April 9, 2013

Berkenaan Rezeki
 
 
“Papa, Iwan nak dua ratus ringgit,” rayu Iwan sambil menarik hujung baju ayahnya, Dato’ Jefry. “Iwan nak buat apa dengan dua ratus ringgit tu, nak?” redup pandangan si papa. Sememangnya Dato’ Jefry sangat concern soal duit. Buktinya, sehingga kini dia hanya memilih memandu Kenari walaupun duitnya menimbun dalam ASB. “Iwan nak beli ais krim,” masih merengek. “Aiskrim sampai dua ratus ringgit? Tak apa, nanti papa panggil penjual ais krim tu datang rumah, biar papa beli ais krim yang paling sedap untuk anak papa ni,” pujuk Dato’ Jefry.
Pada masa yang lain, Aslam, anak Dato’ Jefry yang sulung juga meminta jumlah wang sama. Oh ya, Aslam sedang belajar di sebuah IPTA. “Pa, saya nak RM200, nak beli buku rujukan,” pinta si anak. Sebagai anak orang kaya, Aslam tak layak mendapat baucer bantuan buku. Tanpa banyak bersoal jawab, Dato’ Jefry keluarkan dua keping not RM100 dan diberikan kepada Aslam.
Kisah pendek ini sebenarnya membawa suatu perlambangan besar kepada kita. Ada ketika kita berasa marah kepada pemberi rezeki kerana masih belum dapat apa yang kita inginkan. Sangka kita si pemberi rezeki tidak mengendahkan kita, sedangkan kita telah menjalankan segala suruhan. Maka kita pun membandingkan diri dengan orang lain. Kononnya, mereka yang culas solatnya, rompong puasanya, sedikit sedekahnya dan buruk kelakunya mudah sahaja mendapat rezeki. Sedangkan kita yang rajin ke masjid, baca yasin ketika hari Jumaat dan murah sedekah ketika diunjukkan tabung derma, amat seret rezekinya. Adakah si pemberi rezeki tidak adil? Maha suci Allah daripada sifat zalim.
Analoginya, Dato Jefry tidak memberi dua ratus ringit kepada Iwan kerana Iwan masih kecil. Dirasakan bahawa anak kecil pastilah kurang memaklumi akan nilai wang. Mungkin sahaja anak kecil ini akan ditipu atas keterbatasan akal dan kecetekan pengalamannya. Maka Dato Jefry lebih rela menunaikan permintaan Iwan sendiri. Bukanlah bermakna Dato’ Jefry kedekut atau tidak mampu memenuhi hajat Iwan, jauh pula membiarkan permintaan si kecil, bahkan atas dasar kasih, dia tidak mahu Iwan ditipu.
Tetapi lain pula situasi Aslam, pada pandangan Dato Jefry, anaknya ini sudah dewasa, matang dan berpendidikan, maka kepercayaan diberikan kepadanya. Kecerdikan Aslam diyakini dan kemungkinan untuk ditipu adalah rendah. Sewajarnyalah permintaannya dikabulkan tanpa banyak bicara.
Begitulah kita, tidaklah segala permintaan kita dikabulkan Allah dengan kadar segera. Ada kalanya cepat, bahkan baru terlintas di dalam hati, belum pun disebut dek lidah, sudah terkabul permintaan itu. Tetapi ada juga harapan kita yang Allah tangguhkan. Bukan bermakna Allah itu tidak mendengar permohonan kita, jauh sekali Allah tidak mampu memenuhi hajat kita. Tetapi mungkin sahaja kita masih mentah dalam menguruskan hajat. Mungkin Allah nak selamatkan kita daripada ditipu dunia. Boleh jadi andai kita dikurniakan kekayaan bak Robert Kwok, kita bakal jadi sombong, alpa dan angkuh. Anggaplah kita masih seperti Irwan yan percaya bahawa yang memegang rezeki itu pastilah lebih sempurna perancangannya. Mungkin suatu hari nanti, dengan bimbingan si pemberi rezeki, kita bakal mampu mencapai taraf Aslam. Sehingga itu, janganlah sedih dengan apa yang kita tak dapat, tetapi bergembiralah dengan apa yang kita dah dapat.