July 31, 2013

Ramadhan Bertamu


Ramadhan Bertamu

 


Hari itu Ramlee kelihatan amat ceria. Kepada setiap teman sepejabatnya dia memberi salam dengan senyuman yang manis. Mana tidaknya, dia baru sahaja mendapat panggilan daripada ibunya yang menyatakan hasrat ingin bertamu selama sebulan. Dengan hati yang lapang Ramlee menyambut hasrat ibunya yang dikasihi. Lagipun, sudah setahun ibu tidak bertandang ke rumah.
Ramlee memohon untuk pulang awal kepada ketua pejabatnya. Ini tidak lain adalah bagi membuat persiapan menyambut ibu tersayang. Di rumah, Ramlee bersama keluarganya sibuk menyiapkan hidangan istimewa. Bilik tetamu dikemas dan dibersihkan. Bahkan sempat juga dia memasang cadar dan menggantung langsir baru. Febreez disembur agar udara menjadi segar dan wangi. Bukan hanya Ramlee, isteri dan anak-anak juga gembira dengan kehadiran wanita itu.
Saat yang dinanti akhirnya tiba jua. Si ibu sampai di muka pintu seraya memberi salam. Kesemua ahli keluarga menyambut tetamu itu dengan mesra. Si ibu dilayan dengan penuh santun dan hormat. Sejuk hati ibu melihatkan adab mereka sekeluarga. Ibu dilayan dengan hidangan istimewa dan tempat tidur yang selesa. Selain itu mereka anak beranak bagaikan tidak mahu melepaskan peluang untuk menyantuni ibu dengan sepenuh jiwa.
Hari terus berlalu. Keluarga Ramlee tetap meladeni tetamu mereka dengan layanan yang tidak berbelah bagi. Si ibu tidak pernah berasa jemu sepanjang bertamu di rumah ini. Setelah hampir genap sebulan si ibu menyatakan bahawa dia perlu pulang ke rumahnya sendiri. Ramlee sekeluarga berasa sedih. Hiba kerana terpaksa berpisah. Masa dirasakan terlalu pantas berlalu dan serasa masih banyak bakti yang perlu dicurah buat si ibu.
“Nak, ibu sudah mahu pulang. Sudah hampir sebulan ibu bertamu di rumahmu. Engkau telah melayan aku dengan sebaiknya dan ibu tidak akan melupakan kebaikanmu ini. Kepada illahi aku berdoa agar engkau termasuk dalam golongan anak soleh beserta keluargamu semua,” sayu suara ibu.
Nah, inilah perumpamaan bulan Ramadhan. Ia bertandang setelah setahun meninggalkan kita. Bagaimanaka agaknya layanan kita terhadap Ramadhan? Adakah kita mahu meneladani seumpama Ramlee atau kita buat acuh tak acuh dengan tetamu kita ini? Adakah kita akan semakin sibuk di akhir garisan Ramadhan dengan persiapan hari raya dan mengkesampingkan segala tawarannya? Sesungguhnya Ramadhan datang dan pergi, tetapi pastikah ini bukan Ramadhan yang terakhir buat kita?