Berkenaan Rezeki
“Papa, Iwan nak dua ratus ringgit,” rayu Iwan sambil menarik
hujung baju ayahnya, Dato’ Jefry. “Iwan nak buat apa dengan dua ratus ringgit
tu, nak?” redup pandangan si papa. Sememangnya Dato’ Jefry sangat concern soal
duit. Buktinya, sehingga kini dia hanya memilih memandu Kenari walaupun duitnya
menimbun dalam ASB. “Iwan nak beli ais krim,” masih merengek. “Aiskrim sampai
dua ratus ringgit? Tak apa, nanti papa panggil penjual ais krim tu datang
rumah, biar papa beli ais krim yang paling sedap untuk anak papa ni,” pujuk
Dato’ Jefry.
Pada masa yang lain, Aslam, anak Dato’ Jefry yang sulung
juga meminta jumlah wang sama. Oh ya, Aslam sedang belajar di sebuah IPTA. “Pa,
saya nak RM200, nak beli buku rujukan,” pinta si anak. Sebagai anak orang kaya,
Aslam tak layak mendapat baucer bantuan buku. Tanpa banyak bersoal jawab, Dato’
Jefry keluarkan dua keping not RM100 dan diberikan kepada Aslam.
Kisah pendek ini sebenarnya membawa suatu perlambangan besar
kepada kita. Ada ketika kita berasa marah kepada pemberi rezeki kerana masih
belum dapat apa yang kita inginkan. Sangka kita si pemberi rezeki tidak mengendahkan
kita, sedangkan kita telah menjalankan segala suruhan. Maka kita pun
membandingkan diri dengan orang lain. Kononnya, mereka yang culas solatnya, rompong
puasanya, sedikit sedekahnya dan buruk kelakunya mudah sahaja mendapat rezeki. Sedangkan
kita yang rajin ke masjid, baca yasin ketika hari Jumaat dan murah sedekah
ketika diunjukkan tabung derma, amat seret rezekinya. Adakah si pemberi rezeki
tidak adil? Maha suci Allah daripada sifat zalim.
Analoginya, Dato Jefry tidak memberi dua ratus ringit kepada
Iwan kerana Iwan masih kecil. Dirasakan bahawa anak kecil pastilah kurang
memaklumi akan nilai wang. Mungkin sahaja anak kecil ini akan ditipu atas
keterbatasan akal dan kecetekan pengalamannya. Maka Dato Jefry lebih rela
menunaikan permintaan Iwan sendiri. Bukanlah bermakna Dato’ Jefry kedekut atau
tidak mampu memenuhi hajat Iwan, jauh pula membiarkan permintaan si kecil,
bahkan atas dasar kasih, dia tidak mahu Iwan ditipu.
Tetapi lain pula situasi Aslam, pada pandangan Dato Jefry,
anaknya ini sudah dewasa, matang dan berpendidikan, maka kepercayaan diberikan
kepadanya. Kecerdikan Aslam diyakini dan kemungkinan untuk ditipu adalah
rendah. Sewajarnyalah permintaannya dikabulkan tanpa banyak bicara.
Begitulah kita, tidaklah segala permintaan kita dikabulkan
Allah dengan kadar segera. Ada kalanya cepat, bahkan baru terlintas di dalam
hati, belum pun disebut dek lidah, sudah terkabul permintaan itu. Tetapi ada juga
harapan kita yang Allah tangguhkan. Bukan bermakna Allah itu tidak mendengar
permohonan kita, jauh sekali Allah tidak mampu memenuhi hajat kita. Tetapi
mungkin sahaja kita masih mentah dalam menguruskan hajat. Mungkin Allah nak
selamatkan kita daripada ditipu dunia. Boleh jadi andai kita dikurniakan kekayaan
bak Robert Kwok, kita bakal jadi sombong, alpa dan angkuh. Anggaplah kita masih
seperti Irwan yan percaya bahawa yang memegang rezeki itu pastilah lebih
sempurna perancangannya. Mungkin suatu hari nanti, dengan bimbingan si pemberi
rezeki, kita bakal mampu mencapai taraf Aslam. Sehingga itu, janganlah sedih
dengan apa yang kita tak dapat, tetapi bergembiralah dengan apa yang kita dah
dapat.
No comments:
Post a Comment
Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.