January 20, 2009

Aku nak jadi anak orang kaya

Aku nak jadi anak orang kaya



Dalam seputar masa mencari kehidupan, aku sangat suka mendengar dan berbicara bersama Ayah. Sungguh dia bukanlah bapa kandungku, tetapi chemistry antara kami kurasakan amat ketara sejak dari mula pertemuan, kerana dia adalah bapa mertuaku. Malam itu Ayah mula berbicara mengenai hidup dan kehidupan. Mengenai payahnya ilmu tauhid, fiqh dan ilmu tasawuf, tetapi payah lagi ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan.



Tak caye? Cuba telusuri kisah Luqmanul Hakim yang dalam perjalanan menjual himarnya ke pasar bersama sang anak. Apabila pada mulanya keduanya berjalan kaki sambil menarik sang himar, lalu ditegur oleh seorang lelaki, "Mengapa kamu tidak menunggang di atas himar itu?". Lalu keduanya pun menunggang himar tersebut tetapi apabila mereka bersua lelaki lain, mereka dikatakan sangat kejam kerana sanggup menunggang himar yang kecil sedangkan mereka berdua itu sihat walafiat. Lalu mereka turun daripada sang himar. Tidak lama selepas itu, seorang tua telah menegur mereka seraya berkata, "Berilah anakmu menunggang keldai itu kerana dia masih kecil." Lalu apabila mereka bertemu lelaki lain, sang anak pula dikatakan tidak mengasihani bapanya yang dibiarkan berjalan kaki sedangkan si anak yang masih muda dan sihat bersenang-senang menunggang himar.



Lantas si anak berasa marah dan mencadangkan agar himar itu pula dikendong di atas belakangnya, tetapi Luqmanul Hakim menegah seraya berkata,"Jangan wahai anak, nanti orang akan berkata bahawa himar kita itu sakit. Pasti tiada siapa yang mahu membelinya. "Jika begitu, kita tanam sahaja keldai ini," si anak mula marah-marah. "Tidak, wahai anakku. Sekiranya kamu memikirkan apa yang orang akan katakan kepada perbuatan kita, nescaya akan susahlah kehidupan kita. Tetapi, ikutlah kata-kata daripada Yang Maha Bijaksana, haiwan ini dicipta untuk ditunggang, maka tungganglah dengan keyakinan kepada Tuhanmu," nasihat sang Ayah.



Nah, sekarang Ayah mula mengaitkan kisah tadi dengan kehidupan seharian. Ayah berkata bahawa pada mudanya, Ayah sangat gigih berusaha kerana dia ingin kaya. Akan tetapi kebiasaannya selepas Ayah mencapai apa yang ditarget, dia pasti akan kekurangan lagi. Akhirnya Ayah berkata kepada Allah dalam doanya,"Ya Allah, aku surrender. Aku tidak mahu menjadi seorang kaya lagi. Tetapi aku mahu menjadi anak orang kaya. Kerana anak orang kaya boleh meminta apa sahaja tanpa ada rasa risau." Apa yang dimaksudkan Ayah ialah biarlah kita menjadi hamba kepada Boss sebenar kita iaitu Allah. Kita boleh sahaja meminta segalanya tanpa ada hambatan dan batasan, kerana tempat kita meminta itu Yang Maha Memberi dan Maha Kaya. Maka akan hilanglah rasa risau dan gundah.



Demikian dikaitkan kisah seorang tokey kaya yang hanya berseluar pendek dan bersinglet putih. Berpakaian seadanya tetapi sangat rajin menjalankan perniagaan keluarganya. Sedang sang anak berkereta mewah dan bergaya. Apabila ditanya oleh Ayah mengapa dia tidak hidup seperti sang anak sedangkan dia lebih daripada layak, maka dijawab oleh Apek,"Ayya, wa punya apak olang miskin, lia punya apak olang kaya. Itu pasal lia bole idup sinang." Hah, puas ati aku, mulai harini aku nak jadi anak orang kaya.