April 4, 2013

Ungu Karmila
 
 

Logika adalah suatu elemen yang penting di dalam penceritaan. Hatta bagi sebuah fiksyen, apatah lagi bersifat thriller, logika tetap sahaja penting. Itulah kekuatan yang dapat aku intip dalam karya RAM. Bayangkan sahaja menulis sesuatu yang bersifat cereka, tetapi tidak boleh lari daripada logika akal dan kehidupan seharian, tanpa memojokkan elemen-elemen kejutan dan seram, pastilah bukan kerja yang calang-calang.
Ibarat signatory dish kepada sebuah restoran, genre thriller memang sangat  kuat dengan kerja RAM. Melalui blurb sahaja, Ungu Karmila (UK) sudah bisa menambat minat mahu mengikutinya. Memilih Ungu Karmila sebagai tajuk juga adalah pilihan bijak kerana bunga itu adalah inti kepada seluruh jalan cerita. Pendekatan saintifik mengenai bioteknologi, toksikologi, psikologi dan ditambah pengalaman silam terus membumbui UK sehingga menjadikannya sebuah hidangan yang sangat enticing. Ya, ungu karmila adalah sejenis bunga kacukan dari taman larangan. Bersifat spora serta beracun, UK mampu menjadikan manusia mengalami halusinasi dan delusi. Kesan daripada itu, manusia berubah mengikut apa yang difikirkan.
Aku suka dengan pace atau kadar kelajuan cerita UK kerana tidaklah terlalu laju atau terlalu perlahan, kiranya yang sedang-sedang saja. Wataknya yang tidak terlalu banyak juga memudahkan kita mengikuti setiap babak dengan lancar biarpun dalam pembacaan santai (hehe, aku ambil masa hampir seminggu untuk menghabiskannya). Cuma terkadang informasi berbentuk ilmiah dirasakan sarat sehingga ada ketikanya aku hampir nak rasa TMI (too much information) tetapi tidaklah aku sampai ke tahap itu. Fasa peleraian cerita pula agak laju bermula daripada insiden berbunuhan dan kajian Dr Ismadi. Bolehlah diibaratkan seperti sebuah kereta yang di’free’kan gearnya ketika pulang dari puncak Fraser Hill.
Banyak pengajaran daripada UK yang boleh dikutip. Pertama, menulis sebuah novel thriller bukanlah mudah. Kedua, menulis novel-novel thriller seterusnya yang berlainan cerita dan latar memang payah. Ketiga, mengekalkan title penulis thriller satu-satunya juga sangatlah susah. Apa pun, tak sia-sia membaca hasil tulisan RAM kerana aku tak pernah rasa seperti membaca buku cerita, melainkan seperti berkata-kata dengan penulisnya. Apakah aku dirasuk?
p/s; Nasib baik sahaja kulit luarnya menunjukkan rumah buruk, andainya tidak, pastilah aku diejek membaca novel cinta. Oh, tidak.