Sunan Cinta Nan Sakti
Sequel kepada sebuah prequel
adalah sesuatu yang bukan biasa di dalam penulisan Melayu. Dan RAM benar-benar
telah berjaya menyempurnakan hikayat
Sunan ini seraya menghidangkan karya yang sangat relevan dengan zaman. Kala marga
dahagakan sebuah penulisan yang asli, thrill, dan lokal, RAM masih gagah
memegang takhta raja thriller Melayu tanpa sedikit goyah.
Sunan Cinta Nan Suci (SCNS)
sememangnya berbaloi untuk dinanti. Setelah lebih setahun sejak kemunculan
Sunan Nanggroe Sang Kembara (SNSK), kemunculan SCNS bersama cintanya ibarat
siraman hujan di penghujung kemarau. SCNS sememangnya datang membawa cinta. Antara
cinta hakikat dan cinta fitrah, kedua-duanya bersifat sakti. Kesaktian cinta
inilah yang memacu jalan cerita penuh warna antara Megat-Seroja, Jaka-Jainon
dan Saifudin-Engku Aminah. Kendati pun, tidaklah SCNS hanya berputarkisar
sekitar cinta, kerana RAM terus gagah membugar segala rahsia rimba Sumatera
dengan mengkisahkan riwayat orang kenit Pucuk Kumbu seperti Silabu sang raja, Silaping,
Sibanga dan Sirangka.
Hanya sanya saya terus hanyut
dalam ‘jebakan’ imaginasi SCNS bilamana Saifudin menerbangkan kita ke Tanah
Mati, Bunga Kuburan dan Tangkuban. Kerana pada setiap destinasi ini, pasti
bertemu Raja Tambuakar, Hantu Bangkit dan halusinasi. Tak urung juga, jagoan
dunia hitam seperti Nyi Burga Klara, Beragas, Gimbaran dan Sang Ratu sendiri
yang penuh kesaktian palsu.
Secara keseluruhannya, SCNS
adalah sebuah produk paling berjaya oleh RAM dan saya tidak tahu andai akan ada
penyambungannya. Namun, andai inilah pengakhiran sebuah hikayat Laksamana Sunan,
saya relakannya, kerana saya sangat berpuas hati dengan Sunan. Selama 8 bab keseluruhannya,
Sunan berjaya menghimpun marga, bahkan mencipta kultus pengikut setia,
selayaknyalah Sunan menjadi kesayangan RAM sendiri. Saya punya keyakinan Sunan
akan terus hidup dalam jiwa dan nubari pencintanya bukan sahaja dek kerana
kesaktiannya, bahkan pengajaran agamawinya yang terus menuntun jiwa-jiwa
pembaca. Akhir kalam, perasaan ini ibarat seuntai kata dalam halaman 82, “Hujung
hati pun terasa patah runcingnya.”
Hikayat Laksamana Sunan
Trilogi Sunan 1
Bagaikan Puteri
Cinta Sang Ratu
Hijab Sang Pencinta
Trilogi Sunan 2
Sutera Bidadari
Cinta Sufi
Sunan Musafir
Prequel
Sunan Nanggroe Sang Kembara
Sunan Cinta Nan Suci.