April 10, 2009


Kita selalu tersalah sangka


Bermula kisah perkenalan dua orang budak yang masih bersekolah rendah. Rosnah dan Ahmad. Mereka sangat akrab sehinggalah memasuki sekolah menengah yang sama. Pada peperiksaan SPM, Rosnah telah mendapat keputusan yang cemerlang dan diterima melanjutkan pengajian ke universiti. Manakala keputusan Ahmad sekadar cukup makan dan terpaksa bekerja sendiri. Ahmad memelihara lembu secara kecil-kecilan.

Masa terus berlalu dan Rosnah mulai kurang menghubungi Ahmad. Baik melalui telefon mahupun surat. Ahmad cuba memahami keadaan Rosnah yang sibuk dengan pengajiannya di universiti. Suatu hari Rosnah menghubungi Ahmad. Mendengar suara insan yang dicintainya, Ahmad sungguh gembira. Dia juga berhasrat melamar Rosnah yang akan menamatkan pengajian tak lama lagi. “Abang, Ros nak bagitau abang satu berita. Berita penting,” kata Rosnah. “Abang pun ada perkara nak bagitau Ros. Ros cakaplah dulu,” girang suara Ahamad. “Ros nak bagitau Abang, Ros akan berkahwin dengan Azlan. Dia senior Ros di universiti. Dia sekarang telah menamatkan pengajian dan berjawatan besar. Ros harap abang boleh terima berita ini dan jangan hubungi Ros lagi,” ringkas berita Ros.

Ahmad begitu terkejut mendengar berita yang tidak disangka-sangkanya. “Agaknya Ros berubah hati kerana Abang tidak pandai dan kaya seperti bakal suami Ros. Tapi abang berjanji akan menjaga Ros, kerana abang mencintai Ros,” balas Ahmad penuh pengharapan. “Abang fikirlah apa abang nak fikir. Ros dah membuat keputusan. Jangan hubungi Ros lagi. Abang Azlan tak suka,” Ros mematikan perbualan.

Ahmad sangat terkilan dengan sikap Ros. Insan yang paling dicintainya telah meruntuhkan harapannya, satu-satunya harapannya. Lebih-lebih lagi di saat dia ingin melamar kekasih hatinya itu. “Mulai hari ini, aku akan buktikan kepada Ros dan dunia, aku, Ahmad boleh berjaya walaupun aku tidak belajar di universiti. Aku akan buktikan aku akan lebih berjaya daripada Azlan,” tekad Ahmad bulat.

Mulai hari tersebut Ahmad bersungguh-sungguh mengusahakan penternakan lembunya. Tidak berapa lama kemudian dia sudah pun membuka beberapa ladang ternakan di beberapa buah negeri. Akhirnya, berkat usaha gigih Ahmad, dia kini menjadi kaya.


Suatu hari Ahmad pulang ke kampung halamannya dengan menaiki kenderaan mewah. Ingin ditunjukkan kepada semua orang bahawa ini adalah Ahmad, budak yang hanya belajar setakat tingkatan 5. sekarang Ahmad bukan macam Ahmad dulu. Ahmad dah berjaya, kaya dan berduit. Ketika melalui sebatang jalan, Ahmad terpandang sepasang suami isteri sedang barjalan kaki. Kasihan terhadap kepayahan pasangan tua itu berjalan, Ahmad berhenti untuk menumpangkan mereka. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati kedua orang tersebut adalah ibu dan bapa Rosnah. “Pakcik, makcik, marilah naik. Saya hantarkan ke mana pakcik dan makcik nak pergi,” pelawa Ahmad. Keduanya menaiki kereta mewah Ahmad. “Alhamdulillah, kau sudah berjaya Ahmad. Tahniah,” kata-kata pujian terpacul daripada mulut si suami. “Iya pakcik. Saya dah berjaya. Saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat apa yang saya ada hari ini. Oh ya, pakcik dan makcik nak ke mana tengah tengah panas ni?” Ahmad menyembunyikan soalan sebenar untuk bertanyakan hal keadaan Ros yang lama tidak didengarnya. “Engkau hantarkan kami ke perkuburan di hujung kampung tu,” pinta si suami. “Kubur? Tapi pakcik dan makcik nak lawat pusara siapa?” tanya ahmad kebingungan. “Kubur si Rosnah,” ringkas. “Rosnah? Tapi...”Ahmad tidak sempat meneruskan kata-katanya. “Ya nak, Rosnah meninggal selepas sebulan dia memberitahu kau yang dia akan bernikah dengan Azlan. Sebenarnya dia mengidap barah yang kronik. Dia tidak mahu menghampakanmu dan membuat kamu terluka sekiranya berkahwin denganmu. Dia terpaksa mereka cerita bahawa dia akan bernikah agar kamu berasa marah dan bekerja lebih keras untuk berjaya. Nah, lihatlah keadaanmu sekarang. Pakcik rasa pasti roh Rosnah tenang melihatkan kau seperti ini sekarang. Kita ziarah kuburnya sama-sama ye nak,” lembut suara ayah Rosnah. Ahmad terpempan.