August 12, 2010


Yang Mana Satu...


Kisah ini adalah di antara seorang ayah bersama empat orang anaknya. Suatu hari sewaktu sang ayah baru pulang dari kerja, dia meminta anak sulungnya untuk mengambilkannya segelas air. Si along yang sedang asyik menonton tv lantas bangun menuju ke dapur. Seketika kemudian, along kembali bersama segelas air dan menyuakannya kepada sang ayah. "Ayah, di rumah ini masih ada ramai manusia lain, kenapa ayah tetap menyuruh along?" Terkejut sang ayah dengan jawapan si along.


Pada hari yang lain pula, sang ayah telah meminta diambilkan air kepada anaknya yang kedua, si angah. Angah tetap melaksanakan perintah ayahnya dengan mengambil air minuman. Sekembalinya angah ke ruang tamu, dia berkata kepada si ayah,"Ini airnya ayah, tetapi ayah kena bayar angah RM1.00 untuk perkhidmatan angah. Sang ayah terus terdiam.


Pada waktu yang lain pula, sang ayah meminta diambilkan minuman kepada anaknya yang ketiga, si uda. Uda bingkas ke dapur dan diambilkannya air seperti permintaan sang ayah. Gelas diletak di sisi ayah dan Uda terus beredar. Oh, rupanya Uda takut kepada ayah.


Dan seterusnya sang ayah meminta diambilkan air kepada anaknya yang bongsu, Adik. Adik bingkas ke dapur membancuh air minuman. Sempat juga Adik membawakan kuih yang dibuat ibu. Setelah mempersilakan ayah makan dan minum dengan sopan, adik berkata;"Ayah pasti penat bekerja. Kasihan Adik melihatkan ayah bekerja bertungkus lumus untuk menyara kami sekeluarga. Mari Adik urut bahu ayah." Sang ayah tersenyum.


Tak lama selepas itu, sang ayah mahu bekerja di luar kawasan. Sebelum ayah berangkat, semua anak-anaknya menemui ayah. "Along nak beg tangan," kata Along. "Angah nak jam berjenama," pesan Angah. "Uda nak baju cantik," order Uda. "Adik?" sang ayah pula bertanya. "Adik cuma mahu ayah berhati-hati dan jangan lupakan kami di sini. Adik mohon kepada Allah semoga Ayah sentiasa selamat dan sejahtera dan kembali ke pangkuan kami," cuma itu pinta Adik.


Nah, cuba baca apa jawapan sang ayah. "Along, bila ayah minta air daripada along, along sering merungut. Along buat, tapi sebab ayah yang arah, Along terpaksa. Angah pula, Angah ambilkan sebab angah bertanyakan apakah ganjaran yang bakal ayah beri. Uda, Uda laksanakan perintah ayah sebab Uda takut Ayah marah. Tapi Adik, Adik laksanakan perintah ayah sbb adik cinta ayah. Sebab itu Adik buat lebih daripada apa yang ayah pinta.


Begitulah kita sebagai manusia di dalam menjalankan perintah Allah. Ada di antara kita menjalankan perintahNya dengan sangkaan, "Dah itu perintah Allah, kenalah kita laksanakan. Semua manusia kena laksanakan." Sebab itu hasil perbuatan kita sambil lewa sahaja. Ada juga di antara kita yang melaksanakan perintah Allah sebab kita tengok apa ganjarannya. Sampaikan ada yang memilih-milih dalam menjalankan perintah. Ada juga di kalangan kita yang menjalankan perintah sebab kita takut kepada kemarahan dan kemurkaan Allah. Kita takut kalau kita tidak solat atau puasa, kita akan dicampak ke dalam neraka. Sedangkan setinggi-tinggi martabat adalah apabila kita melaksanakan perintah kerana kecintaan kita kepada Allah.


Lihat sahaja kecintaan Rasulullah kepada Allah, baginda sanggup mendirikan solat sunat sehingga bengkak dan menggeletar kakinya. Demikianlah hebatnya cinta kerana cinta membuatkan kita melakukan lebih dari yang dipinta. Dah, tak reti2 lagi nak wat solat tarawikh ker?"