April 15, 2009


Prinsip 10/90

Mari kita analisa dua senario di baawah dan sama-sama memikirkannya.

Senario A

Pada suatu pagi ketika di meja makan, si anak yang ingin bersalam sebelum ke sekolah telah terlanggar meja makan dan menumpahkan air kopi ke atas baju putih si ayah. Si ayah terus meradang dan memarahi si anak. Maka menangislah si anak dek herdikan ayahnya itu. Tidak setakat itu sahaja, sang ayah terus mengarahkan perasaan bengangnya kepada si ibu, ”Kamu pun satu, kenapa letakkan teko kopi tu di tepi meja? Kalau kamu letak di tengah pasti airnya tidak tertumpah di atas bajuku.” Sambil mengibas-ngibas air kopi yang mula meresapi baju putihnya, sang ayah laju menaiki tangga menuju ke biliknya. “Mana pulak kamu letak bajuku yang lain? Aku dah lewat ni,” jerit sang ayah dari dalam bilik. “Di mana lagi kalau bukan di tempat biasa,” si ibu menyahut dari dapur sambil tangannya sibuk membersihkan meja makan dan memujuk anaknya yang menangis tersedu sedan. “Mana ada. Cepatlah carikan bajuku. Aku dah lewat ni,” suara sang ayah semakin keras.

Si ibu bergegas ke bilik dan mencapai baju kerja si ayah yang baru, “Nah, inikan baju Abang di tempat biasa. Itulah, orang cari dengan mata tapi abang cari dengan hidung. Mana nak jumpa,” Muncung. Sambil mendengus si ayah menukar bajunya dan terus turun ke bawah. Dilihatnya si anak masih di meja makan, menangis. “Apa lagi ni, cepatlah tunggu di luar, nanti ditinggalkan bas sekolah,” arah si ayah tegas. “Memang dah ditinggal pun,” sahut si ibu pula. Dengan hati yang panas si ayah terpaksa menghantar anaknya ke sekolah. Jam sudah menunjukkan hampir 8.00 pagi. Memikirkan dirinya semakin lewat, sang ayah terus memecut ke sekolah anaknya di arah bertentangan dari tempat kerjanya. Tanpa sedar dia telah melanggar tiga lampu isyarat merah dan ditahan polis. Sudahnya dia disaman. Sampai di pintu pagar sekolah, loceng telah lama berbunyi dan semua murid sudah memulakan kelas. Dengan keras si anak menghempas pintu kereta dan berkata, “Saya benci ayah.” Tersentak si ayah dengan apa yang baru didengarinya.

Fikirannya masih ligat memikirkan segala peristiwa yang baru sahaja dilaluinya pagi ini. Terlalu pantas dan terlalu banyak. Sehingglah dia tiba di pejabat dan didapatinya dia telah terlewat 30 minit. Encik M, ketua jabatannya yang baru secara kebetulan lalu di hadapannya. “Hai, awal kamu sampai pagi ni,” Sinis. “Hei, kamu tunjuk lagak ya. Mentang-mentanglah baru naik pangkat. Sudah lupakah kamu kita dahulu sama jawatan?” Suara si ayah terus meninggi.

Sekarang, cuba analisa kes ini pula.

Senario B

Pagi yang sama di rumah yang berbeza. Seorang bapa sedang duduk menikmati sarapan paginya. Si anak datang untuk bersalam sebelum pergi ke sekolah. Secara tidak sengaja si anak terlanggar meja tersebut dan kopi tertumpah di atas baju ayahnya. Si anak terus meminta maaf atas kesalahannya. Dengan senyum, si ayah memujuk, “Tak apa, nanti ayah minta ibu cuci baju ini. Adik jangan menangis ya. Ayah nak tukar baju yang lain.” Si anak yang ketakutan tidak jadi menangis.

Setelah menyarungkan baju yang lain, si ibu memuji sang ayah,”Nah, Abang nampak lebih segak dengan baju ini. Ayang bangga jadi isteri Abang.” Dengan hati yang girang si ayah terus menuju ke kereta. Sang Ayah tiba sedikit lewat ke pejabat pada pagi itu. Ketua jabatannya menegur,”Hai, awalnya kamu hari ini.” Sinis. “Encik tak tahu apa yang berlaku pagi tadi...,” sahut si ayah sambil bercerita tentang peristiwa kopi yang tertumpah di atas bajunya. “Wah, bahagianya keluarga kamu. Ceritalah lagi. Pagi ini saya belanja kamu sarapan bagi menggantikan kopi yang tertumpah,” pelawa ketua jabatan penuh ceria.

Sebenarnya 10 peratus daripada apa yang berlaku dalam hidup kita adalah takdir tuhan yang kita tiada kuasa untuk mengubahnya. Manakala 90 peratus lagi adalah elemen-elemen yang boleh kita kawal hasil daripada reaksi terhadap sepuluh peratus peristiwa tadi. Setiap hari kita akan menghadapi ujian, cabaran dan peristiwa. Segalanya terpulang kepada bagaimana kita menganalisa, menimbang dan membuat keputusan terhadap apa yang berlaku. Kalau positif pandangan kita maka akan positiflah keputusannya. Manakala 10 peratus elemen yang tidak dapat dikawal seperti cuaca, kesihatan, kematian, musibah kenakah kita hadapi dengan penuh positif dan sabar.