Cinta Sang Ratu
Bahagian kedua trilogi epik RAM ini diteruskan dengan perbagai
kisah mistik dan keajaiban. Masih berkisar seputar kisah Laksamana Sunan
sebagai tunjang utama yang telah terpisah dengan Haryani dek hijab zaman yang
amat jauh, Haryani masih kukuh cintanya kepada Sunan dan menolak cinta Dani,
keponakan Sunan sendiri. Akibatnya Dani menjeruk rasa membawa diri ke Acheh
demi mencari susur galur keturunannya di sana, sedangkan Acheh kemudiannya
dilanda badai tsunami. Sekarang, Dani pula yang terperangkap di kurun ke-15!
Haryani terpaksa menjejak Dani atas rasa bersalah yang
kemudiannya menjebak keduanya di desa sumpahan serigala jadian, Manggala. Sementara
itu, Sunan telah tercedera akibat panahan sihir Ratu Sulaman waris kerajaan
Pulau Utara. Demi melihatkan ketinggian akhlak dan keluhuran pegangan Islam
yang ditunjukkan Laksamana Sunan, akhirnya Ratu Sulaman terpikat dengan Islam
dan dinikahi Laksamana Sunan sendiri dan menggunakan nama Ratna.
Namun, bukan hidup jika sunyi daripada ujian. Maharani Pulau
Utara, bonda kepada Ratna telah berjaya menculik dan menyihir Ratna kembali menjadi
Ratu Sulaman menggunakan tahi besi dari Gunung Bromo, dan semestinya melalui
bantuan Taghut. Kisah usaha Sunan menyelamatkan Sang Ratu mendominasi bahagian
kedua ini. Selajur, watak seperti Kastiwara, Sadik, Ranggas dan pelbagai
makhluk dongeng seperti ikan duyung dan polip muncul mendokong watak Sunan. Pelbagai
keajaiban terus memukau pembaca persis sebuah ‘great bedtime story’. Dan RAM menyusun
keajaiban ini penuh teliti menerbitkan rasa cemas dan intuitif yang tinggi
sehingga pembaca tidak sabar menyelak ke helaian terakhir. Bayangkan sahaja
saya menyudahkan bahagian kedua ini dalam masa sehari!
Ringkasnya, Cinta Sang Ratu layak diletakkan di pertengahan
kembaran trilogi ini. Pelbagai keanehan, keajaiban dan kesaktian ditonjolkan
oleh RAM tanpa melupakan nasihat tauhid, akhlaq dan ibadah. Tahniah buat RAM
dan saya tidak sabar untuk memulakan membaca pelengkap trilogi ini, Hijab Sang
Pencinta.