Hatiku Di Harajuku
Satu kelebihan di dalam penulisan karya fiksyen adalah
kebebasan untuk berimaginasi. Di sini, segalanya hampir tiada garis sempadan
selagi ianya masih di dalam lingkungan logika akal. Baik jalan cerita, watak,
plot mahupun bahasa, segalanya terpulang sahaja di dalam kawalan si penulis. Dan
sebagai pembaca, haruslah sesekali melepaskan cengkaman logik demi menikmati
keseluruhan hidangan. Misalnya di dalam Hatiku Di Harajuku (HDH), lupakan
seketika logika di mana tradisi Jepun yang sangat tegar dan ekslusif terhadap
budaya samurai dan yakuza. Kendati pun,
Ryu-Watanabe adalah samurai paling digeruni di tanah Edo sedangkan dia adalah
seorang berbangsa Melayu! Kenyataan yang sangat ekstrem dan hampir menongkah
logika akal bukan?
HDH membawa pembaca mengenal kisah percintaan Ryu-Watanabe
dan Noriko puteri Oyabun Nagamaru, ketua Yakuza Amikie. Ketika itu kumpulan
samseng ini disaingi oleh satu lagi kumpulan iaitu Yakuza Jiro. Gandingan
Ryu-Noriko yang mahir dengan seni mempertahankan diri kenjutsu merupakan tonggak
utama Yakuza Amikie. Yamazaki telah menghadiahkan Tou Aii atau pedang cinta
kepada keduanya. Namun cinta yang terjalin akhirnya kandas di tengah jalan.
Kuasa cinta sangat mempengaruhi kehidupan, hatta
kelangsungan atau survival Amikie. Dan Jiro mengambil kesempatan ketiadaan Ryu
Watanabe yang membawa diri dengan menghapuskan seluruh organisasi Amikie. Yang tinggal
kini hanyalah Noriko yang terpaksa membalas dendam cara ninja.
HDH sarat dengan nuansa yakuza dan dendam. Dan pembaca
terheret sama menghayati keunikan bumi Edo serta degup nafasnya. Yang lebih
menarik adalah bagaimana RAM memadankan watak Ryu/Risham untuk menjadikannya
sentiasa logik. Kan permainan logika akal ini hampir tiada bersempadan kerana
bisa saja watak seperti Sabrina, Murni, Iskandar, Imam Daud, Kobun dan Saito
bersaing sesama sendiri. Keseimbangan ini menjadikan kita terus santai mengikut
rentak seorang samurai yang tanpa canggung menarikan kenjutsu.
Dan sebuah cerita hebat memerlukan pengakhiran yang hebat. Bagaimana
Ryu menemui jalan keluar atas segala dilema dan konflik, pembaca perlulah
mencarinya sendiri di dalam HDH. Kerana sesungguhnya, ia bukanlah kisah cinta
biasa.