Makanan di Mekah
Mendengarkan cerita beberapa
sahabat, makanan di Mekah ini banyak dipengaruhi aura makanan dari India dan
Pakistan. Secara jujur, saya bukanlah penggemar masakan India mahupun Pakistan,
hatta masakan mamak pun saya jarang makan. Tetapi UTAS telah mengupah tukang
masak terdiri daripada kalangan Indonesia. Makanya, di sana kami daptlah merasa
makanan seperti tempe, rebung dan tauhu. Bahkan bubur kacang dan ayam masak
kicap pun kami dapat, Alhamdulillah.
Kalau nak rasa sedikit kelainan,
bolehlah membeli ayam panggang dan roti dengan harga yang amat berpatutan.
Seekor ayam panggang berharga RS18 dan tambah RS1 boleh dapat dua keping roti
tempayan. Seperti biasa, mereka tidak menyediakan sebarang kuah atau sos,
makanya kenalah beli dengan additional cost.
Mulanya
saya mintak RS2, rupanya dpt 4 keping…
Saya cadangkan satu makanan yang
mesti dicuba di Mekah iaitu aiskrim Mekah. Sangat sedap dan lain jika
dibandingkan dengan mana-mana aiskrim di Malaysia. Kebanyakan perisanya terdiri
daripada buah-buahan tropika, aiskrim ini bukan sahaja enak, bahkan amat murah
dan mudah didapati. Manakala Jus buah buahan (‘asir fawakih) juga sangat enak
dengan harga yang berpatutan sekitar RS3 ke RS5 sebotol.
Aiskrim
Arab enak dinikmati ketika cuaca panas
Selain itu, makanan moden segera
seperti KFC, Burger King dan lain-lain juga boleh didapati di Bangunan Menara Jam.
Cuma bezanya di Mekah, terdapat separate counter untuk Muslim dan Muslimat.
Harga di kompleks ini juga agak tinggi kerana untuk hidangan snack plate KFC
berharga RS23 sedangkan di Malaysia hanya sekitar RM10 sahaja.
Tawaf Wida’
Waktu yang bergulir terasa begitu
pantas. Hari hari kami hanya mengejar untuk beribadah sebanyaknya di rumah
Allah ini. Selain solat fardhu lima waktu, kami juga mengejar ibadah umrah. Ada
ketikanya kami melaksanakan tawaf pada waktu tengah hari sebelum masuk solat
zohor, selepas waktu asar, selepas isya’, sebelum subuh dan selepas subuh. Pada
setiap ketika itu pastilah ada kendala dan mehnah yang menguji tetapi waktu
yang paling selesa adalah selepas waktu Subuh. Maksud saya, selepas bersarapan
dan siap berihram, carilah van untuk ke Masjid Tanaem dengan tujuan bermiqat.
Pulang semula ke alHaram dan mulakan tawaf. Suasana ketika ini tidaklah terlalu
panas dan kurang sesak. Kemudian disusuli dengan saie dan tahallul. Pada
sekitar pukul 10.45 pagi satu umrah telah selesai dan bolehlah pulang ke hotel
untuk berehat sementara menunggu waktu zohor.
Pada setiap perkara itu pastilah
ada pengakhirnya. Dan saat kami berpisah dengan rumah Allah ini pun tiba jua. Semakin
hampir perpisahan ini, semakin berat rasa di hati. Kesayuan hampir tidak dapat
dibendung. Pada malam terakhir, saya dan isteri mengerjakan tawaf sunat. Kami
bergerak perlahan demi mahu menatap kaabah ini sepuasnya. Usai tawaf tujuh
keliling, kami bersolat di hadapan pintu kaabah. Aneh, walau Jemaah di sebelah
kami disergah dan diminta beredar, namun sang pengawal langsung tidak menegur
kami. Bahkan kami berkesempatan memegang pintu kaabah yang mulia.
Beberapa ketika, isteri mohon
saya menemankan untuk memegang mana-mana bahagian dinding kaabah. Saya fikir,
dinding sebelah rukun Yamani kurang sesak. Kami bergerak sambil memanjat
permohonan kepada Allah. Akhirnya hajat kami tercapai. Saya menongkat tangan ke
dinding kaabah dan isteri tunduk di bawah. Ini bagi memastikan tiada Jemaah
lain yang tertolak atau tersenggol isteri terutama yang bukan mahram. Kaabah
dilihat dari dekat merupakan binaan daripada batu berwarna coklat. Walau
berusia ribuan tahun, kaabah tetap kukuh dan sentiasa menarik untuk dilihat,
direnung dan disentuh. Walau dari sudut mana pun, kaabah saya dapati sangat
hebat. Tidak hairanlah, hati manusia pasti akan terusik pabila memandang kaabah
walau hanya dalam gambar.
Pada hari terakhir, kami
dinasihatkan untuk mengerjakan tawaf wida’ pada waktu zohor. Ini kerana setelah
melaksanakan tawaf wida’, kita tidak boleh berlengah lengah meninggalkan tanah
Mekah. Usai bertawaf, kami berkumpul di multazam. Merafak doa penuh syahdu,
memohon agar ini bukanlah ziarah terakhir. Hati ini seakan tidak mahu
melepaskan pengalaman beribadah di tanah suci ini. Sambil bercucuran air mata,
saya sempat mengerling binaan kaabah. Biar gambaran itu kekal di benak fikiran.
Ya Allah, jemputanMu telah kami sahut, kami datang, kami menyerah. Kini kami
akan pulang, meninggalkan rumahMu yang agung dan tanah yang suci ini. Jemputlah
kami lagi, serta sanak saudara kami, agar sempurna ibadah kami.
Pastinya saya akan merindui
segala rasa ini. Entah kapan lagi saya dapat menghirup udara kering Mekah dan
Madinah. Sudah barang tentu saya akan mengingati segala keagungan di kedua-dua
tanah suci ini sehingga terpahat azam di hati ini untuk mengunjunginya lagi.
Mana mungkin saya melupakan cuacanya, manusia dan segala hiruk pikuk ulah
mereka dalam mengejar ibadah. Ah, sampaikan van yang mengangkut kami dari depan
hotel ke Tanaem tiap kali kami bermiqat juga akan tetap saya ingati. Ya Allah,
sesunguhnya inilah perjalanan paling bermakna dalam hidupku.
Pasti
kurindui menaiki van ke Tanaem dengan Zam sebagai pemandu pelancong paling
senyap, hehe
Kenangan
mengenai air zamzam yang mudah didapati di Mekah dan Madinah juga sukar
dilupakan
Juga
pekerja di Masjidilharam yang sangat berdedikasi
Terima
kasih sayangku kerana menemani Abang ke perjalanan paling bermakna dalam hidup
ini