MAGIS
Magis adalah karya terkini daripada RAM khas untuk peminat
tegarnya. Magis menghimpunkan hero-hero daripada karya terdahulu seperti
Saifudin Jalis aka Laksamana Sunan, Mikhail aka Mahmud Fadhil, Carlos aka Lebai
Piut, Tombiruo aka Ejim dan Ryu-Watanabe aka Risham. Masing-masing telah
diheret ke dunia hujung waktu melalui fenomena halo.
Maka masing-masing berserakan di beberapa lokasi berbeza
seperti Buyuk Docia, Buyuk Rimsiz dan Buyuk Bulsinatur. Dunia hujung waktu
adalah dunia pasca ledakan atom di mana tamadun telah musnah dan dikuasai
peraturan rimba, siapa yang kuat, dialah raja. Dan raja dunia hujung waktu
adalah Tuan Turak yang menjadi boneka sang Dajjal.
RAM bijak mencaturkan isyarat-isyarat kiamat dengan
memasukkan elemen keruntuhan sifat beragama, kebejatan akhlak, kemabukan kuasa
dan kecanggihan teknologi. Dan watak-watak musafir perentas waktu ini diberi
peluang menghirup roh yang sama warga dunia hujung waktu. Hikmahnya? Setiap watak
akhirnya menemui jati diri mereka yang murni, meski pernah bergelumang dosa dan
ketelanjuran pada kehidupan zaman ini.
Melalui Magis, RAM dilihat amat berhati-hati dalam
mengimbangi peranan setiap watak memandangkan setiap satunya adalah istimewa di
hati pembaca. Kendati pun, saya dapat menangkap antara kelima-lima watak ini,
RAM ‘terlalu’ menyayangi watak Sunan. Dan ini dapat dihidu sedari awal
penceritaan yang mengisahkan peperangan antara Sunan dan Trang, wakil Raja Siam
di Negeri Kayangan Bumi dan diakhiri dengan pertempuran Sunan dan Si Dajjal.
Sifat favoritism ini dipanjangkan lagi dengan kemunculan
karya selepas ini berkisarkan Sunan, the beginning.
Secara keseluruhannya, Magis bukan sekadar pengumpulan watak
hero yang bersifat alumni semata, kerana ianya menyuntik kesedaran bahawa dunia
ini sudah terlalu tua dan menghadapi kiamat. Pelbagai tanda dan alamat telah
pun berlaku dan RAM mengajar kita secara halus melalui mata hero-hero kita ini.
Andai sebelum ini barat menyajikan The Avengers yang kononnya penuh kesaktian, Magis
tidak pernah kalah kerana magisnya menyentuh nubari setiap peminat RAM…
best novel tu... emm, is this the first comment? xD
ReplyDeletebest...mmg best...
ReplyDeleteTerbaik. Cerita ni seolah2 pertempuran antara dajjal dam imam mahdi. Berkisarkan umst penghujung zaman.
ReplyDeletekan....
ReplyDelete