March 5, 2013



Aku Bercerita

 

 

Buah tangan terkini Ramlee Awang Murshid mengetengahkan pendekatan baru dalam penulisan novel. Masih kuat memegang konsep triller, RAM bukan sahaja menyajikan sebuah, namun lima buah cereka yang bersifat individual namun saling berkait. Lima buah cereka yang berlainan perisa merupakan satu bonus kepada pembaca, kerana setiap satunya membawa latar zaman dan karakter serta isu yang berbeza. Namun semuanya masih sahaja terkait kuat dengan watak “Aku”.
Aku Bercerita (AB) mengisahkan “Aku” , seorang penulis prolifik yang menghabiskan cutinya di Pulau Pinang buat mencari idea tulisan barunya namun seakan terkena sindrom writer’s block. Aku menghadapi kisah aneh apabila mendapati satu persatu cereka terpapar di dalam skrin komputer ribanya. Gaya penceritaannya seakan-akan gayanya, namun bukanlah miliknya. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, cerita itu disalin ke dalam pen drive dan dipadam. Bukan satu, tetapi lima buah cereka. Sekarang hanya hatinya yang menimbang samada mahu menjadikan kesemua cereka itu karya miliknya atau tidak.
Pembaca pasti sahaja terbuai dengan pelbagai genre yang dihidangkan oleh RAM dalam AB. Bermula dengan Bunian, kisah berlatarkan kehidupan zaman 50-an yang masih tebal dengan kisah bunian dan mistik. Gaya bahasa yang sesuai pasti sahaja menyeret pembaca merasai suasana kampung bernuansa aman dan damai sehingga tercetusnya keributan apabila manusia dan bunian menembusi hijab dunia masing-masing. Saya hampir sahaja percaya bahawa Jailani itu adalah manusia…
Cereka kedua adalah Culik. Kisah ini lebih bersifat thriller moden dengan penculikan Lisa, anak tunggal jutawan, Mizwar. Pace cerita ini adalah inti dan nadi kepada Culik sesuai dengan plot yang jelas dan tidak berbelit-belit. Kalau diamati, ada sedikit persamaan dengan 9 Nyawa.
Seterusnya pembaca dihidangkan dengan Cinta Matiku. Berlatarkan tahun-tahun awal selepas Merdeka, Cinta Matiku membawa pembaca mengimbas cinta antara Tahir dan Rukiah. Tahir, anak seorang pemilik ladang kelapa sawit dituduh membunuh Rukiah, cinta matinya. Ah, terus-terusan aku meneka bahawa Rukiah adalah Rukiah, namun dia adalah Kefira Hebrew atau Kalsom atau Rukiah. Disulami sejarah perjuangan Perdana Menteri Malaysia kedua, Cinta Mati juga menceritakan kelicikan gerakan komunis di Tanah Melayu.
Sang Kancil pula mengambil slot seterusnya dalam AB. Umpama membaca kisah dan tauladan, Sang Kancil mengajar dalam diam, menjentik dalam geram dan menggugah dalam leka. Satu ungkapan paling glamer dalam Sang Kancil adalah, “Dalam dunia manusia banyak terdapat haiwan, tapi dalam dunia haiwan tiada terdapat manusia”. Haha…betul juga kan. Sang Kancil menceritakan mengenai Ahmad, seorang anak yang pendiam dan sering disisihkan, namun mempunyai satu kelebihan iaitu baik hati. Atas kebaikannya menyelamatkan sang kancil daripada jerat, dia akhirnya dibawa ke Pelangi Awangan dan mempelajari pelbagai kemahiran dalam dunia haiwan. Kemahiran Ahmad akhirnya berjaya menggagalkan rompakan di bank tempatnya bekerja dan dihadiahi sebuah kereta Kancil.
AB akhirnya ditutup dengan kisah Cut. Tidak sukar ditebak waktu mula membaca cereka penutup dalam AB ini sebagai sebuah babak lakonan apabila jalan ceritanya sangat dekat dengan cerekarama di dalam tv. Mengisahkan perkahwinan Herman dan Cut Asmidar yang diadakan secara tergesa-gesa buat menutup aib keluarga kaya Ibrahim Fakeh yang banyak berjasa kepada Pak Ayub. Sungguh pun sarat dengan emosi, RAM dilihat bijak dengan menggunakan pace penceritaan yang laju dan penggunaan bahasa yang tidak meleret.
Akhir kepada sebuah pengakhiran adalah, siapakah Aku dalan AB apabila pemilik sebenar kelima-lima cereka muncul menuntut haknya.
Secara peribadi, saya merasakan bahawa RAM sememangnya seorang penulis dan penghibur. Beliau membawa gaya penceritaan baharu dalam penulisan. AB bukanlah sebuah antologi walau hampir sama sifatnya. Ini kerana watak “Aku” akhirnya terungkai jua. Dan saya berasakan bahawa AB ini adalah hadiah RAM kepada peminat tegarnya kerana  dia menghadiahi 5 cerita dalam sebuah novel. Hebat bukan?