May 21, 2013

MIKHAIL
 
Mengapa aku tidak pernah jemu dengan karya RAM? Kerana ianya tidak pernah gagal menggugah selera intuisiku. Lauk sesedap mana pun andai yang sama dihidang setiap hari pastilah akan menjadikan kita bosan dan putus selera. Berlainan dengan RAM yang bijak mengolah menunya sehinggakan apa sahaja yang dihidang menjadi sentiasa enak dan menyelerakan.
Begitulah jua apa yang aku rasa selepas puas ‘menghadap’ hidangan bernama Mikhail ini. Hidangan antarabangsa ini sangat terasa internationalnya kerana pertama wataknya membawa nama Rusia, Mikhail si pembunuh upahan professional. Mikhail mempunyai senarai mangsa yang perlu dibunuh dan dia berjaya melaksanakan tugasnya terhadap Yap dan Sundram di luar Negara. Kini hanya tinggal Dato’ Bakri dan Halim serta keluarganya. Kendatipun, demi melihat wajah Raihana, Mikhail 496 berubah fikiran.
Kali ini aku terpaksa membuat re-branding terhadap judul karya RAM. Biarlah aku namakan Mikhail 496 kerana terdapat beberapa orang Mikhail yang sering membunuh dan saling berbunuhan sesama sendiri. Elemen suspens dan thrill memang sangat kental di dalam karya kali ini apabila pembaca diheret secara halus untuk sama-sama menjejak sejarah latar belakang Mikhail 496.  RAM terus-terusan mencipta plot penyamaran, penipuan, brainwash, gila duit dan pengkhianatan. Jangan terkejut apabila RAM secara langsung menggunakan watak dan situasi beberapa anggota PDRM yang belot dan menjadi boneka Amerika. Tetapi tetap sahaja diimbangi dengan watak polis yang jujur dan cekap iaitu Zetty.
Kekuatan novel kali ini aku sandarkan kepada watak Mikhail 496 atau nama sebenarnya Mahmud Fadhil. Pada suku terakhir novel, barulah RAM bersedia membuka segala rahsia berkenaan Mikhail 496, Mikhail 155 dan Robert.  Dan menggunakan teori badan rahsia yang menguasai dunia seperti yang tertera di duit satu dolar menjadikan hidangan sangat inernasional.
Another good work and worth to read.