March 13, 2012


Balancing atau Keseimbangan

Terdapat seorang pemuda yang kelihatannya sangat Berjaya dalam kerjayanya. Di pejabat dia disayangi ketuanya, bahkan ramai rakan sekerjanya mencemburui kejayaannya. Dik kerana perhatiannya tercurah secara total kepada kerjaya, pemuda ini mula kehilangan masa untuk keluarga dan saudara-saudaranya. Isterinya mula berleter dan ibunya mula mengeluh tiap kali bercakap di telefon. Bahkan saudara-saudaranya mula memanggilnya sombong kerana sering tidak dapat hadir di pertemuan keluarga.

Pemuda ini berasa sangat susah hati dan pergi menemui seorang pak tua yang terkenal dengan kebijaksanaannya. Rumah pak tua terletak di sebuah desa yang tenang. Di sekeliling rumahnya terdapat taman yang indah dan mendamaikan. Ditambah pula dengan kicauan burung pada waktu pagi, pasti hati yang gundah menjadi senang. “Wahai pak tua, aku ingin bertanyakan penyelesaian kepada pelbagai masalahku ini,” terang sang pemuda sebaik berjabat tangan. “Pasti anakku. Akan tetapi, kamu ambillah semangkuk susu ini dan berjalanlah di sekeliling rumah pakcik dahulu. Pastikan tiada susu yang tumpah. Setelah itu, kita berbincang mengenai masalahmu,” saran pak tua sambil menghulur semangkuk penuh susu.

Sang pemuda mula berjalan sekeliling rumah pak tua. Dia kelihatannya sangat berhati-hati agar tidak setitik pun susu yang tumpah. Seketika kemudian, sang pemuda bertemu semula dengan pak tua. “Ini mangkuknya, pak tua. Saya rasa tidak setitik pun tertumpah,” katanya seraya menyerahkan mangkuk. “Bagus, tapi dapatkah kamu menikmati keindahan taman pakcik? Sukakah kamu dengan kehijauan daun dan kesegaran bunga-bungaannya? Bagaimana pula dengan merdu kicau burung dan mesra unggasnya?” soal pak tua. “Maafkan aku wahai pak tua. Saya terlalu menumpukan perhatian kepada susu di mangkuk itu, hinggakan aku terlepas segala apa yang ada di tamanmu,” jawapan sang pemuda lirih.

“Sekarang kamu ambil mangkuk ini lagi dan pergilah kamu menikmati keindahan tamanku itu,” saran pak tua. Sang pemuda keluar sekali lagi. Ketika dia asyik melihatkan hijau rimbun pohon, segar puput udara pagi, hangat sinar sang mentari, merdu kicau beburung dan unggas berterbangan. Asyik dengan keindahan taman, sang pemuda tertumpah kesemua susu di tangannya. Dengan sedih, dia menemui pak tua.

“Nah, inilah pelajaran yang kamu perlu ambil hari ini anakku. Tika kita asyik dengan pekerjaan, pastilah akan ada yang terlupa. Kita lupa keluarga, persekitaran dan kehidupan. Akan tetapi, jika kita leka dengan kehidupan, pastilah terlepas segala pekerjaan, ibarat susu di tangan. Maka apa yang kamu perlukan ialah keseimbangan. Laksanakan pekerjaanmu sebaiknya, tapi janganlah kamu lupa untuk menikmati kehidupanmu. Kerana hanya manusia yang bijak menyeimbangkan keduanya mampu mengecap keindahan keduanya.”