January 19, 2011

Nikmat Memang Jarang Datang Tapi Mesti Selalu Disyukuri


SENTAP

Mata Suwaibah merenung tepat ke wajah Fasihah, teman baiknya. Merah dan berair. Sebagai sahabat, Fasihah tidak pernah mahu mendesak Suwaibah menceritakan segala penderitaan yang ditanggung sahabatnya itu. Sekadar mampu menjadi pendengar, pendengar yang setia. Fasihah tahu temannya itu baru sahaja diduga dengan ujian yang maha hebat. Tetapi ujian yang hebat hanya diturunkan kepada hamba yang hebat.

"Kamu pun tahu kami agak lewat menerima kehadiran cahaya mata," Suwaibah memulakan bicara. "Sebagai seorang isteri, hadiah apakah yang paling besar boleh kita berikan kepada suami berbanding anak? Kamu pasti masih ingat kan bagaimana gembiranya aku ketika menceritakan berita kehamilanku dulu?" tanya Suwaibah. Ya, aku masih ingat bagaimana Suwaibah bersungguh-sungguh ingin menemuiku bagi menyampaikan berita gembira itu sendiri. Wajahnya bercahaya, matanya bersinar-sinar tanda kegembiraan yang teramat. Bukan macam sekarang, jauh sangat perbezaannya. Aku masih ingat bagaimana pada bulan kedua kehamilannya, Suwaibah beserta suami telah menyediakan bilik baby selengkapnya. Ada almari pakaian khusus dari bayi berumur sebulan sehingga setahun. Ada juga kotak permainan untuk anak-anak dari umur beberapa bulan hinggalah tiga tahun. Semuanya tersusun rapi, mengikut bulan, saiz dan warna. Oh ya, Suwaibah manusia yang paling teratur menyusun kehidupannya pernah kutemui. Rumah Suwaibah sangat kemas. Bahkan paling kemas pernah kulihat. Susunan, perabut, hiasan, warna dan kelengkapan sangat teratur. Bahkan aku pernah terlihat jadual mengemas rumah yang dilekatkannya di pintu peti sejuk secara harian untuk seminggu! Sangat berbeza denganku.

"Apabila Adam lahir, aku merasakan lengkaplah hidupku. Punya suami penyayang, anak yang comel, kediaman yang selesa. Aku sangat bersyukur. Sehinggalah Adam berumur tiga tahun, aku dapati Adam sangat berbeza dengan perangaiku. Adam suka membuat sepah sedangkan aku baru sahaja mengemas. Kalau aku susun sofa, tak sampai lima minit, dia akan tonggang terbalikkan semua bantal. Kalau aku betulkan langsir, Adam akan bergayut padanya. Pernah palang kayunya patah akibat gayutannya. Dan yang paling aku tak tahan, Adam paling pantang bila jumpa kertas. Pasti akan dicarik-cariknya sehingga halus. Kalau paper harian tu, akan dicarik halus, kemudian ditimbun menjadi bukit. Habis paper, dia akan cari majalah dan buku," sambung Suwaibah.

"Bukan tak pernah aku mengajarnya. Bukan tak pernah aku memarahinya. Bahkan banyak kali juga aku cubit dan piat telinganya tiap kali dia membuat sepah. Aku suruh dia berdiri atas kerusi sambil minta maaf dan berjanji tidak buat lagi. Tapi Adam tetap Adam, buat sepah, kena cubit, berjanji tak buat lagi, tapi lima minit lepas tu, seolah-olah dia lupa. Balik-balik aku jugak penat menata rias rumah," kali ni tangisan Suwaibah sirna.

"Suatu hari mak mertua aku call. Dia kata dia nak datang rumah, dah on the way pun. Aku pun apa lagi, bergegas mengemas rumah. Sofa aku susun, langsir aku betulkan, lantai aku sapu. Sembur fabreez buat hilangkan bau yang tak menyenangkan. Bila dah siap semua, aku ke dapur masak mee goreng kegemaran mak mertuaku. Dalam setengah jam semuanya selesai. Aku ke ruang depan, nak pastikan segalanya kemas dan teratur. Kamu tahu apa yang kulihat?" Suwaibah menggantung soalan.

"Apa yang berlaku?" aku bertanya tanpa sabar. "Aku tengok semuanya bersepah. Habis sofa yang kususun sekejap tadi terbalik. Langsir rumahku sudah runtuh, palang kayunya patah. Dan lantai, ya Allah...cebisan kertas bertabur ke seluruh ruang tamu. Pasu bunga, hiasan, semua dah berubah kedudukannya. Dan aku lihat Adam sedang leka mengoyak majalah kesayanganku.

Ammarahku memuncak. Aku jerit sekuat hati kepada Adam. Sangat kuat sehingga Adam kaget. Pasti dia terkejut melihatkan kemarahanku. Adam bingkas berdiri dan berlari keluar rumah. Aku kejar sambil memekik-mekik namanya. Saking takutnya Adam dan marahnya aku, tiba-tiba, Dammm!!! Ada cecair hangat terpercik ke mukaku. Merah dan masih panas. Adam terkapar di hadapan sebuah kereta. Aku terus dapatkan Adam. Terkulai di dakapanku dan tidak bersuara lagi.

Entah dari mana, tiba-tiba aku mendapat satu tenaga. Aku kendung tubuh Adam yang berlumuran darah ke dalam keretaku. Terus menuju ke hospital. Hon kereta aku bunyikan sepanjang jalan. Sampai di hospital, Adam dibawa oleh petugas di sana. Air mataku turun tanpa henti. Dalam hati hanya satu doaku, "Ya Allah, selama ini aku tidak pernah menjadi seorang ibu yang baik, berilah kesempatan untukku menjadi ibunya yang baik, walau hanya sehari..." Banyak mata yang memadangku, tapi tidak aku peduli. Seolah mata-mata itu mengejekku, "baru kini kau menyesal?"

Pintu bilik bedah tiba-tiba terbuka. Seorang doktor keluar diiringi beberapa orang jururawat. "Doktor, bagaimana Adam? Dia tidak apa-apa kan?" tanyaku tidak sabar. "Puan, harap puan banyak bersabar. Kami telah mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan anak puan. Tetapi Allah lebih menyayanginya. Sabar ye puan." Suara lembut doktor itu terasa umpama halilintar membelah jantungku. Dunia terasa gelap, ringan dan sangat sunyi...

Jemaah surau baru sahaja pulang. Suami dan ahli keluarga lain mulai masuk tidur. Berlainan denganku. Aku terasa sangat sunyi, bagai bumi setelah dilanda bencana, diamuk buana dan dilanggar geruda. Setiap sudut aku terlihat Adam. Di sofa itulah Adam selalu sepahkan kusyennya dan melompat-lompat. Di langsir itulah Adam selalu bergayut seperti tarzan. Di hadapan televisyen itulah tempat kegemaran Adam mengoyak kertas. Dan satu demi satu kenangan melintas di depan mataku. Lintasan itu semakin cepat dan laju dan kembali jelas pada peristiwa pagi tadi. "Kertas!" suaraku hampir berdesis. Kakiku melangkah deras ke tempat sampah di hadapan rumah. Aku punggah tong sampah dan segala isinya. Dan aku jumpa kertas terakhir yang disiat Adam. Bagai menatang emas sebongkah, cebisan kertas itu ku bawa ke hadapan rumah. Lalu kutabur tinggalan terakhir Adam, "Mengapakah aku tidak melihatnya cantik ketika aku berkesempatan untuk memujinya. Maafkan ibu, Adam..." Dan kini aku menyesal.