February 21, 2012

Belon?
Pak Hardi menolak trolley jualan belonnya masuk ke taman permainan kawasan elit itu. Beberapa bule (orang putih) menoleh memandangnya. Kehadiran Pak Hardi bukanlah sesuatu yang menghairankan, bahkan sangat dinanti-nantikan oleh anak-anak. Sebaik sahaja Pak Hardi berhenti di sudut taman permainan itu, anak-anak menyerbu mendapatkannya. Masing-masing membeli belon yang bermacam warna itu. Setelat puas bermain, mereka akan melepas belon ke udara, bertanding belon siapakah yang paling tinggi di angkasa.
Pak Hardi berasa puas melihatkan anak-anak tertawa riang, dan dia adalah sebahagian daripada sebab keriangan itu. Sehiris senyuman tersuging di bibirnya. Tiba-tiba matanya terlihat seorang anak yang sedikit terpojok, kurang lincah dan tidak mahu bermain bersama anak-anak lain. Pak Hardi mendekat seraya bertanya,"Kenapa kamu pakcik lihat menjauh dari teman-temanmu, nak?" "Pakcik, aku hanya akan bersam temanku andai aku memiliki belon yang terbangnya setinggi langit, dan belon itu mestilah berwarna hitam. Bolehkah pakcik mendapatkan belon seumpama itu buatku, Pakcik?" jawab si kecil. "Boleh, tetapi mengapa mesti hitam? Apa lebihnya belon hitam?" soalan tambahan Pak Hardi tak mampu menyembunyikan rasa ingin tahunya.
"Cuba pakcik lihat belon-belon lain. Semua warna telah mereka miliki, yang merah terbang lebih tinggi daripada hijau, kuning, biru dan putih. Saya pasti belon hitam pasti lebih gagah, lebih kuat dan akan terbang lebih tinggi berbanding yang lain," jelas si kecil penuh semangat. Pak Hardi mengangguk dan menyerahkan belon hitam kepada si anak. Lantas belon hitam dilepas naik ke udara. Terpancar riak kebahagiaan di wajah sang anak pabila dia mengangkasakan belon hitam itu.
Pak Hardi mengelus lembut belakang si anak seraya bersuara," Nak, lihatlah kepada belon. Semua belon adalah sama, semuanya terbang ke angkasa bila dilepas. Tidak kiralah belon merah, hijau, biru mahupun hitam. Apa yang membuat belon terbang bukanlah warnanya, tetapi isinya, samada ianya gas helium, nitrogen atau oksigen. Makanya anakku, apa yang menjadikan manusia berjaya bukanlah sifat luarannya, rasnya, warna kulitnya atau fizikalnya, bahkan sifat dalamannya. Attitude kitalah yang bakal membawa kejayaan kita. Janganlah kita tertipu dengan fahaman salah ini lagi...". Dan hari itu si anak mendapat pelajaran terbaik daripada Pak Hardi, si penjual belon.

Apa yang kita punya?


Husaini (sekadar meminjam nama) berjalan tanpa tujuan. Hatinya kusut memikirkan poketnya yang kosong. "Apalah yang akan kubawa pulang untuk mengisi perut anak dan isteriku?" pertanyaan yang tiada jawapan, berlegar dan bergema di benak fikirannya. Tiba-tiba Husaini terpijak sesuatu. Apabila diamat-amatinya, sekeping syiling yang kelihatan sangat buruk. Lalu diambil dan dibawa ke bank. Fikirnya biarlah dia bertanya kepada yang expert mengenai syiling itu.

Ternyata syiling tersebut adalah syiling purba dan pihak bank mengusulkan agar dibawa berjumpa dengan pengumpul barang purba untuk diketahui nilaiannya. Husaini bergegas menemui penumpul barang purba dan wang tersebut dibeli dengan harga RM30. Itulah rezeki terpijak namanya.

Dengan wang RM30 Husaini berjalan pulang. Syukur kerana dia sudah punya wang untuk membeli makanan. Dalam perjalanan pulang, dia terjumpa seorang lelaki yang sedang memikul sekeping kayu. Husaini sangat tertarik melihatkan kayu yang sangat elok pada perkiraannya itu. Lalu dibeli dengan harga RM30. Kayu itu akan digunakan untuk membaiki dinding rumahnya yang sudah terkopak.

Di pertengahan jalan Husaini berhenti sebentar di bawah pokok. Melepas lelah dan penat pada cuaca yang panas dan memeritkan. Di hadapan tempatnya berehat terdapat sebuah bengkel perabut. Tuan empunya bangkel sangat tertarik dengan kayu yang dibawa Husaini. Setelah diteliti, ternyata itu adalah sebatang kayu yang amat jarang ditemui dan sangat sesuai untuk dibikin perabut custom made permintaan seorang pelanggan kaya. Lalu empunya bengkel menawarkan harga RM100 untuk kayu tersebut. Husaini bersetuju, tetapi ditukarkan dengan sebuah almari yang kelihatan amat cantik, buat hadiah kepada isterinya di rumah.

Sekarang Husaini sangat gembira. Dalam perjalanannya pulang ke rumah, Husaini terlihat seorang wanita sedang termenung di hadapan rumah. Wanita tersebut baharu sahaja berpindah ke rumah tersebut dan sangat menginginkan sebuah almari. Tatkala terlihatkan almari yang sedang dipikul Husaini, wanita tersebut terus tertarik untuk memilikinya. Lalu berlakulah tawar menawar dan Husaini mendapat RM250. Alhamdulillah, rezeki daripada Allah.

Sekarang Husaini berasa sangat gembira. Ditangannya kini ada RM250 dan cukup untuk membeli barang keperluan dapurnya. Namun panas tidak sampai ke petang, Husaini telah dirompak di tengah jalan. Habislah wang RM250 di tangannya.

Setibanya di rumah, isteri Husaini berasa hairan, "Ke mana saja abang ni. Seharian suntuk abang keluar dan baru sekarang abang pulang?". "Abang dirompak...", perlahan sahaja suara Husaini. "Abang? Abang dirompak? Apalah perompak tu dapat daripada abang?" makin hairan isteri Husaini. "Sekeping syiling buruk..."jawab Husaini.

Moralnya, kenapalah kita selalu risau dengan perkara yang belum tentu milik kita. Kadang kala kita akan berasa risau memikirkan sesuatu nikmat, macam mana nak kembangkan dan dapat yeng lebih menguntungkan kononnya. Padahal semuanya milik Allah dan kita sepatutnya boleh menikmati seadanya andai tidak terlalu tamak...