit!

Dengan main ingredient yang sangat strong seperti Ejim aka Amaruddin aka Tombiruo, TT merupakan hidangan yang sukar ditolak. Ditambah dengan gaya penceritaan yang sarat dengan imbas semula (flashback), dan karektor antagonis yang terkadang bersifat baik seperti Dr Haslia dan pak usunya, Tan Sri Nasir, TT memang sesuatu yang bagus. Lagi satu, selitan unsur ketuhanan terutama yang ditonjolkan oleh Ejim (sifat sabar tahap dewa), adalah suatu nilai tambah yang bukan calang-calang. Ah, sebagai suatu hidangan baru, penulis rasa sangat berbaloi memilih TT.

Kalau adapun kelemahan TT, penulis rasa dalam pengulangan sesuatu peristiwa, ianya ibarat kesilapan yang disengajakan untuk pembaca beringat bahawa ketidaksempurnaan adalah manusia dan itulah keistimewaan spesis kita. Oh, sesungguhnya penulis mula jatuh cinta dengan buah tangan RAM meski TT adalah pelengkap kepada sebuah trilogi dan penulis sudah gila kepayang pada perkenalan pertama. Siapa peduli? Kan jodoh itu sememangnya gila...

Iklan (terutama kepada en paijol yg masih enggan menjamah buah tangan RAM): Tak rugi membaca TT walaupun Kanun Tanah Negara adalah lebih penting.

April 4, 2012

Kira-kira ini sangat aneh...
Tuan Haji Yasin menoleh ke arah sekumpulan anak berjubah putih berserban yang baru usai solat. Baju mereka agak kusam dan komot. Sebentar mereka kecoh kerana mahu membeli makanan di gerai di luar kawasan masjid. Oh ya, Haji Yasin adalah seorang kontraktor. Tidaklah terlalu kaya, tetapi bolehlah dia menyara anak dan isterinya. Melihatkan anak-anak itu membuatkannya teringat anaknya di rumah. Lantas Haji Yasin bangkit menuju ke arah kumpulan anak-anak berserban serba putih.
"Anak-anak, pilihlah apa yang kamu ingin makan. Insyaallah, hari ini pakcik akan belanja kamu semua," Haji Yasin membuat tawaran kepada anak-anak. Apa lagi, bersorak gembiralah anak-anak itu. Masing-masing sibuk meminta itu dan ini. Sambil tersenyum Haji Yasin bertanyakan harga yang perlu dibayar kepada pekedai. RM23.70 semuanya. Wang bertukar tangan dan Haji Yasin berlalu setelah bersalam dengan anak-anak berpakaian serba putih.
Beberapa bulan berlalu dan Haji Yasin hampir melupakan peristiwa di masjid. Suatu hari dia mendapat panggilan daripada sebuah jabatan kerajaan memaklumkan bahawa syarikatnya telah berjaya dipilih untuk menjalankan projek membina bangunan tambahan. "Alhamdulillah," seru Haji Yasin, dan yang anehnya nilai projek itu adalah RM237,000.00. "Eh, bukankah..."teka hatinya.
Sebagai seorang kontraktor sederhana, Haji Yasin akan memastikan untuk membuat simpanan buat modal pusingan perniagaannya. Kini setelah beberapa ketika, dia berjaya menyimpan sekitar RM19,000.00. Suatu malam usai Solat Isya' Haji Yasin duduk sebentar berbual dengan pak imam. Dari isu ringan berkaitan ibadah, perbualan mereka meleret kepada cadangan pembesaran surau. Pak imam menyatakan mereka memerlukan RM19,000.00 lagi untuk memastikan kerja renovasi tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan siap sebelum Ramadhan. Tanpa banyak berfikir, Haji Yasin terus bersetuju untuk menginfakkan simpanannya. Dan wang bertukar tangan.
Masa terus berlalu. Haji Yasin menjalani kehidupannya dengan tenang. Kerja kuat tanpa melupakan ibadah kepada Allah. Alangkah terkejutnya Haji Yasin apabila suatu hari dia dihubungi oleh pihak jabatan memaklumkan bahawa dia berjaya dalam tender membina bangunan jabatan yang lebih besar. Dan nilai tender itu bernilai RM1.9 juta.
Moralnya, Allah telah berjanji dalam Al Quran bahawa perumpamaan orang yang bersedekah seperti sebiji benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai dan setiap tangkai menumbuhkan seratus biji. Dan Allah maha berkuasa untuk menggandakannya. So, bile lagi nak bersedekah?