October 1, 2013


MAGIS


 
Magis adalah karya terkini daripada RAM khas untuk peminat tegarnya. Magis menghimpunkan hero-hero daripada karya terdahulu seperti Saifudin Jalis aka Laksamana Sunan, Mikhail aka Mahmud Fadhil, Carlos aka Lebai Piut, Tombiruo aka Ejim dan Ryu-Watanabe aka Risham. Masing-masing telah diheret ke dunia hujung waktu melalui fenomena halo.
Maka masing-masing berserakan di beberapa lokasi berbeza seperti Buyuk Docia, Buyuk Rimsiz dan Buyuk Bulsinatur. Dunia hujung waktu adalah dunia pasca ledakan atom di mana tamadun telah musnah dan dikuasai peraturan rimba, siapa yang kuat, dialah raja. Dan raja dunia hujung waktu adalah Tuan Turak yang menjadi boneka sang Dajjal.
RAM bijak mencaturkan isyarat-isyarat kiamat dengan memasukkan elemen keruntuhan sifat beragama, kebejatan akhlak, kemabukan kuasa dan kecanggihan teknologi. Dan watak-watak musafir perentas waktu ini diberi peluang menghirup roh yang sama warga dunia hujung waktu. Hikmahnya? Setiap watak akhirnya menemui jati diri mereka yang murni, meski pernah bergelumang dosa dan ketelanjuran pada kehidupan zaman ini.
Melalui Magis, RAM dilihat amat berhati-hati dalam mengimbangi peranan setiap watak memandangkan setiap satunya adalah istimewa di hati pembaca. Kendati pun, saya dapat menangkap antara kelima-lima watak ini, RAM ‘terlalu’ menyayangi watak Sunan. Dan ini dapat dihidu sedari awal penceritaan yang mengisahkan peperangan antara Sunan dan Trang, wakil Raja Siam di Negeri Kayangan Bumi dan diakhiri dengan pertempuran Sunan dan Si Dajjal.
Sifat favoritism ini dipanjangkan lagi dengan kemunculan karya selepas ini berkisarkan Sunan, the beginning.
Secara keseluruhannya, Magis bukan sekadar pengumpulan watak hero yang bersifat alumni semata, kerana ianya menyuntik kesedaran bahawa dunia ini sudah terlalu tua dan menghadapi kiamat. Pelbagai tanda dan alamat telah pun berlaku dan RAM mengajar kita secara halus melalui mata hero-hero kita ini. Andai sebelum ini barat menyajikan The Avengers yang kononnya penuh kesaktian, Magis tidak pernah kalah kerana magisnya menyentuh nubari setiap peminat RAM…

Rahsia Perindu



Rahsia Perindu (RP) saya kategorikan sebagai second to Fisyen 301. Sebuah karya yang sangat intrigue, sangat challenging dan tidak jemu disantap. Dan satu lagi elemen yang saya belajar daripada banyak karya RAM, sometimes the blurb doesn’t do justice. Buktinya? Blurb RP mungkin hanya mengisahkan tentang Amylia sebagai peguambela Leopard, tetapi jalan cerita RP sangatlah berbeza.
Pembaca akan dipancing dengan watak siapakah Maria dan Harris, dan disasarkan sedikit dengan watak Jefry dan Rashdan, Junaidah dan Liza. Tetapi peneraju utama adalah Dr. Azlan! Bagi saya Dr Azlanlah watak utama dalam RP kerana beliau dapat menyelami jiwa sebenar Leopard dan ‘membimbing’nya kembali kepada jalan normal. Jalan cerita RP amat berbelit umpama ular melingkar. Terlalu banyak misteri yang perlu dirungkai dan hanya Dr Azlan yang memegang kuncinya.
Hanya pada lembaran-lembaran akhir barulah RAM ‘sudi’ membongkar segala misteri dengan mendedahkan siapa sebenarnya Amylia. Dialah Leopard, dialah Maria. Cuma watak Julia (peguam sebenar) agak terlewat untuk diangkat sebagai pendokong sampingan. Pun begitu, plot cerita yang didominasi proses psikoanalisis oleh Dr Azlan menunjukkan kesungguhan RAM mengorek ilmu kejiwaan yang bersifat klinikal, bukan sekadar mainan jiwa dan usikan rasa.
Secara keseluruhannya, saya menyukai RP kerana jalan ceritanya mencabar imaginasi saya. RAM terus-terusan sahaja membiarkan kita ‘hanyut’ dalam menghayati watak Leopard, Amylia dan Maria, sedangkan mereka adalah watak yang satu. Begitu ia memeningkan, tetapi ianya adalah suatu exercise minda yang bagus! Hail RAM!