Jangan berhati Tikus....
Sebermula kisah adalah seekor tikus yang sentiasa tidak tenteram hatinya. Bukanlah dia mengeluh mengenai rumahnya yang tidak secantik 'rumah-rumah agam di Astana' tu, bahkan dia sangat bersyukur dapat menumpang berdiam di dalam longkang belakang rumah akak catty. Adapun apa yang menggundah gulanakan hati si tikus adalah kehadiran si Chika, seekor kucing breed Australian Cancoon (eh, betul ke ejaan dia?), yang asyik menghendap dan mengejarnya tiap kali si tikus keluar dari kediamannya. Akhirnya, si tikus mendapat satu idea untuk berjumpa dengan tukang sihir.
Kepada tukang sihir, si tikus mengadu nasib, "Wahai tukang sihir, ubahkan aku menjadi kucing, agar hidupku menjadi tenang". Tukang sihir pun menjampi dan si tikus pun bertukar menjadi seekor kucing. Sekarang si tikus yang bertukar menjadi kucing berani pulang dengan megah. Belum pun dia sampai, si tikus yang telah bertukar menjadi kucing dikejar seekor anjing. Si tikus pulang berjumpa tukang sihir.
"Wahai tukang sihir, tukarkan aku menjadi anjing, agar aku menjadi lebih besar dan lebih gagah," pinta si tikus. Tanpa berlengah tukang sihir menjampi tikus berubah menjadi seekor anjing. Tikus terus berlalu dengan semangat yang lebih besar. "Kali ini Chika pasti takut melihatkan aku. Aku dah besar, kuat dan gagah," bisiknya kepada diri sendiri. Dalam perjalanan, si tikus yang sekarang adalah seekor anjing bertemu seekor singa. Lalu singa mengejar si tikus tanpa belas. Dengan perasaan ultra-takut si tikus kembali menemui si tukang sihir. Kali ini si tikus mahu menjadi pemburu agar boleh menembak singa.
Setibanya si tikus di rumah tukang sihir, belum pun sempat dia menyampaikan isi hatinya, tukang sihir bersuara, "Kali ini aku tidak dapat membantumu. Bukan kerana aku tidak dapat menukarkanmu menjadi manusia, tetapi selagi kamu mempunyai hati seekor tikus, kamu tidak akan pernah berani. Apa yang berubah adalah fizikalmu, tetapi hatimu tetap ciut, kecil dan penakut". Si tikus terpana.
Moralnya, beranilah sikit beb. Sifat berani amat penting sekarang kerana ujian datang dalam pelbgaai bentuk. Kalau kita penakut, semua ujian kita bakal gagal. Ibarat kata bijak pandai; A ship in port is safe, but it's not what ship made for. Sail out and face the challange.