December 5, 2008

Dimulakan dengan Bismillah

Salam buat semua,

Bila umur bertambah, makin terasa banyak sungguh yang dah ter'miss' dalam hidup ini. Agak-agaknya ape yang kita boleh share dengan dunia ni. Maybe sedikit ilmu dan pengalaman will do. To Allah I surrender my life.

Salah satu kegemaran hamba ialah belajar mengenai kehidupan melalui mendengar. Iyelah, tengah sibuk-sibuk baca buku (tu pun sbb nak pekse PTK) terjumpe lak satu topik under communication. Apa buku tuh tulis, kebanyakan ketua kurang menggunakan kemahiran mendengar dan hanya menumpukan kemahiran bercakap. Maka kebanyakan pekerja mengeluh sbb boss hanya tau memerintah dan tak mahu dengar serta paham masalah mereka. (Ada gak benarnye, kan?). Insya Allah, hamba akan menulis serba sedikit input yg hamba kutip dari pelbagai sumber ek. sudi-sudilah membaca dan ambil pengajaran. Komen adalah sangat-sangat digalakkan. Hamba mulakan dengan cerita pasal emas ek. Maklumlah, zaman harga emas 916 tengah mahal nih...



Mencari emas

Suatu hari seorang guru wanita meminta murid-muridnya melukis. Dia memuji-muji murid-murid yang melukis dengan baik seraya berkata, “Wah, cantik sungguh lukisan ini. Nanti cikgu akan tampal di dinding kelas”. Maka gembiralah murid ini menerima pujian dan penghargaan daripada sang guru. Tibalah cikgu perempuan ini ke meja Din. Katanya, “Apa yang kau lukis ni Din?” Din menjawab, “Khemah kaum Red Indian, cikgu”. “Tapi, khemah kaum Red Indian tak macam ni, salah ni,” seru sang guru. Din menjawab dengan yakin, ”Inilah khemah kaum Red Indian, kan ianya berbentuk tiga segi, ada kayu-kayu sebagai tiang dan ada kulit sebagai dinding.” Cikgu tadi mula bersyarah mengenai kaum Red Indian, “Tapi kaum Red Indian tak menggunakan warna merah untuk membuat khemah. Warna merah hanya digunakan untuk acara kematian. Kamu tak sensitif mengenai nilai kaum Red Indian. Oleh sebab itu, lukisan kamu tidak akan ditampal di dinding kelas. Lain kali buat yang lebih baik.” Maka terkedulah Din, budak darjah dua yang tak tau apa itu nilai dan sensitiviti kaum Red Indian. Mulai hari itu, Din menjadi seorang murid yang rendah diri dan tiada keyakinan.

Ditakdirkan, guru perempuan tersebut telah ditukarkan kepada seorang guru lelaki yang berpengalaman. Maka disuruhnya murid-murid melukis gambar mengikut kesukaan masing-masing. Semua murid mula melukis kecuali Din. Dalam fikirannya masih terngiang-ngiang kata-kata guru lamanya. Sehinggalah hampir tamat waktu melukis, kertas di hadapannya putih kosong. Cikgu lelaki ini menghampiri Din. “Din, apa yang kamu lukis?” tanya sang guru lembut. “Er…..” Din mencari jawapan. “Oh, kamu melukis salji putih yang menutupi laman rupanya. Tinggi sungguh imaginasimu, tak pernah cikgu jumpa murid sebayamu mempunyai imaginasi setinggi ini. Tahniah, Din. Bagus.” Tercengang Din mendengar pujian yang tidak disangka-sangka itu. Mulai hari itu Din mula melukis mengikut kata hatinya, imaginasinya.

Lihatlah bagaimana kata-kata seorang guru boleh merubah kehidupan seorang murid. Tak kiralah samada kita ni seorang guru, ketua mahupun ibu bapa, carilah emas dalam diri orang di sekeliling kita. Dengan kata-kata kita boleh mencungkil emas itu.