Raudhah
Pesan saya kepada pembaca karya Ramlee Awang Murshid, expect
the unexpected. Raudhah kali ini lebih bertujuan mendidik di dalam menghibur. Saya
tahu pasti ramai di kalangan diehard fan RAM agak terkilan dengan Raudhah. Tapi
terpulang, sebagai pembaca, kita juga bebas untuk melihat dari sudut apa rupa
Raudhah sebenarnya.
Andai anda mengharapkan jalan cerita yang thrill, RAM
menyediakannya di awal pengkisahan. Faris anak yatim piatu dibela oleh Pak Darus
yang pembengis dan pendera. Faris lari dari rumah dan akhirnya menjadi anak
didik Joni, pembunuh upahan. Karier inilah yang akhirnya diwarisi oleh Faris
dengan menggunakan samaran Joker. Joker hanya berurusan dengan White, satu-satunya
watak yang paling buat pembaca berteka-teki. Adakah white itu Sandy atau
Detektif Bisca?
Maka muncullah watak sampingan seperti Michael Wan, Brendan
Cheung, Joseph, Tok Chai, Detektif Azhar dan lain-lain. Kisah kumpulan gangster
menjadi latar dalam slot thriller ini. Saya terperasan ada sedikit khilaf dalam
fakta apabila Datuk Bandar Shah Alam yang digambarkan korup menawarkan projek
pasir di Semenyih secara salah kepada Michael Wan. Eh, Semenyih dalam Daerah
Hulu Langat. Shah Alam dalam daerah Petaling. Dan kelulusan pengeluaran pasir
adalah daripada Kerajaan Negeri kepada Pentadbir Tanah. i.e Pegawai Daerah,
bukan Datuk Bandar atau Yang Dipertua. Apa pun, ianya bukanlah salah, cuma
kurang tepat sahaja.
Joker aka Faris mula terfikir untuk kembali ke pangkal jalan
dan bertaubat setelah jantungnya terhenti selama tiga minit. Menurut hukum perubatan,
Faris telah mati. Tetapi kehidupannya kembali menjadi isyarat bahawa Allah
memberinya peluang kedua untuk bertaubat. Faris mula menghubungi Hambali dan
menjauhi pekerjaan utamanya, membunuh. White berasa marah dan mengugut untuk
membunuh Hambali.
Andai anda mahukan kisah cinta, aura cinta sememangnya
mewarnai Raudhah sejak dari mula sampailah ke penghujungnya. Konflik sengaja
dicipta apabila Faris secara diam menyintai Junaidatul Al Fatiah, tunangan
Hambali. Jun adalah Raudhah. Secara peribadi, saya menyukai bagaimana RAM
melakar suasana percintaan Hambali-Junaidatul. Tidaklah terlalu Islamik, tetapi
sarat nuansa kemelayuannya. Cuma peribadi Jun yang sedikit ‘terlebih muslimah’
ditonjolkan sebagai graduan Universiti Amman, Jordan. Bagi sebahagian pembaca
wanita, pasti mereka akan berasa sedikit ‘poyo’. Apa pun, seperti yang saya
nyatakan di atas, terserah kepada rasa masing-masing.
Dan andai anda mahukan pengajaran Islamik, RAM tidak lupa mewarnakan
nuansa keislaman dalam hampir keseluruhan cerita dan plot. Raudhah menurut
Raudhah bukanlah hanya Junaidatul, bahkan yang lebih utama adalah Raudhah di
Masjid Nabi, tempat yang didambakan Faris setelah bertaubat. Saya suka membaca
bahagian ini kerana perjalanannya begitu menggamit kenangan ketika berada di
tanah Haramain suatu ketika dahulu. Bahkan RAM menyuntik begitu banyak elemen
taubat dan penyesalan seorang hamba di atas keterlajuran dan dosa. Pun begitu, RAM
masih sempat menyelitkan konflik dan drama apabila Faris dipidana atas tuduhan
membunuh Abuyomi.
Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan Raudhah. RAM
masih nombor satu dalam penyampaian, susun kata, plot, pembinaan watak dan
suspens. Cuma peleraian menggunakan pendekatan dunia koma agak mengejutkan. Dalam
dunia penceritaan Melayu, rasanya kita sudah muak dengan pengakhiran, “…rupanya
semua ini adalah mimpi.” Kendati, saya masih menyanjung usaha RAM di dalam
melakukan research meski Raudhah berupa sebuah fiksyen. Maksud saya sebagai
contoh undang-undang hudud yang dilaksanakan di Arab Saudi. Dan pace cerita
Raudhah agak meleret di permulaan tetapi laju di pertengahannya, sehinggakan
segala rahsia terbongkar tanpa perlu menunggu ke helaian-helaian terakhir. Apa pun,
perlu berlapang fikiran di dalam menghadam Raudhah kerana Raudhah bukanlah
kecil anak.