August 7, 2014

Sabar



Nabi Ayyub terkenal dengan kesabarannya yang tinggi di dalam menghadapi ujian dari Allah. Beliau adalah seorang lelaki yang almost perfect andai hidup pada hari ini. Baginda seorang lelaki yang tampan, sihat dan gagah. Bukan itu sahaja, baginda juga dikurniakan seorang isteri yang solehah lagi setia bernama Rahmah. Bersama Rahmah, baginda dikurniakan 12 orang putera dan puteri yang soleh dan solehah.

Selain berjaya dari sudut peribadi dan keluarga, Nabi Ayyub juga adalah seorang hartawan. Baginda dikurniakan harta yang banyak berupa ladang tanaman yang beribu hektar luasnya. Bukan setakat konglomerat sektor perladangan, baginda juga dikurniakan nikmat ternakan yang berjumlah ribuan ekor. Maka ramailah di kalangan umat Nabi Ayyub yang sama-sama merasai nikmat kekayaan baginda kerana baginda adalah seorang yang pemurah. Kekayaan dan kejayaan Nabi Ayyub ini meletakkan baginda sebagai seorang ikon di kalangan umat baginda. Ini juga menjadi salah satu daya penarik kepada dakwah baginda.

Meski baginda hampir perfect sebagai seorang insan, namun baginda tidak pernah menyombong diri, bahkan bagindalah manusia paling warak dan banyak bersyukur kepada Allah. Kisah kejayaan Nabi Ayyub ini sangat dicemburui iblis.

Maka suatu hari iblis datang menghadap Allah swt untuk menyatakan ketidak puasan hatinya terhadap Nabi Ayyub. “Ya Allah, seharusnyalah Ayyub itu banyak besyukur kepadaMu memandangkan dia dikurniai dengan banyak kelebihan. Cuba sahaja jika dia itu miskin, sebatang kara  ataupun sakit-sakit, pasti sahaja dia tidak akan pernah bersyukur kepadaMu,” kata iblis. “Maka aku memohon agar engkau cabut salah satu nikmatMu kepadanya berupa kekayaan. Aku yakin, Ayyub pasti akan berputus asa dan berhenti dari menjadi umatMu yang bersyukur,” sambung iblis. Maka Allah mengizinkan iblis menjalankan misinya.

Iblis terus pergi ke ladang Nabi Ayyub. Disebarkannya hembusan berupa racun ke atas tanaman dan ternakan Nabi Ayyub sehingga mati keseluruhannya. Pokok-pokok menjadi layu dan ternakan menjadi kurus. Tidak lama selepas itu, seluruh ladang tanaman dan ternakan Nabi Ayyub menjadi padang jarak padang tekukur. Nabi Ayyub telah jatuh papa dalam masa yang singkat. Tetapi apakah reaksi Nabi Ayyub? Adakah baginda menjadi putus asa?

Nabi Ayyub tidak langsung mengeluh melihatkan musibah yang menimpanya. Bahkan baginda terus terusan memuji dan bersyukur kepada Allah. Kerana baginya segala sesuatu itu adalah pemberian Allah dan seharusnyalah sebagai pemilik, Allah berhak mengambil barang milikanNya pada bila-bila masa sahaja. Iblis berasa sangat sakit hati terhadap apa yang berlaku, sangkanya setelah jatuh miskin, pastilah Nabi Ayyub akan menjadi sangat devastated dan berputus asa.

Lalu iblis pergi menemui Allah semula. Dia memohon agar Allah mencabut nyawa kesemua anak-anak Nabi Ayyub. Pada pendapat iblis anak-anak adalah jantung hati seorang bapa dan kematian anak-anak ini pastilah akan sangat menghancurkan iman dan taqwa Nabi Ayyub. Allah perkenankan permohonan iblis dan terus menyatakan bahawa hambaNya Ayyub pasti akan terus menjadi hamba yang bersyukur.

Sekonyong kesemua anak Nabi Ayyub telah mati serentak. Bayangkan sahaja menghadapi kematian dua belas orang anak yang soleh dan solehah serentak tanpa ada tanda-tanda sakit, pastilah sahaja menggegar keimanan seorang insan. Tetapi tidak bagi Nabi Ayyub. Baginda tetap tabah dan tunduk bersyukur kepada Allah. Iblis sangat hairan dan datang menemui Nabi Ayyub. “Wahai Ayyub, dahulu engkau ini kaya. Hartamu menimbun dan anakmu ramai. Tetapi kini satu persatu nikmat itu telah dicabut Allah. Tidakkah kau berasa bahawa tuhanmu sedang murka ke atasmu lantas menjatuhkan kaffarah kepadamu? Maka mengapa kamu masih mahu sujud bersyukur kepada tuhanmu?”. “Aku beriman kepada Allah kerana aku adalah hambaNya, bukan kerana yang lain,” jawab Nabi Ayyub.

Iblis berasa sangat marah. Kali ini dia menemui Allah untuk memohon agar ditimpakan sakit ke atas Nabi Ayyub. Kerana selain kemiskinan, manusia pasti akan goyah imannya apabila diuji dengan sakit. Allah mengizinkan permohonan iblis dan tetap menyatakan bahawa Nabi Ayyub akan kekal menjadi hamba yang bersyukur.

Selang beberapa ketika, Nabi Ayyub diserang sejenis penyakit ganjil. Badannya menjadi kurus dan kulitnya ditumbuhi kudis. Perubahan mendadak fizikal Nabi Ayyub menjadi bualan penduduk kota. Mereka berasa pelik dengan penyakit yang menimpa Nabi Ayyub bimbang ianya akan menulari seluruh penduduk. Maka mereka berpakat mengusir Nabi Ayyub dari kota. Mengusir manusia yang dahulunya tidak putus membantu mereka ketika susah dan menunjukkan mereka akhlak terpuji.

Maka pada suatu hari, Nabi Ayyub telah keluar dari rumahnya bersama Rahmah, isteri yang setia. Mereka melarikan diri ke dalam hutan yang jauh dari penempatan manusia. Nabi Ayyub sangat bersyukur kerana masih ditemani isterinya walau keadaan fizikalnya yang lemah dan berpenyakit. Baginda tidak pernah putus bersyukur kepada Allah apatah lagi mengeluh dan berputus asa.

Kekuatan iman Nabi Ayyub sangat menyakitkan hati iblis. Lantas iblis mengatur rencana menghasut Rahmah, isteri Nabi Ayyub. Iblis menjelmakan dirinya dalam sosok seorang lelaki tua. “Puan, aku sangat kasihan melihatkan nasibmu. Dahulu engkau punya segalanya, harta yang banyak, suami yang berpengaruh dan dihormati serta anak-anak yang ramai. Tetapi hari ini, lihatlah sahaja keadaanmu. Terpunduk di tengah hutan, diusir oleh kaummu sendiri, pada kedana dan sebatang kara. Engkau mintalah suamimu berdoa kepada Allah agar dikembalikan segala nikmat yang pernah diturunkan kepadanya. Semoga sahaja engkau kembali seperti dahulu,” pujuk iblis. Iblis berhelah agar Nabi Ayyub sekurang-kurangnya menyalahkan takdir dan berhenti bersyukur.

Rahmah terpedaya dengan helah iblis. Dia menemui baginda dan merayu agar suaminya itu berdoa dilepaskan dari segala ujian yang getir ini. Nabi Ayyub berasa sedih dan marah. Kepada Rahmah baginda berkata, “Wahai isteriku, selama ini engkau rapat dan setia kepadaku. Aku menyangka engkau mengerti dakwah dan peganganku bahawa segala sesuatu yang berlaku itu adalah takdir tulisan Allah. Kerana sesungguhnya takdir Allah adalah yang terbaik buatku. Tetapi hari ini engkau menyuruhku memohon Allah mengubah tulisan takdir itu? Hanya kerana engkau tidak tahan dipandang hina manusia lain?”. Rahmah tertunduk. “Mulai hari ini pergilah engkau dari sisiku dan aku bernazar andai suatu hari nanti engkau kembali kepadaku, maka aku akan menghukummu dengan seratus sebatan,” sambung Nabi Ayyub.

Maka tinggallah baginda keseorangan setelah ditinggalkan Rahmah. Baginda terus-terusan beribadat kepada Allah dan sentiasa bersyukur. Iblis berasa sangat hairan terhadap tahap kesabaran Nabi Ayyub. Tidak pernah dia bertemu dengan insan setabah Ayyub. Akhirnya iblis pergi menghadap Allah. “Ya Allah, sesunguhnya aku berasa hairan terhadap hambaMu, Ayyub. Tidak pernah aku bertemu manusia sesabarnya. Dia diduga dengan kekayaan, pengaruh dan keluarga tetapi masih teguh bersyukur kepadaMu. Pada hari ini aku gagal menggoda dan menyesatkan hambaMu yang satu ini,” iblis menyerah kalah. “Bukankah telah aku katakan bahawa engkau akan mendapati Ayyub itu hamba yang banyak bersyukur,” firman Allah.

Setelah iblis pergi, Allah telah memerintahkan malaikat Jibril untuk menemui Nabi Ayyub. Melalui Jibril, Nabi Ayyub disuruh menghentakkan kakinya ke bumi dan terpancarlah mata air. Dari mata air tersebut Nabi Ayyub disuruh minum dan mandi. Segala suruhan itu dilakukan oleh Nabi Ayyub. Dan kini baginda beransur sihat seperti sediakala, bahkan baginda menjadi lebih tampan dari yang dahulunya.

Nabi Ayyub telah berjaya menghadapi ujian ke atasnya dengan cemerlang. Kita baginda pulang ke kota mencari isterinya, Rahmah. Rahmah seakan tidak mengenali lagi suaminya dek kerana perubahan yang berlaku ke atas Nabi Ayyub. Dia kembali hidup bersama Nabi Ayyub.

Pada kali ini Allah mengurniakan harta yang lebih banyak daripada dahulu. Juga Allah mengurniakan anak yang lebih ramai. Di kalangan anak-anak Nabi Ayyub, Allah angkat seorang daripadanya sebagai Rasul iaitu Nabi Zulkifli.

Lihatlah balasan di atas kesabaran seorang hamba. Allah tidak menguji kita kerana Dia membenci kita. Tetapi Allah menguji kerana Dia mahu memberi kita sesuatu yang lebih baik, kerana kesudahan yang baik adalah bagi mereka yang bersyukur. Juga harus diingat, ketika kita diuji dengan kehilangan, kematian dan kekurangan, dipandang hina dan dipulaukan, bertawakallah kepada Allah. Sentiasa beringat ke atas nikmat-nikmat lain yang masih banyak. Semoga hati kita terdidik untuk terus bersyukur.

Para sahabat rasulullah akan berasa sedih dan gundah andai terus terusan sihat dan cukup keperluannya. Pada mereka Allah tidak menguji kerana Allah sudah melupakan mereka. Mereka akan berasa bersyukur andai diuji dengan kesakitan, kesempitan mahupun kelaparan. Kerana tanda Allah peduli dengan hamba ialah ketika kita diuji. Oleh itu, bersyukurlah atas ujian. Teruskan bertawakkal kerana kita secara fitrahnya lebih mudah bersyukur ketika kita diuji.

June 16, 2014


Makanan di Mekah

Mendengarkan cerita beberapa sahabat, makanan di Mekah ini banyak dipengaruhi aura makanan dari India dan Pakistan. Secara jujur, saya bukanlah penggemar masakan India mahupun Pakistan, hatta masakan mamak pun saya jarang makan. Tetapi UTAS telah mengupah tukang masak terdiri daripada kalangan Indonesia. Makanya, di sana kami daptlah merasa makanan seperti tempe, rebung dan tauhu. Bahkan bubur kacang dan ayam masak kicap pun kami dapat, Alhamdulillah.

Kalau nak rasa sedikit kelainan, bolehlah membeli ayam panggang dan roti dengan harga yang amat berpatutan. Seekor ayam panggang berharga RS18 dan tambah RS1 boleh dapat dua keping roti tempayan. Seperti biasa, mereka tidak menyediakan sebarang kuah atau sos, makanya kenalah beli dengan additional cost.

Seekor RS18, cukup untuk makan 3 orang

Mulanya saya mintak RS2, rupanya dpt 4 keping…

 

Saya cadangkan satu makanan yang mesti dicuba di Mekah iaitu aiskrim Mekah. Sangat sedap dan lain jika dibandingkan dengan mana-mana aiskrim di Malaysia. Kebanyakan perisanya terdiri daripada buah-buahan tropika, aiskrim ini bukan sahaja enak, bahkan amat murah dan mudah didapati. Manakala Jus buah buahan (‘asir fawakih) juga sangat enak dengan harga yang berpatutan sekitar RS3 ke RS5 sebotol.

Aiskrim Arab enak dinikmati ketika cuaca panas

Selain itu, makanan moden segera seperti KFC, Burger King dan lain-lain juga boleh didapati di Bangunan Menara Jam. Cuma bezanya di Mekah, terdapat separate counter untuk Muslim dan Muslimat. Harga di kompleks ini juga agak tinggi kerana untuk hidangan snack plate KFC berharga RS23 sedangkan di Malaysia hanya sekitar RM10 sahaja.

 

Tawaf Wida’

Waktu yang bergulir terasa begitu pantas. Hari hari kami hanya mengejar untuk beribadah sebanyaknya di rumah Allah ini. Selain solat fardhu lima waktu, kami juga mengejar ibadah umrah. Ada ketikanya kami melaksanakan tawaf pada waktu tengah hari sebelum masuk solat zohor, selepas waktu asar, selepas isya’, sebelum subuh dan selepas subuh. Pada setiap ketika itu pastilah ada kendala dan mehnah yang menguji tetapi waktu yang paling selesa adalah selepas waktu Subuh. Maksud saya, selepas bersarapan dan siap berihram, carilah van untuk ke Masjid Tanaem dengan tujuan bermiqat. Pulang semula ke alHaram dan mulakan tawaf. Suasana ketika ini tidaklah terlalu panas dan kurang sesak. Kemudian disusuli dengan saie dan tahallul. Pada sekitar pukul 10.45 pagi satu umrah telah selesai dan bolehlah pulang ke hotel untuk berehat sementara menunggu waktu zohor.

Pada setiap perkara itu pastilah ada pengakhirnya. Dan saat kami berpisah dengan rumah Allah ini pun tiba jua. Semakin hampir perpisahan ini, semakin berat rasa di hati. Kesayuan hampir tidak dapat dibendung. Pada malam terakhir, saya dan isteri mengerjakan tawaf sunat. Kami bergerak perlahan demi mahu menatap kaabah ini sepuasnya. Usai tawaf tujuh keliling, kami bersolat di hadapan pintu kaabah. Aneh, walau Jemaah di sebelah kami disergah dan diminta beredar, namun sang pengawal langsung tidak menegur kami. Bahkan kami berkesempatan memegang pintu kaabah yang mulia.

Beberapa ketika, isteri mohon saya menemankan untuk memegang mana-mana bahagian dinding kaabah. Saya fikir, dinding sebelah rukun Yamani kurang sesak. Kami bergerak sambil memanjat permohonan kepada Allah. Akhirnya hajat kami tercapai. Saya menongkat tangan ke dinding kaabah dan isteri tunduk di bawah. Ini bagi memastikan tiada Jemaah lain yang tertolak atau tersenggol isteri terutama yang bukan mahram. Kaabah dilihat dari dekat merupakan binaan daripada batu berwarna coklat. Walau berusia ribuan tahun, kaabah tetap kukuh dan sentiasa menarik untuk dilihat, direnung dan disentuh. Walau dari sudut mana pun, kaabah saya dapati sangat hebat. Tidak hairanlah, hati manusia pasti akan terusik pabila memandang kaabah walau hanya dalam gambar.

Pada hari terakhir, kami dinasihatkan untuk mengerjakan tawaf wida’ pada waktu zohor. Ini kerana setelah melaksanakan tawaf wida’, kita tidak boleh berlengah lengah meninggalkan tanah Mekah. Usai bertawaf, kami berkumpul di multazam. Merafak doa penuh syahdu, memohon agar ini bukanlah ziarah terakhir. Hati ini seakan tidak mahu melepaskan pengalaman beribadah di tanah suci ini. Sambil bercucuran air mata, saya sempat mengerling binaan kaabah. Biar gambaran itu kekal di benak fikiran. Ya Allah, jemputanMu telah kami sahut, kami datang, kami menyerah. Kini kami akan pulang, meninggalkan rumahMu yang agung dan tanah yang suci ini. Jemputlah kami lagi, serta sanak saudara kami, agar sempurna ibadah kami.

Pastinya saya akan merindui segala rasa ini. Entah kapan lagi saya dapat menghirup udara kering Mekah dan Madinah. Sudah barang tentu saya akan mengingati segala keagungan di kedua-dua tanah suci ini sehingga terpahat azam di hati ini untuk mengunjunginya lagi. Mana mungkin saya melupakan cuacanya, manusia dan segala hiruk pikuk ulah mereka dalam mengejar ibadah. Ah, sampaikan van yang mengangkut kami dari depan hotel ke Tanaem tiap kali kami bermiqat juga akan tetap saya ingati. Ya Allah, sesunguhnya inilah perjalanan paling bermakna dalam hidupku.




Pasti kurindui menaiki van ke Tanaem dengan Zam sebagai pemandu pelancong paling senyap, hehe

 
Kenangan mengenai air zamzam yang mudah didapati di Mekah dan Madinah juga sukar dilupakan

 
Juga pekerja di Masjidilharam yang sangat berdedikasi

 

Terima kasih sayangku kerana menemani Abang ke perjalanan paling bermakna dalam hidup ini

 

Ziarah Mekah

Jabal Rahmah, Mina dan Ja’ronah

Di Makah, UTAS membawa Jemaah menziarahi beberapa tempat bersejarah. Pada ziarah pertama, kami dibawa menziarahi Jabal rahmah. Bukit ini adalah tempat pertemuan Nabi Adam dan Hawa setelah mereka dikeluarkan dari syurga. Sebuah bukit sederhana dengan sebatang tiang putih di puncaknya melambangkan tempat pertemuan dua manusia pertama dalam sejarah. Dan mengambil semangat pertemuan ini, ramai Jemaah yang mengambil kesempatan berdoa agar dipertemukan jodoh bagi yang belum bertemu jodoh, atau dipanjangkan jodoh bagi yang sedang berjodoh. Menurut saya, berdoalah yang baik-baik kerana doa itu adalah senjata Muslimin.

Di sepanjang laluan dari kaki bukit ke puncak, Jemaah akan menempuh zon dagang di mana ramai yang menjual pelbagai barangan seperti tasbih, inai serbuk dan baju abaya. Zon kedua pula didominasi para peminta sedekah yang terdiri daripada mereka yang kudung tangannya. Manakala pada zon puncak, akan terdapat para photographer yang menawarkan khidmat mengambil gambar pasangan dengan harga SR10 untuk sekeping gambar. Jangan terperangkap apabila mereka dengan sengaja mengatakan perlu mengambil gambar sekali lagi kerana gambar pertama tidak cantik sedangkan kita akan dikenakan caj berdasarkan berapa keping foto yang dishoot.

 
Masjid Ja’ronah

Dari Jabal Rahmah, kami dibawa menuju ke Masjid Ja’ronah untuk bermiqat. Kami melalui Muzdalifah (tempat melontar 3 jamrah), Mina (tempat mabit atau bermalam bagi rukun haji) dan Terusan Zubaidah. Menarik mengenai Terusan Zubaidah ialah idea asal daripada seorang jurutera wanita, Zubaidah. Pada tahun 1980 an para Jemaah haji menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air di padang Arafah. Zubaidah, salah seorang Jemaah, mendapat idea utuk menyalurkan sumber air dari Iraq dan menyarankan kerajaan Saudi dan Iraq bekerjasama dalam projek ini. Maka sebuah terusan telah dibina khusus bagi membekalkan sumber air bersih terus dari Iraq ke Arafah bagi menampung keperluan Jemaah haji yang ramai. Hari ini, kesan Terusan Zubaidah masih dapat dilihat walau tidak lagi digunakan setelah kerajaan Saudi menggunakan teknologi penyulingan air laut sebagai sumber air bersih.

Tiba di Masjid Ja’ronah, kami menukar pakaian ihram dan berniat sekali. Ja’ronah adalah salah satu miqat bagi mereka yang telah memasuki Mekah. Terletak 22km dari Kota Mekah, Masjid Ja’ronah diambil bersempena nama seorang wanita penjaga masjid yang setia iaitu Ja’ronah. Satu kisah menarik mengenai Ja’ronah ialah Rasulullah pernah singgah di lembah kering ini dan memukul sebongkah batu lantas terbentuklah sebuah kolam. Pada tahun berikutnya, setelah usai Perang Hunain, baginda berhasrat untuk singgah di Ja’ronah dan berita ini telah diketahui oleh kaum Musyrikin. Lantas, kaum musyrikin telah meletakkan racun ke dalam telaga tersebut. Atas mukjizat rasul yang mulia, baginda telah berdoa kepada Allah dan meludah ke dalam telaga yan bercampur racun tersebut. Bukan sahaja racun menjadi tawar, bahkan air telaga itu juga mujarab menjadi penawar beberapa jenis penyakit. Namun hari ini, telaga tersebut telah ditutup oleh kerajaan Saudi demi mengelakkan daripada digunakan untuk tujuan khurafat dan syirik.

 

Masjid Hudaibiyah dan ladang unta

Jika ziarah sebelum ini, saya memilih untuk memakai pakaian biasa dan bertukar pakaian ihram di miqat, tetapi pada ziarah kali ini, saya telah memakai pakaian ihram sejak dari hotel. Setelah beberapa kali memakai ihram, saya semakin terbiasa dan tidak kekok. Iyelah, sudah pandai nak melangkah dan duduk time pakai ihram ni.

Hentian pertama adalah ladang unta. Haha, saje jer dorang ni panggil ladang unta, padahal adalah unta empat lima ekor jer. Kiranya kelompok pengembala unta ni duduk tepi highway dan buka satu booth kecil menjual susu unta. Kami try minum susu unta yang fresh. Mula mula agak cuak juga sebab dorang ni milking the camel dan directly bottled them kat depan pembeli. Sterile? Memang jauhla. Tapi rasa dia memang sedap, berlemak dan fresh. Tak adelah rasa hamis bagai. Sebotol kecil harganya SR15. Saya dan isteri beli dua botol, minum di tempat kejadian.

Time beratur beli susu unta ni, terdengarlah sedikit keriuhan auntie auntie ni berebutkan sesuatu daripada penjual. Masing masing berkata, “Umpruk e kui…aku arek umpruk e.” Ooo, rupanya mereka dari Indonesia dan berebutkan buih susu unta. Mereka percaya buih tersebut baik dijadikan masker, bahkan lebih berkualiti daripada masker SK-11.


Macam saudagar onta…

 

Selesai bergambar dengan beberapa ekor unta, perjalanan diteruskan menuju ke Masjid Hudaibiyah. Miqat ini dikenal sebagai miqat nabi kerana pada tahun 6 hijrah, rasulullah bersama sahabat berhasrat menunaikan umrah pada tahun tersebut. Mereka telah ditahan oleh kaum Quraish di Hudaibiyah. Rasulullah telah menghantar Saidina Uthman sebagai perutusan menyatakan tujuan kedatangan kaum muslimin adalah bagi menunaikan umrah. Namun, saidina Uthman telah ditahan dan khabar angin mengatakan bahawa beliau telah dibunuh. Beberapa orang sahabat telah berbaiah menyatakan kesediaan untuk menuntut bela atas kematian Saidina Uthman. Baiah ini dikenal sebagai Baiatul Ridhwan.

Ternyata khabar itu adalah khabar angin. Satu perjanjian telah dimaterai antara kaum muslimin dan Quraish Mekah yang menghendaki agar dikembalikan warga Mekah yang mahu memeluk Islam manakala orang Madinah yang datang ke Mekah tidak akan dipulangkan. Sungguh pun syarat perjanjian ini kelihatan berat sebelah dan dipertikaikan sebahagian sahabat, tetapi Rasulullah tetap menerima syarat-syarat tersebut. Perjanjian Hudaibiyah juga merupakan gencatan senjata selama 10 tahun.

Masjid Hudaibiyah

Bayangkan sahaja, Rasulullah yang telah berhijrah selama 6 tahun dan merindui kampung halaman baginda tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke Mekah. Bahkan baginda bersama para sahabat Muhajirin telah siap berihram tetapi terhalang oleh ulah kaum Quraish. Ditambah pula baginda terpaksa menerima perjanjian yang tidak memihak kepada orang muslimin. Tetapi Allah maha merancang, dan Dialah sebaik baik perancang. Selang dua tahun, kaum Quraish sendiri telah mencabuli perjanjian Hudaibiyah dan baginda rasulullah telah menawan Kota Mekah tanpa banyak penentangan. Lihatlah hikmah atas sifat sabar dan ridha.

 

Keajaiban di tanah suci

Ramai yang berkata mereka menghadapi pelbagai kisah aneh ketika barada di Mekah. Bagi saya, berada di tanah suci itu pun adalah suatu keajaiban. Ini kerana semasa kami mengejakan umrah ini, Masjidilharam sedang dalam proses pembesaran. Bayangkan sahaja, hanya satu pintu masjid yang dibuka ketika itu iaitu King Abdul Aziz Gate. Maka berlaku kesesakan setiap kali masuk waktu dan selesai solat. Manusia berduyun-duyun memasuki masjid dan akan berlari larian memasuki saf ketika iqamat dilaungkan.

Di Mekah inilah kita dapat melihat umat Islam dari seluruh pelusuk dunia. Ada yang cerah, ada yang gelap, ada yang kurus tinggi dan ada yang rendah. Dapat juga didengar pelbagai bahasa dan gaya percakapan. Ada juga yang berbahasa Arab ammi mengikut loghat Negara masing-masing sedangkan kita belajar Arab fushah. Ada ketikanya setelah tidak menemui kosa kata yang tepat dalam bahasa Arab mahupun Inggeris, kami cakap bahasa Melayu sahaja. Maka terjadilah dialog umpama ayam dan itik.

Ada satu peristiwa berlaku ke atas saya, isteri dan ibu mertua ketika berada di Mekah. Kisahnya begini, saya telah mengeluarkan duit melalui mesin ATM sebanyak RS1000. Saya mendapat sekeping note RS500 dan beberapa note dalam denominasi yang lebih kecil. Setelah beberapa ketika, hanya wang RS500 yang masih belum digunakan. Saya bercadang untuk menukarkannya dengan membeli ubat selesema di sebuah farmasi. Saya ambil ubat berharga RS7 dan menghulurkan wang RS500 tersebut. Pekedai menolak sambil membebel bebel. Walau tidak faham keseluruhannya, tetapi saya tahu yang penjual keberatan kerana harga barang terlalu rendah. Saya kata kepada isteri, kita cari benda lain yang lebih mahal. Rupa rupanya insiden itu dilihat oleh seorang hamba Allah. Dia yang berdiri tidak jauh dari kaunter bayaran memarahi si penjual mengapa enggan menjual ubat tersebut kepada saya.

Tiba-tiba hamba Allah ini mengeluarkan wang dan membayar harga ubat tersebut kepada pekedai. Saya terkejut. Pada saya, bukanlah isunya saya tidak mempunyai wang, tetapi hanya kerana ianya note yang besar. Isteri saya tergamam seraya memegang tangan isteri hamba Allah tersebut. Hanya ucapan syukran yang mampu diulang-ulang. Tidak hanya itu, si suami menyerahkan sejumlah wang lebih kurang RS70 baki daripada belian mereka untuk diserahkan kepada kami sambil menuju pintu keluar. Saya bergegas mengejar sang suami. Saya menyalami tangannya. Ternyata beliau mempunyai raut wajah yang jernih, tersenyum manis dan bermata redup. Saya ucap terima kasih dan bertanyakan beliau berasal dari mana. Aneh, kerana tiada siapa di antara saya, isteri mahupun ibu mertua yang terlintas untuk bertanyakan nama mereka. Doa saya semoga insan-insan ini sentiasa mendapat rahmat Allah atas bantuan yang dihulurkan kepada kami walau ikatan kami hanyalah agama yang satu, Islam.

 

Makkah, kami datang

Sekitar jam 11 malam kami tiba di Mekah. Menara jam besar telah kelihatan dari jarak beberapa kilometer lagi. Sayangnya tiada mutawif yang mengiringi perjalanan kami. Alangkah eloknya andai ada mutawif yang sentiasa memberi peringatan dan mengkisahkan segala keistimewaan kota suci ini. Atau sekurang-kurangnya menjadi tempat rujukan kami terutama Jemaah yang baru pertama kali mengerjakan umrah.

Jemaah kami seramai 44 orang dipecahkan kepada tiga kumpulan dan menginap di tiga buah hotel. Hotel Banonah, Hotel Ganaem dan Hotel Safwa. Selesai check in, kami bergegas ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah pertama pimpinan seorang mutawif di Mekah.

Kami berkumpul di hadapan pintu King Abdul Aziz. Ya Allah, andai mulanya saya merasakan bahawa Masjid Nabawi adalah masjid paling besar pernah saya kunjungi, Masjidil Haram ini adalah empat kali ganda lebih besar!

King Abdul Aziz Gate, satu-satunya pintu yang dibuka ketika kami di sini…

Kami dibawa masuk ke dalam masjid. Minum air zamzam sebelum memulakan tawaf. Masya Allah, di hadapan kami adalah kaabah yang agung. Hampir sahaja saya tidak percaya bahawa saya telah sampai ke tempat suci ini. Binaan empat persegi yang diselubung dengan kelambu hitam dipanggil kiswah. Saya memilih untuk berada di samping mutawwif untuk mendengar dengan jelas doa yang dibaca. Namun adalah mustahil untuk memastikan kesemua Jemaah dapat sentiasa berdekatan dengan mutawif dengan jumlah Jemaah lain yang ramai. Berpusing tujuh keliling bersama umat manusia dari seluruh ceruk dunia adalah suatu pengalaman yang berharga. Di sini tiada gelar mahupun pangkat yang dipanggil melainkan panggilan ‘haji’.

Saya lihat ada sesetengah Jemaah yang kelihatan kasar dan tolak menolak. Ada juga yang tergesa-gesa dan berpaling sehinggakan bahu kiri tidak lagi mengarah ke kaabah. Tetapi yang paling jelas adalah gelagat ketika melalui hajarul aswad, maqam Ibrahim dan Hijr Ismail. Ada yang berhenti, ada yang mencium, mengusap, menangis dan menyapu dengan kain ihram mereka. Sesungguhnya ini adalah pengalaman baru buat saya.

Selesai tawaf, kami dibawa bersolat di hadapan pintu kaabah atau lebih dikenal dengan multazam. Tempat ini adalah di luar lingkungan tawaf untuk kami bersolat sunat tawaf dan berdoa. Kerajaan Arab Saudi menyediakan kawasan khas ini untuk memberi keselesaan beribadah dan mengelakkan dari berlaku insiden langkah melangkah dan terpijak antara Jemaah yang melakukan tawaf dan solat.

Sebenarnya kawasan multazam ini adalah pintu menuju ke tempat mas’a atau tempat mengerjakan saie. Di masjidilharam ini keadaannya berbeza berbanding Masjid Nabi. Di sini agak sukar untuk memisahkan antara Jemaah lelaki dan wanita. Cuma biasanya Jemaah lelaki diberi keutamaan untuk berdiri di saf hadapan dan wanita di sebelah belakang. Namun, dalam keadaan mendesak, adakalanya Jemaah terpaksa juga bersolat bersebelahan antara lelaki dan wanita.

Keadaan berasak-asak juga disebabkan pembinaan tempat tawaf bertingkat. Ketika hari pertama kami tiba di Mekah, tiga batang tiang telah berdiri dan kawasan itu ditutup demi keselamatan Jemaah bertawaf. Dan pada hari terakhir, sembilan batang tiang telah siap ditegakkan.

Selesai bersolat di multazam, saya bersama Shai tertunggu-tunggu keluarga perempuan kami yang masih belum kelihatan, sedangkan Jemaah lain sudah melangkah ke tempat saie. Shai mengisyaratkan agar saya menunggu di multazam sementara dia pergi mencari yang lain. Rupa-rupanya mak, isteri dan Dhila, anak saudara saya bersolat di Hijr Ismail. Saya agak terkejut memandangkan keadaan Jemaah yang ramai dan baru pertama kali melaksanakan tawaf, mereka dapat peluang bersolat  di tempat mulia ini.

Di hadapan multazam jalan menuju ke Mas’a…


Mas’a dan peristiwa Siti Hajar

Ibadah selepas tawaf adalah saie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. Pada hari ini tempat saie bertingkat telah siap dibina setinggi tiga tingkat. Bagi saya tingkat bawah paling mengesankan kerana di sini masih terdapat sedikit tinggalan batu di Safa dan begitu juga di Marwah. Keseluruhan lantai di Mas’a ini adalah marmar putih yang sangat sejuk.

Dan pengalaman mengerjakan saie juga adalah istimewa kerana kita berkesempatan untuk merujuk buku doa. Sedangkan ketika tawaf, hampir mustahil untuk merujuk buku panduan kerana kita menjaga bahu kiri agar tidak teralih daripada kaabah. Bagi Jemaah lelaki juga disunatkan berlari-lari anak atau romal ketika melalui kawasan hijau demi memperingati peristiwa Siti Hajar mencari air untuk Ismail yang masih bayi. Ketika bersaie ini, saya sentiasa membayangkan bagaimana seorang ibu muda yang baru melahirkan ditinggalkan suaminya di Mekah yang tandus dan tidak berpenghuni ini. Saya cuba bayangkan bagaimana perasaan takut Siti Hajar apabila kehabisan bekalan makanan sedangkan anaknya menangis kelaparan, lalu Hajar berlari ke Safa demi mencari air tetapi tidak kedapatan. Dia berlari ke Marwah pula andai di sana terdapat air. Namun tiada. Dari kejauhan dia terlihat seakan air di Bukit Safa, maka dia mengencangkan lariannya. Rupanya itu adalah fatamorgana semata. Membayangkan ini hati saya tersentuh, bagaimana kasihnya seorang ibu terhadap anaknya. Maka Allah abadikan peristiwa ini di dalam Al Quran dan dalam ibadah saie.

Selesai tujuh ulangan antara Safa ke Marwah, kami bertahallul atau bergunting. Ini adalah ibadah penutup bagi satu umrah. Nasib baik kami membawa gunting kecil untuk bergunting kerana pasti akan ada Jemaah yang mahu meminjam. Iyelah, sharing is caring kan. Oh ya, andai terlupa membawa gunting dan segan meminjam daripada Jemaah lain, terdapat juga beberapa kanak kanak lelaki yang menawarkan khidmat bergunting. Cuma kadang kadang kalau difikirkan bayaran upahnya agak tidak munasabah iaitu SR10.


Selesai tahallul di Marwah…hebatnya perasaan berada di sini…

Pada umrah pertama ini, kami selesai sekitar pukul 3.30 pagi. Memandangkan waktu Subuh adalah hampir iaitu pukul 4.10 pagi, kami mengambil keputusan untuk terus berada di Masjidil Haram. Shai mengajak saya bersolat berdekatan Kaabah. Satu kelebihan Shai adalah dia sering merebut tempat afdhal solat dan dia menggunakan ketinggian badannya semaksima mungkin. Sedangkan saya, hanya mampu menyelit kerana saya bertubuh kecil, hehe.

 

Credit to UTAS

Ketika mencari-cari travel agent sesuai bagi mengerjakan umrah ini, salah satu faktor yang dipertimbangkan adalah jarak tempat penginapan dan masjid. Alhamdulillah, UTAS telah memajak dua buah hotel yang hampir dengan jarak 180 meter dari dataran masjid. Dan apabila sampai di Mekah barulah saya sedar bahawa UTASlah travel agent yang menyediakan penempatan paling hampir dengan harga paling berpatutan. Manakala bagi pakej yang lebih ekslusif, UTAS menyediakan penginapan di Hotel Safwa, yang berkongsi dataran dengan Masjidilharam.

Jarak yang berdekatan ini amatlah penting bagi memastikan kita sempat mengerjakan solat berjemaah setiap waktu. Juga suatu kemudahan bagi Jemaah yang kurang sihat dan berumur. Selain itu, kedudukan hotel yang berada di jalan utama juga memudahkan kami mendapatkan van sewa ke Masjid Tanaem untuk bermiqat.

 

 

Pakaian ihram yang menginsafkan

Jemaah dinasihatkan untuk memakai ihram dari hotel sebelum check out. Dan inilah pengalaman pertama saya memakai ihram. Hanya dua helai kain putih yang tidak berjahit. Pada mulanya saya berasa sedikit sangsi, iyalah, sampaikan spender pun tak boleh pakai. Rupanya terdapat pengajaran yang besar daripada pakaian ihram ni. Saya rasa ianya mendidik jiwa agar sedar bahawa manusia ini sebenarnya tiada apa-apa. Kita lahir ke dunia tanpa harta, tanpa pangkat tanpa nama. Kita juga disambut dengan sehelai kain putih. Pada akhir hayat kita juga bakal dipakaikan dengan kain putih bernama kafan. Maknanya kita bukanlah siapa-siapa sehingga Allah mengajar kita ilmu dan kemahiran, mengangkat kedudukan kita dengan pelbagai jawatan dan gelaran, juga menganugerahkan harta benda yang banyak.

Kami berhenti bermiqat di Masjid Bir Ali. Ini adalah miqat bagi Jemaah yang bergerak dari Madinah. Masjid Bir Ali tidaklah terlalu besar dan ianya berwarna putih. Kelihatan ramai Jemaah yang sama-sama bermiqat dan ia adalah gambaran awal bagaimana kami harus bermiqat setiap kali melakukan umrah nanti.

 
Masjid Bir Ali (Telaga Ali) tempat bermiqat Jemaah dari Madinah

 

Sesunguhnya dalam setiap ibadah itu terdapat cabaran dan dugaan yang tersendiri. Seperti ibadah solat dan puasa, berihram juga mencabar kita menjaga 13 pantang larangnya serta pelbagai dugaan yang pastinya berbeza ke atas setiap individu.

Di Masjid Bir Ali, selesai solat saya berkenalan dengan seorang Jemaah, En Kamal dari Subang Jaya. Baru sahaja bersara beberapa bulan dengan Syarikat Petronas. Apabila kami melangkah keluar dari masjid, En Kamal telah kehilangan seliparnya. Beliau kelihatan sedikit kecewa. Katanya, “Macam manalah saya ni, belum pun sampai ke Mekah tetapi telah diuji dengan kehilangan selipar. Entah apa lagi ujian di sana nanti.” Saya memujuk beliau agar tidak terlalu memikirkannya dan berjanji cuba membelikan selipar baru di mana mana kedai berhampiran. Alhamdulillah, kebetulan ada sebuah kedai di dalam kawasan masjid yang menjual selipar dengan harga RS10. Saya katakan kepada beliau lihatlah bagaimana Allah mengambil dan mengembalikan dengan sesuatu yang lebih baru. Beliau tersenyum.

Perjalanan dari Madinah menuju Mekah mengambil masa 6 jam lebih. Dan sepanjang perjalanan menaiki bas ini saya terfikir bagaimanakah rasanya Rasulullah berhijrah dahulu. Bayangkan keadaan muka bumi Arab yang panas, kering dan tandus. Hanya bukit dan padang pasir. Jarang kami dapat melihat pokok apatah lagi sungai. Di dalam keadaan serba kepayahan ini Rasulullah berhijrah menaiki unta ditemani oleh Saidina Abu Bakar sahaja. Oh, andai sahaja baginda memilih saya, belum tentu saya mampu melaksanakannya memikirkan tanpa kenderaan, jalan raya, GPS dan tempat persinggahan…

Bercakap berkenaan tempat persinggahan, R & R di Arab tidaklah seperti di Malaysia. Saya pernah diberitahu Tok Jo seboleh-bolehnya janganlah mengunakan tandas di R & R kerana tahap kebersihan dan bekalan airnya yang terhad. Tetapi Allah maha berkuasa dan berkehendakkan hambanya yang satu ini merasa sedikit kesusahan di bumi Arab ini. Saya diserang sakit perut yang agak teruk sepanjang perjalanan. Dan ke tandas bukanlah suatu pilihan, bahkan keperluan. Maka sempatlah saya merasai pengalaman mengunakan bilik air di tengah gurun ini.


Suasana R & R Arab

 

Perihal telefon…

Saya telah diingatkan oleh seorang teman ketika di tanahair agar jangan lupa membeli kad sim Arab dan janganlah sekadar roaming pembekal perkhidmatan biasa kita. Haji Yasin menyatakan dia telah terperangkap kerana roaming dan bilnya melambung sehingga RM700 ketika di Mekah. Alhamdulillah, ketika di dalam bas lagi, seorang pegawai UTAS telah menjual kad sim dengan harga RS50. Sepanjang 15 hari di sana saya hanya isi semula RS50, itu pun masih berbaki RS18 ketika pulang. Padahal saya sentiasa menghubungi isteri setiap kali selepas solat dan umrah, dan menghubungi ayah serta Ummi di Malaysia beberapa kali.

SIM kad Arab
 

Jabal Uhud yang bersejarah

Hari ketiga di Madinah Jemaah kami dibawa menziarahi beberapa tempat bersejarah di sekitar Madinah. Antaranya adalah Masjid Quba’, masjid pertama yang didirikan oleh Rasulullah. Masjid Quba’ ini tersergam indah serba putih. Kami sempat bersolat sunat tahiyyatulmasjid dan solat dhuha. Kendatipun, saya kurang selesa dengan kanak-kanak perempuan yang menjual tasbih di sana. Iyalah, mereka ‘mengejar’ kita untuk membeli dagangan mereka yang berupa tasbih, dan hanya tasbih. Ketika di luar masjid bersama Shai, anak saudara saya, seorang budak perempuan telah mendekati dan mengunjukkan tasbih yang banyak. Kami menolak untuk membeli. Tetapi budak itu terus-terusan mendesak dengan membega-bega muka seakan mahu menangis. Kemudian kami buat acuh tidak acuh sahaja. “Bakhil,” kata budak itu sambil mencebik. Kemudian, budak yang sama pergi kepada seorang wanita berjubah hitam. Setelah merayu dan tidak dipedulikan tiba-tiba budak perempuan itu telah menangis dengan kuat. Bukan setakat itu, dia juga telah berguling-guling di tanah seolah olah terlalu kecewa. Mungkin kerana rasa bersalah, wanita itu telah membeli seikat tasbih budak itu. Yang anehnya, budak itu terus tersenyum dan memanggil rakannya yang lain.

 

Ketika di dalam bas, adegan serupa rupanya berlaku. Kanak-kanak perempuan ini merayu semua Jemaah untuk membeli tasbih mereka. Saya buat tak tahu sahaja, tetapi budak itu telah mencampakkan tasbihnya di riba saya. Saya kata, “Lak, lak” sambil cuba mengembalikan tasbih tersebut. Dia terus mendesak sambil memegang tangan saya. Buat-buat nak menangis. Saya kata, “kan dah batal wadhuk aku…”. Dia terus berlalu.

Dari Quba’ kami menuju ke Jabal Uhud. Uhud adalah bukit tertinggi di Madinah. Di sinilah tempat berlakunya Perang Uhud, perang yang kedua di dalam Islam selepas Perang Badar. Muzawwir kami menerangkan secara ringkas peristiwa peperangan tersebut dan kisah kematian Saidina Hamzah. Kami turun dan meninjau kawasan perkuburan yang berpagar. Oh ya, perkuburan di kedua-dua tanah haram ini hanyalah bernisankan sebiji batu bulat dan tanahnya diratakan. Tiada tulisan sebagai tanda milik siapakah sesebuah pusara itu, sekadar dikenali sebagai sebuah pemakaman.

Saya berjalan sambil mengimbau peristiwa Perang Uhud, tentang kehebatan strategi Rasulullah dan keingkaran tentera Muslim. Siapakah tokoh-tokoh besar yang terlibat dalam peperangan ini dan bagaimana Rasulullah telah tercedera. Dan tidak lupa bagaimana Saidina Hamzah, bapa saudara Rasulullah yang telah ditombak oleh Wahsyi dan kisah Hindun yang membelah dada jenazah Saidina Hamzah.

Kami terdiam seketika apabila mengingat peristiwa ini. Seramai 70 orang syuhada’ gugur manakala hanya 22 orang musyrikin yang mati. Dan tempat Saidina Hamzah gugur dikenal sebagai Bukit al-Rumah (bukit pemanah). Terimbau jua sejarah bahawa ketua angkatan Musyrikin Mekah yang mengalahkan tentera Islam adalah Khalid bin alwalid, yang kemudiannya memeluk Islam dan mendapat gelar Pedang Allah. Sesunguhnya menyaksikan sendiri tempat bersejarah ini memberikan kita kesan yang lebih mendalam daripada sekadar membaca buku dan mendengar cerita. Saya sempat melihat penanda suhu di sana yang mencatatkan suhu setinggi 45 darjah Celcius. Wah, dengan suhu setinggi ini, bagaimanakah agaknya mereka di zaman dahulu berperang dengan kelengkapan yang serba kekurangan dan jumlah yang sedikit? Sesungguhnya amat tinggi iman dan takwa mereka yang sebelum kita.

Ziarah kami diselang dengan lawatan sambil ‘melontar’ di ladang kurma. Ladang sebenar tidaklah kami dibawa melawat, sekadar tempat jualan produk kurma sahaja. Pelbagai jenis kurma ada dijual dengan harga yang pelbagai. Bayangkan sahaja kurma ajwa atau kurma nabi ada terdapat 4 jenis dengan harga bermula dari RS80 sekilo sehingga RS140 sekilo. Selain itu, produk berasaskan kurma seperti kurma bersalut coklat, kurma yang diisi kekacang di dalamnya dan jus kurma jua dijual. Dan orang Malaysia sememangnya terkenal dengan kehebatan skil ‘melontar’ ini.

Seterusnya ziarah kami melewati Masjid Qiblatain (Masjid di mana Rasulullah telah mendapat perintah agar menukar kiblat daripada Baitul Maqdis di Palestin ke Masjidil Haram di Mekah). Juga Masjid Sab’ah atau Masjid Tujuh. Masjid ini terkenal bersempena Perang Khandak. Seorang sahabat rasul dari Iran, Salman Al Farisi telah mengusulkan agar digali parit di sekeliling Madinah sebagai pertahanan. Parit yang digali adalah sepanjang 5.5km yang hanya memakan masa 10 hari untuk disiapkan. Ketujuh-tujuh masjid ini asalnya adalah pos kawalan tentera yang dikenal sebagai Masjid Salman, Masjid Abu Bakar, Masjid Umar, Masjid Uthman, Masjid Ali, Masjid Fatimah dan Masjid Fatah. Pada hari ini hanya lima buah masjid yang dapat dilihat dan ditutup kerana sebuah masjid baru bernama Masjid Khandak telah dibina.

Masjid Khandaq yang baharu

Banyak tempat berziarah ini hanya kami lewati dan tidak berhenti kerana kami mengejar waktu Zohor di Masjid Nabawi. Walau ada sebahagian Jemaah yang merungut kerana berasakan bahawa travel agent kami seakan menipu memandangkan lawatan hanya di atas bas, tetapi saya amat percaya bahawa mengejar fadhilat bersolat di Masjid Nabawi yang menyerupai dengan 1000 pahala itu pastilah lebih berbaloi.

Selamat tinggal Madinah

Hari keempat adalah antara hari paling sedih buat kami. Perpisahan pertama yang amat menghiris hati sedangkan cinta kami sedang berbunga. Kami terpaksa meninggalkan Masjid Nabawi ini dan mengerjakan umrah di Mekah. Muzawwir memberikan kebebasan untuk kami membuat ziarah wida’ di Masjidil Nabawi. Usai sarapan kami mengemas beg pakaian. Kemudian bersama-sama menuju ke masjid. Saya bersama Shai ke Perkuburan Baqi’ untuk ziarah. Perkuburan yang mengabadikan lebih 10,000 orang sahabat termasuklah Saidina Uthman bin Affan. Manakala Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar bersemadi di sisi makam Rasulullah. Saidina Ali pula dimakamkan di Karbala, Iran.

 
Perkuburan Baqi’

Hari ini saya ikut masa sendiri untuk bermunajat di Raudhah. Memasuki pintu Babussalam, hati tetap merasa sayu. Apatah lagi apabila memikirkan bahawa ini adalah lawatan terakhir. Saya mengambil peluang solat di mehrab Saidina Uthman, barisan paling hadapan dalam Masjid Nabawi. Muzawwir ada menyatakan ketika solat fardhu, ramai Jemaah yang berebutkan tempat di Raudhah sedangkan keutamaan solat jamaah adalah di saf paling hadapan. Ada kebenaran di situ.

Sempat juga bersolat tahiyyatul masjid, solat dhuha, solat taubat dan solat hajat. Saya sempat juga menghabiskan membaca Surah Luqman. Entah mengapa hati terasa begitu sayu ketika membaca surah ini. Air mata terus tumpah tanpa dapat ditahan-tahan. Teringatkan Abang Lokman barangkali. Di akhir bacaan saya sujud, makin laju air mata bercucuran. Apa yang boleh saya katakan, serasa hati lebih tenang ketika bersujud, seolah tiada hijab tika doa dilantunkan.

 
Beginilah keadaan raudhah sepanjang waktu

 
Kawasan Raudhah dapat dipastikan dengan permaidani berwarna hijau. Selain itu permaidani berwarna merah

Beberapa ketika, saya bangkit. Mengangguk kepala kepada Shai, tanda besedia untuk ke Raudhah. Saya tahu, kemungkinan untuk bersolat bersebelahan di Raudhah adalah hampir mustahil. Jadi kami harus pandai mencari peluang dan mengambil kesempatan. Saya tinjau keadaan di hadapan mimbar nabi. Teringin untuk solat di situ. Saya panjatkan doa memohon agar diberi kesempatan Allah. Selang beberapa ketika, seorang hamba Allah menarik tangan saya seraya memberikan tempatnya. Saya panggung kepala, “MasyaAllah!”, saya berada betul-betul di hadapan mimbar nabi. Saya solat dan bermunajat. Salam dan dapat solat lagi sekali. Maha Suci Allah yang mengabulkan doa hamba-Nya tanpa bertangguh. Selesai doa, saya bangun dan memberi laluan kepada Jemaah lain. Semoga Allah memberkati hamba-Nya yang berkongsi.

Dari Raudhah saya bergerak ke makam Nabi. Walau telah beberapa kali melaluinya, hati tetap merasa sebak. Apatah lagi ini adalah ziarah wida’. Saya panjatkan doa agar ini bukanlah ziarah saya yang terakhir ke Masjid Nabi. Sesungguhnya perpisahan ini terasa amat berat.

 

Umrah, suatu perjalanan spiritual

 

Mulanya di sini…

Alhamdulillah, pada 12 Jun 2013 saya telah dijemput oleh Yang Maha Kuasa mengerjakan ibadah umrah bersama isteri dan keluarga. Ibadah yang memang telah dirancang sejak tahun lalu akhirnya direstui Allah melalui agen UTAS. Dan catatan pendek ini pastinya bukanlah luahan keseluruhan rasa sepanjang perjalanan bahkan sekadar coretan kenangan paling berharga buat saya.

Perjalanan kami bermula pada hari Rabu. Seawal jam 11 pagi kami telah berkumpul di KLIA ditemani kedua-dua belah keluarga tercinta. Rasa sayu begitu terasa terutama ketika memeluk Ummi sebelum berangkat. Dan memeluk Ummi bukanlah kelaziman saya sebelum ini. Saya berasa sedikit goyah pabila kaki mula melangkah ke balai berlepas mengenangkan apakah yang bakal menanti saya ‘di sana’ dan apa yang saya tinggalkan di sini. Cukup bersediakah saya?

Di dalam pesawat saya sempat menghabiskan dua juzu’ ayat suci al Quran. Bukan apa, cita-cita saya adalah mengkhatamkan alQuran sepanjang 15 hari perjalanan ibadah saya. Saya harap cita-cita ini berjaya. Cuma agak janggal apabila melihat ke luar pesawat dan langit masih cerah sedangkan perjalanan sudah memakan masa 6 jam.

 

Madinah, Bandar Bercahaya…

Jam 7.40 malam kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah, setelah transit di Riyadh selama satu jam. Keadaan agak kelam kabut kerana kurang penunjuk arah baik melalui sign board mahupun pegawai bertugas. Nasib kami baik apabila pegawai imigresen memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia dan segala urusan berjalan lancar. Terdengar beberapa perkataan Melayu diucapkan mereka seperti “Malaysia Bagus, Terima Kasih dan Jalan”.

Lebih kurang jam 10 malam kami tiba di Elaf Taiba, penginapan kami sepanjang berada di Madinah. Masuk ke bilik, saya selak tabir langsir dan alangkah kagumnya saya melihat Masjid Nabawi tersergam di depan mata. Rupa-rupanya hotel kami berada betul-betul di salah satu pintu masjid. Jelas kelihatan kubah hijau yang di bawahnya terletak makam rasul. Hati begitu terharu dengan peluang yang Allah beri kepada saya. Saya panggil isteri dan ibu mentua. Masing-masing tergamam seraya mengucapkan subhanallah. Ya Allah, Engkau telah menjemput kami dan menempatkan kami di sisi masjid yang mulia ini. Sesungguhnya air mata kami tidak mampu menebus segala nikmat yang Engkau berikan ini, ya Allah.

Masjidinnabawi dari bilik penginapan kami

 

Seketika, kami turun ke masjid untuk menunaikan solat jamak ta’khir. Hati tidak putus memuji kebesaran Allah yang telah mengizinkan kami menjejak kaki ke Kota Madinah yang Bercahaya. Sungguh Masjidin Nabawi adalah masjid paling besar pernah saya kunjungi. Mencari pintu masuk wanita sahaja memerlukan kami berjalan selama hampir 15 minit. Saya bersama anak saudara mengelilingi masjid. Rasanya belum puas melihat masjid kesayangan nabi ini. Baik binaannya, keagungannya mahupun ummat yang menghidupkannya…segalanya terasa agung.

Kami tiba di Babussalam. Hati terasa berdebar. Kami masuk dan menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid serta solat jamak. Sempat juga saya menunaikan solat taubat dan solat hajat. Di akhir solat, saya sujud syukur. Syukur atas kesempatan yang Allah berikan kerana memilih kami datang ke sini. Air mata terasa begitu murah. Dan saya tidak pernah berasa malu menumpahkannya di rumah Allah ini.

Sekonyong terdengar sedikit keributan di hujung saf. Oh, rupanya itulah Raudhah, tempat letaknya mimbar nabi dan kawasan yang dikisahkan sebagai tempat mustajab berdoa. Patutlah manusia berpusu-pusu mengambil kesempatan untuk bersolat dan berdoa di sana. Ya Allah, adakah aku pantas berada di sana, sedangkan hambaMu ini penuh dengan dosa? Ya Basit, Ya Wasi’ Engkau mudahkanlah urusan hambaMu ini. Engkau berilah peluang untuk aku solat di sana. Saya bertawakkal dan melangkah ke pinggir Raudhah. Tiada ruang kosong untuk bersolat, hatta untuk berdiri menunggu giliran. Manusia kelihatan seperti tidak mahu berganjak, sedangkan yang masih menunggu semakin ramai. Saya sempat mengerling jam tangan, “sudah pukul 12.30 malam dan manusia masih ramai”.

Sesungguhnya Allah maha Berkuasa dan pasti Dia tidak mensia-siakan harapan hambaNYa. Pada waktu ramai Jemaah yang ditegur untuk mempercepatkan solat dan meringkaskan doa oleh sang pengawal, tiba-tiba terpacul perkataan, “Haji, Malizia, solat”. Seorang pengawal berbaju coklat berdiri di depan saya. Dia menyediakan ruang untuk saya bersolat! Cukup-cukup untuk saya bersolat dengan selesa. Ya Allah, nikmat apakah ini? Pada sujud terakhir, antara doa saya adalah memohon agar Allah muliakan tanah haram ini dan mereka yang memuliakannya. Saya sangat bertuah menjadi rakyat Malaysia.

Selesai salam, pengawal tadi sudah beredar dan tiada seorang pun manusia yang melangkah kepala saya ketika sujud. Air mata merembes lagi. Saya terus bangun demi memberi laluan kepada Jemaah lain untuk bersolat dan berdoa. Prinsip saya, Allah telah memberi saya peluang, saya patut berkongsi dengan manusia lain.

Saya kemudiannya menyertai Jemaah lain beratur untuk menziarahi maqam kekasih Allah. Hati sekali lagi terasa berdebar. Benarkah ini Ya Allah? Aku akan menemui kekasihMu? Melewati seakan pintu gerbang pertama, hati semakin tidak keruan. Saya tekap tangan kanan di dada. Terasa berombak kuat. “Assalamualaika Ya Rasulallah warahmatullahi wabarakatuh.” Saya tahan air mata daripada jatuh. Aku sampaikan salam saudara maraku di Malaysia kepadaMu wahai kekasih Allah. Ya Allah sampaikan hajat kami semua untuk sampai ke sini.” Begitu lebih kurang doa saya. Dua orang pengawal sibuk memarahi Jemaah di hadapan saya yang mengangkat tangan untuk berdoa. Katanya maqam bukanlah tempat untuk berdoa, tetapi berdoalah di raudhah. Tiba giliran saya, pengawal-pengawal ini tersenyum. Tiada suara teriakan mahupun suara marah. Malah mereka tersenyum kepada saya.

 

Saya berbangga menjadi warga Malaysia…

Kami bertemu semula di pintu khas untuk wanita. Sempat juga kami bergambar kenangan.  Cuma agak aneh dengan kehadiran belalang dalam jumlah yang banyak. Belalang ini seakan belalang kunyit dengan saiz yang besar tetapi berwarna coklat pudar. Walaupun banyak dan ada yang terpijak tetapi tidaklah pula terdengar ada jeritan ketakutan daripada Jemaah wanita.

Oh ya, di Masjid Nabawi sekarang sudah disediakan tong-tong berisi air zam zam yang dibawa dari Mekah. Ada yang telah disejukkan dan ada yang tidak disejukkan. Carilah tong yang bertulis Ghair Mubarrad untuk mendapatkan air zam zam yang bersuhu bilik. Saya tidak melepaskan peluang untuk memimun segelas air zam zam setiap kali masuk dan keluar masjid.

Suatu keadaan yang dapat saya pastikan adalah layanan warga Madinah dan Jemaah lain terhadap warga Malaysia. Andai bertemu mereka pantas menyapa, “Malisia? Malisia Bagus…” bahkan beberapa ungkapan dalam Bahasa Melayu sudah boleh dituturkan baik oleh para peniaga mahupun sesama Jemaah. Andai mahu berurusniaga, perkataan “sepuluh riyal, murah-murah, mari tengok, belilah, masuk…masuk,” sudah menjadi kelaziman.

Dan di tanah Arab ini, tiada sen digunakan, nilai terkecil adalah not 1 riyal manakala paling besar adalah not 1000 riyal. Semua barang biasanya akan bermula dengan harga 10 riyal sedangkan kita boleh tawar menawar dengan menggunakan Bahasa Melayu mudah. Andai bisa menggunakan beberapa perkataan Arab, mereka pasti lebih gembira dan akan menurunkan sedikit harga lagi.

Pun begitu, ada satu insiden pergaduhan ketika kami membeli jubah dan abaya di Madinah. Kejadian berlaku betul-betul di hadapan kedai kami berkunjung. Beberapa orang lelaki Arab mulanya sekadar bertikam lidah. Tetapi lama kelamaan melarat kepada insiden ejek mengejek dan mula bertumbuk. Bayangkanlah mereka yang bertubuh seperti Encik Muslim bertumbuk. Dalam hati saya berasa kecut juga terutama apabila pergaduhan mereka mula melarat ke dalam kedai yang kami kunjungi. Mujurlah para pekedai pantas menolak mereka keluar. Dan yang ajaibnya perkelahian mereka mengendur sejurus seseorang mengatakan bahawa ini adalah kota Madinah, letaknya makam baginda Rasulullah dan Rasulullah pastilah tidak menyukai umatnya bergaduh sesama sendiri.

 

April 29, 2014

Sunan – Nanggroe San Kembara
 
Aku mengaku sengaja melengahkan pembacaan buah tangan terbaru RAM ini. Walau telah lebih sepurnama Sunan di dalam genggaman, (kredit kepada Wan-Dyani atas usaha ke Karangkraf Shah Alam) hati ini seolah-olah ingin menguji kesabaran menyantap hidangan teristimewa RAM. Akhirnya, dua hari lalu aku memulai menatap helaian pertama.
Sunan, seperti yang diwarwarkan penulis dan sebahagian besar RAMIANS, adalah prolog kepada pengenalan Saifudin Jalis. Andai anda peminat tegar Sunan, sebahagian besar karakter dan jalan cerita tidak perlu diperkenalkan semula. Dan itulah jua yang disajikan oleh RAM. Tiada pengenalan meleret-leret dan jalan ceritanya padat serta lancar. Namun, aku percaya tidaklah menjadi kekeliruan kepada peminat baru untuk mengikuti sayemabara ini kerana ianya bersifat eccentric dan santai.
Aku terperasan yang gaya prolog ini ada persamaan dengan filem epik Star Wars yang mana siri kedua, ketiga dan seterusnya dibikin terlebih dahulu dan permulaan kisah dikebelakangkan. Beberapa kelebihan dan advantage menggunakan pendekatan seumpama ini adalah kekuatan sesuatu watak itu dapat diperteguhkan andai terdapat kelonggaran dalam karya-karya yang lalu. Plot cerita dan beberapa babak yang agak tergantung juga dapat diperkemaskan melalui pendekatan ini. Namun, terdapat juga beberapa cabaran yang mungkin menjadi gendala kelancaran seluruh ceritera iaitu keaslian cerita dan watak. Mungkin sahaja pada karya yang lebih baru, watak menjadi ‘terlebih matang’ sedangkan ia adalah dipermulaan cerita.
Tetapi keresahan itu tidak berlaku di dalam Sunan. Prequel ini hampir sempurna dan tidak langsung mengecewakan, sekurang-kurangnya kepada aku. Membacanya, ibarat mengulangkaji segala plot dalam lagenda Sunan yang enam naskhah itu. Dengan pengenalan watak baru, Engku Aminah, kerabat istana Pagar Ruyung, Sunan dirasakan sangat relevan dan munasabah. Hanya sanya, RAM suka menggantung segala minat dan imaginasi pada helaian terakhir dengan debaran siapa sebenarnya Engku Aminah, sedang rahsia itu hanya diketahui oleh Ratu Sulaman…oh, sesungguhnya gantungan ini sangat meresahkan sedang tidak diketahui bilakah kisah epic ini akan bersambung.
 
 

February 13, 2014

Ranggau


Ranggau

 
Antara hasilan awal RAM ini ternyata mempunyai ‘sengat’ tersendiri terutama pada separuh kedua novel. Mengisahkan mengenai Rusdi Salleh, seorang penulis novel penyiasatan yang diupah mencari anak jutawan Sabah yang hilang, Ranggau mampu membuat tidur aku tidak lena memikirkan kesudahan kisah ini. Walau agak perlahan pada awal pembacaan, RAM seolah-olah menguji kesabaran dan kesetiaan aku mengikuti segala ulahnya, sehinggakan akhirnya aku terjebak ke dalam golongan kultus ‘RAMians’. Kendati, jebakan ini bersifat baik dengan pengenalan pelbagai sudut positivism termasuklah unsur ketuhanan dan kekentalan jiwa.
Ranggau pada istilah sukuan Sabah merupakan makhluk halus yang menyesatkan manusia menerusi sifat jahat dalam diri. Atau bolehlah dikatakan sebagai syaitan yang berbisik. Dan di dalam tulisan ini, Ranggau adalah seorang doktor bedah bernama Doktor Zahid yang telah sesat akibat bersahabat dengan Benjamin, si Yahudi. Doktor Zahid telah membentuk Kim (Boon Sai) sebagai alat menjebak wanita untuk dibunuh dan diperdagangkan mata serta buah pinggangnya. Dan antara mangsanya adalah Janet, adik kepada kekasih Doktor Zahid sendiri, Ursula.
Selain sarat dengan unsur suspen, kasih sayang serta kekeluargaan, RAM tidak pernah lupa mendakwah pembaca melalui konsep keislaman terutama keutamaan solat dan berdoa serta berserah kepada Allah, tuhan yang satu. Bayangkan sahaja seorang novelis terpaksa menyelesaikan kes kehilangan Janet dan membongkar jenayah licik perdagangan organ berkat tawakalnya kepada Allah.
Secara keseluruhannya, Ranggau menyediakan platform awal kepada peminat RAM mengenai gaya penulisan menerusi kaca mata ‘aku’ yang banyak bermonolog. Ini dapat dilihat melalui hasilan karya ‘Aku Bercerita’ yang menemui peminat pada tahun 2012. Membaca Ranggau, walau telah sekian lama dihasilkan, tetap memberi kepuasan kerana aku merasakan ‘keikhlasan’ RAM dalam berkarya. Dan pada hari ini, nama Ramlee Awang Murshid gah di persada dunia penulisan tanah air walau rata-ratanya dikuasai penulis wanita. Aku, secara jujur mendoakan agar RAM terus aktif berkarya dan sentiasa tawadhuk kerana ilham dari Allah hanya turun kepada insan yang terpilih. Selamat Maju Jaya kepada RAM.

Prosedur tuntutan insuran kebakaran rumah


Prosedur tuntutan insuran kebakaran rumah

Tiada siapa yang mengharapkan kebakaran berlaku ke atas premis kediaman, sama ada yang disewakan apatah lagi yang diduduki sendiri. Penulis sendiri pernah menghadapi situasi ini dan ianya adalah suatu pengalaman yang mencabar. Dan dalam kes penulis, ianya berlaku ke atas rumah yang disewakan.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memastikan kediaman kita diinsurankan. Pun begitu, membuat tuntutan insuran, hatta melibatkan apa pun, sama ada premis mahupun kenderaan, prosesnya amatlah panjang dan kadang kala merumitkan. Apa yang perlu ada ialah kekuatan mental dan kesabaran yang tinggi.

Ketika mula-mula penulis menerima panggilan daripada penyewa berkenaan kebakaran ini, penulis berasa amat cemas. Pastikan sama ada kebakaran tersebut melibatkan kecederaan atau meragut jiwa. Andai tiada, lekaslah membuat laporan polis. Laporan polis ini lebih baik dibuat bersama pemilik dan penyewa premis. Simpan salinan laporan tersebut dan dapatkan nombor pegawai polis berkenaan bagi tujuan rujukan.

Langkah kedua, buat laporan kebakaran di balai bomba terdekat. Ini agak tricky kerana biasanya kita lebih alert dengan balai polis berbanding balai bomba. Dalam kes penulis, balai bomba terdekat adalah balai bomba Sungai Buloh. Dapatkan borang laporan kebakaran dan pastikan laporan kita telah dimasukkan ke dalam sistem komputer Jabatan Bomba dan Penyelamat. Biasanya laporan ini akan dikeluarkan dalam masa dua hari.

Dalam masa yang sama, laporkan berkenaan tuntutan insuran kepada penyedia insuran. Syarikat insuran akan melantik adjuster bagi membuat penilaian kerosakan dan dokumentasi tuntutan. Adjuster akan menetapkan tarikh dan masa untuk melihat premis yang telibat bersama pemilik. Pada lawatan ini, eloklah sekiranya pemilik membawa bersama kontraktor pembaikan rumah untuk sama-sama membuat anggaran kos pembaikan. Bill of Quantity (BQ) bersama gambar perlu disediakan untuk tujuan tuntutan kemudian.

Seterusnya, adjuster akan mengemukakan surat meminta dokumen Perjanjian Jual Beli (Sale and Purchase Agreement) premis dan Perjanjian Sewaan (Tenancy Agreement). Dokumen SnP ni agak sukar didapatkan kerana biasanya ianya di bawah simpanan pemberi pinjaman. So, hubungi bank untuk mendapatkan salinan SnP. Biasanya pemilik akan dikenakan bayaran RM10. Manakala Tenancy Agreement ini boleh dibuat ketika penyewa mula-mula menduduki premis. Andai tiada, usah risau, kerana perjanjian standard boleh didapati daripada firma guaman. Penulis mendapatkannya secara percuma daripada teman-teman peguam, hehe.

Berbalik kepada laporan kebakaran daripada balai bomba berdekatan, pemilik perlu mendapatkan laporan forensik kebakaran. Bagi negeri Selangor, laporan boleh didapati dari balai bomba seksyen 15, Shah Alam. Laporan ini boleh didapati dalam masa yang singkat. Setelah itu, bawalah laporan kebakaran dan laporan forensik ke ibu pejabat balai bomba negeri. Jika di Selangor, ianya terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam. Satu laporan rasmi akan dikeluarkan dengan bayaran RM50, rasanya.

Seterusnya, compile kesemua dokumen; Borang Tuntutan, Laporan Bomba, SnP, Tenancy Agreement, BQ dan gambar kepada Adjuster. Sekarang, kejarlah adjuster kerana mereka biasanya mengendalikan tuntutan lain juga dalam masa yang sama. Jangan segan untuk menghubungi mereka seminggu sekali untuk mengetahui perkembangan tuntutan kita. Biasanya adjuster akan stick kepada kos yang dinyatakan di dalam BQ, so kita bolehlah mengarahkan agar kontraktor memulakan kerja pembaikan memandangkan premis kita didiami oleh penyewa. Kesian penyewa andai terpaksa berpindah sementara.

Dalam kes penulis, keseluruhan tempoh premis terpaksa dikosongkan adalah hampir dua bulan. Berbincanglah bersama penyewa berkenaan bayaran sewa bulanan. Tolak ansur adalah jalan terbaik.

Dalam masa mengejar adjuster ini, sekali sekala cubalah hubungi syarikat insuran juga untuk memastikan tuntutan kita adalah di dalam proses bayaran. Bukan apa, biasanya adjuster ini terdiri daripada pekerja sambilan dan kemungkinan untuk mereka bertukar pekerjaan adalah tinggi. Dalam kes penulis, adjuster telah bertukar ke Johor Bahru sedangkan tuntutkan masih belum diselesaikan. Nasib baik penulis terus mengejar syarikat insuran. Akhirnya bayaran dibuat melalui pindahan akaun dan jangan lupa untuk membayar kontraktor seperti yang dijanjikan.

Walaupun tuntutan ini kelihatan rumit dan mengambil masa yang panjang, tetapi pemilik boleh melakukannya sendiri tanpa mengupah peguam. Pada masa yang sama, kita dapat pengalaman yang bukan selalu kita dapatkan. Semoga catatan ini dapat memberi sedikit manfaat kepada anda semua.