Hanya Jauhari....
Suatu hari Zunnun telah datang ke sebuah kampung untuk berdakwah. Beliau adalah seorang ilmuan agung yang sangat sederhana penampilannya. Berbanding namanya yang masyhur, Zunnun sangat sederhana dalam berpakaian seperti orang biasa. Setelah menyampaikan kuliahnya, seorang pemuda datang menemuinya. "Wahai tuan, saya ada satu kemusykilan yang ingin ditanyakan kepada tuan," begitu soalan si pemuda. "Tanyalah wahai anak muda. Semoga Allah membantuku menjawabnya," jawab Zunnun. "Begini wahai tuan. Saya telah mendengar orang ramai menyebut tuan sebagai seorang ulama' besar. Bahkan sebelum tuan tiba ke kampung ini lagi, nama tuan disebut-sebut oleh penduduk di sini. Tetapi saya melihat tuan tak ubah seperti kami, rakyat biasa. Maksud saya, pakaian dan penampilan tuan amat sederhana sekali, tidak sepadan dengan sebutan nama tuan yang masyhur," soalnya. "Oh begitu. Sebelum aku menjawab soalan kamu, bolehkah kamu melaksanakan permintaanku?" sahut Zunnun. Si pemuda mengangguk setuju. "Kamu ambil cincinku ini dan bawalah ke pasar sana. Tawarkan cincin ini kepada orang ramai dengan harga tidak kurang daripada sekeping emas. Setelah kamu berjaya, pulanglah menemuiku dan aku akan menjawab soalanmu tadi," syarat Zunnun.
Si pemuda mengambil cincin tersebut sambil menuju ke pasar. Puas ditawar cincin Zunnun kepada setiap peniaga dan pengunjung pasar, tetapi masing2 tidak berminat dengan harganya. Kalau ada pun, seorang penjual ikan menawarkan dengan harga sekeping wang perak. Si pemuda terpaksa menolak tawaran penjual ikan. Jauh di dalam hati pemuda itu berkata,"Melihatkan cincin yang berkarat dan tidak menarik ini, mustahil ada yang mahu membelinya dengan sekeping wang emas." Akhirnya si pemuda pulang menemui Zunnun dengan membawa cincin yang tidak laku.
Pemuda tersebut menceritakan perihal cincin yang tidak dapat ditukarkan dengan wang emas kepada Zunnun. "Baiklah. Sekarang kamu pergi ke sebuah kedai emas di pekan sana. Kamu tanyakanlah sesiapa yang mahu menukarkan cincin ini dengan sekeping emas," arah Zunnun. Si pemuda lantas menuju ke kedai emas. Setibanya dia di sana, diunjukkan cincin Zunnun kepada pemilik kedai sambil menawarkan harga sekeping wang emas. Alangkah terkejutnya si pemuda apabila pemilik kedai menawarkan harga seratus keping emas. Bahkan beberapa pelanggan di kedai emas juga turut berminat dengan menawarkan harga yang tinggi kepada si pemuda. Si pemuda memohon agar penjualan tersebut ditangguhkan kerana dia ingin mendapat kebenaran daripada Zunnun, pemilik cincin.
Si pemuda pulang dengan hati yang girang. "Tuan, sungguh para peniaga dan pengunjung pasar tidak tahu menilai cincin ini. Mereka hanya menilai luaran cincin dan sanggup menawarkan harga sekeping perak. Sedangkan di kedai emas, mereka benar-benar mahir tentang keistimewaan cincin ini. Mereka meletak sehingga seratus keping wang emas!" demikian dikisahkan oleh si pemuda. Sambil tersenyum Zunnun berkata, "Nah, itulah jawapanku untuk soalanmu pagi tadi. Rupa paras luaran tidaklah menunjukkan nilai sebenar sesuatu itu. Demikianlah juga kita sebagai manusia. Ramai yang tersalah anggap dengan pandangan mata sedangkan hanya pandangan hati dan imanlah yang paling tepat. Bak kata pepatah lama, 'Hanya Jauhari Mengenal Manikam."