Prosedur tuntutan insuran
kebakaran rumah
Tiada siapa yang mengharapkan
kebakaran berlaku ke atas premis kediaman, sama ada yang disewakan apatah lagi
yang diduduki sendiri. Penulis sendiri pernah menghadapi situasi ini dan ianya
adalah suatu pengalaman yang mencabar. Dan dalam kes penulis, ianya berlaku ke
atas rumah yang disewakan.
Perkara pertama yang perlu
dilakukan ialah memastikan kediaman kita diinsurankan. Pun begitu, membuat
tuntutan insuran, hatta melibatkan apa pun, sama ada premis mahupun kenderaan,
prosesnya amatlah panjang dan kadang kala merumitkan. Apa yang perlu ada ialah
kekuatan mental dan kesabaran yang tinggi.
Ketika mula-mula penulis menerima
panggilan daripada penyewa berkenaan kebakaran ini, penulis berasa amat cemas. Pastikan
sama ada kebakaran tersebut melibatkan kecederaan atau meragut jiwa. Andai tiada,
lekaslah membuat laporan polis. Laporan polis ini lebih baik dibuat bersama pemilik
dan penyewa premis. Simpan salinan laporan tersebut dan dapatkan nombor pegawai
polis berkenaan bagi tujuan rujukan.
Langkah kedua, buat laporan
kebakaran di balai bomba terdekat. Ini agak tricky kerana biasanya kita lebih
alert dengan balai polis berbanding balai bomba. Dalam kes penulis, balai bomba
terdekat adalah balai bomba Sungai Buloh. Dapatkan borang laporan kebakaran dan
pastikan laporan kita telah dimasukkan ke dalam sistem komputer Jabatan Bomba
dan Penyelamat. Biasanya laporan ini akan dikeluarkan dalam masa dua hari.
Dalam masa yang sama, laporkan
berkenaan tuntutan insuran kepada penyedia insuran. Syarikat insuran akan
melantik adjuster bagi membuat penilaian kerosakan dan dokumentasi tuntutan.
Adjuster akan menetapkan tarikh dan masa untuk melihat premis yang telibat
bersama pemilik. Pada lawatan ini, eloklah sekiranya pemilik membawa bersama
kontraktor pembaikan rumah untuk sama-sama membuat anggaran kos pembaikan. Bill
of Quantity (BQ) bersama gambar perlu disediakan untuk tujuan tuntutan
kemudian.
Seterusnya, adjuster akan
mengemukakan surat meminta dokumen Perjanjian Jual Beli (Sale and Purchase Agreement)
premis dan Perjanjian Sewaan (Tenancy Agreement). Dokumen SnP ni agak sukar
didapatkan kerana biasanya ianya di bawah simpanan pemberi pinjaman. So,
hubungi bank untuk mendapatkan salinan SnP. Biasanya pemilik akan dikenakan
bayaran RM10. Manakala Tenancy Agreement ini boleh dibuat ketika penyewa
mula-mula menduduki premis. Andai tiada, usah risau, kerana perjanjian standard
boleh didapati daripada firma guaman. Penulis mendapatkannya secara percuma
daripada teman-teman peguam, hehe.
Berbalik kepada laporan kebakaran
daripada balai bomba berdekatan, pemilik perlu mendapatkan laporan forensik
kebakaran. Bagi negeri Selangor, laporan boleh didapati dari balai bomba
seksyen 15, Shah Alam. Laporan ini boleh didapati dalam masa yang singkat. Setelah
itu, bawalah laporan kebakaran dan laporan forensik ke ibu pejabat balai bomba
negeri. Jika di Selangor, ianya terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam. Satu
laporan rasmi akan dikeluarkan dengan bayaran RM50, rasanya.
Seterusnya, compile kesemua
dokumen; Borang Tuntutan, Laporan Bomba, SnP, Tenancy Agreement, BQ dan gambar
kepada Adjuster. Sekarang, kejarlah adjuster kerana mereka biasanya
mengendalikan tuntutan lain juga dalam masa yang sama. Jangan segan untuk menghubungi
mereka seminggu sekali untuk mengetahui perkembangan tuntutan kita. Biasanya adjuster
akan stick kepada kos yang dinyatakan di dalam BQ, so kita bolehlah mengarahkan
agar kontraktor memulakan kerja pembaikan memandangkan premis kita didiami oleh
penyewa. Kesian penyewa andai terpaksa berpindah sementara.
Dalam kes penulis, keseluruhan
tempoh premis terpaksa dikosongkan adalah hampir dua bulan. Berbincanglah bersama
penyewa berkenaan bayaran sewa bulanan. Tolak ansur adalah jalan terbaik.
Dalam masa mengejar adjuster ini,
sekali sekala cubalah hubungi syarikat insuran juga untuk memastikan tuntutan
kita adalah di dalam proses bayaran. Bukan apa, biasanya adjuster ini terdiri
daripada pekerja sambilan dan kemungkinan untuk mereka bertukar pekerjaan
adalah tinggi. Dalam kes penulis, adjuster telah bertukar ke Johor Bahru
sedangkan tuntutkan masih belum diselesaikan. Nasib baik penulis terus mengejar
syarikat insuran. Akhirnya bayaran dibuat melalui pindahan akaun dan jangan
lupa untuk membayar kontraktor seperti yang dijanjikan.
Walaupun tuntutan ini kelihatan
rumit dan mengambil masa yang panjang, tetapi pemilik boleh melakukannya
sendiri tanpa mengupah peguam. Pada masa yang sama, kita dapat pengalaman yang
bukan selalu kita dapatkan. Semoga catatan ini dapat memberi sedikit manfaat
kepada anda semua.