Umrah, suatu
perjalanan spiritual
Mulanya di sini…
Alhamdulillah, pada 12 Jun 2013
saya telah dijemput oleh Yang Maha Kuasa mengerjakan ibadah umrah bersama
isteri dan keluarga. Ibadah yang memang telah dirancang sejak tahun lalu
akhirnya direstui Allah melalui agen UTAS. Dan catatan pendek ini pastinya
bukanlah luahan keseluruhan rasa sepanjang perjalanan bahkan sekadar coretan
kenangan paling berharga buat saya.
Perjalanan kami bermula pada hari
Rabu. Seawal jam 11 pagi kami telah berkumpul di KLIA ditemani kedua-dua belah
keluarga tercinta. Rasa sayu begitu terasa terutama ketika memeluk Ummi sebelum
berangkat. Dan memeluk Ummi bukanlah kelaziman saya sebelum ini. Saya berasa
sedikit goyah pabila kaki mula melangkah ke balai berlepas mengenangkan apakah
yang bakal menanti saya ‘di sana’ dan apa yang saya tinggalkan di sini. Cukup
bersediakah saya?
Di dalam pesawat saya sempat
menghabiskan dua juzu’ ayat suci al Quran. Bukan apa, cita-cita saya adalah
mengkhatamkan alQuran sepanjang 15 hari perjalanan ibadah saya. Saya harap
cita-cita ini berjaya. Cuma agak janggal apabila melihat ke luar pesawat dan
langit masih cerah sedangkan perjalanan sudah memakan masa 6 jam.
Madinah, Bandar Bercahaya…
Jam 7.40 malam kami mendarat di
Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah, setelah transit di Riyadh selama satu
jam. Keadaan agak kelam kabut kerana kurang penunjuk arah baik melalui sign
board mahupun pegawai bertugas. Nasib kami baik apabila pegawai imigresen memberi
keutamaan kepada rakyat Malaysia dan segala urusan berjalan lancar. Terdengar
beberapa perkataan Melayu diucapkan mereka seperti “Malaysia Bagus, Terima
Kasih dan Jalan”.
Lebih kurang jam 10 malam kami
tiba di Elaf Taiba, penginapan kami sepanjang berada di Madinah. Masuk ke
bilik, saya selak tabir langsir dan alangkah kagumnya saya melihat Masjid
Nabawi tersergam di depan mata. Rupa-rupanya hotel kami berada betul-betul di
salah satu pintu masjid. Jelas kelihatan kubah hijau yang di bawahnya terletak
makam rasul. Hati begitu terharu dengan peluang yang Allah beri kepada saya.
Saya panggil isteri dan ibu mentua. Masing-masing tergamam seraya mengucapkan
subhanallah. Ya Allah, Engkau telah menjemput kami dan menempatkan kami di sisi
masjid yang mulia ini. Sesungguhnya air mata kami tidak mampu menebus segala
nikmat yang Engkau berikan ini, ya Allah.
Seketika, kami turun ke masjid
untuk menunaikan solat jamak ta’khir. Hati tidak putus memuji kebesaran Allah
yang telah mengizinkan kami menjejak kaki ke Kota Madinah yang Bercahaya.
Sungguh Masjidin Nabawi adalah masjid paling besar pernah saya kunjungi.
Mencari pintu masuk wanita sahaja memerlukan kami berjalan selama hampir 15
minit. Saya bersama anak saudara mengelilingi masjid. Rasanya belum puas
melihat masjid kesayangan nabi ini. Baik binaannya, keagungannya mahupun ummat
yang menghidupkannya…segalanya terasa agung.
Kami tiba di Babussalam. Hati
terasa berdebar. Kami masuk dan menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid serta
solat jamak. Sempat juga saya menunaikan solat taubat dan solat hajat. Di akhir
solat, saya sujud syukur. Syukur atas kesempatan yang Allah berikan kerana
memilih kami datang ke sini. Air mata terasa begitu murah. Dan saya tidak pernah
berasa malu menumpahkannya di rumah Allah ini.
Sekonyong terdengar sedikit
keributan di hujung saf. Oh, rupanya itulah Raudhah, tempat letaknya mimbar
nabi dan kawasan yang dikisahkan sebagai tempat mustajab berdoa. Patutlah
manusia berpusu-pusu mengambil kesempatan untuk bersolat dan berdoa di sana. Ya
Allah, adakah aku pantas berada di sana, sedangkan hambaMu ini penuh dengan
dosa? Ya Basit, Ya Wasi’ Engkau mudahkanlah urusan hambaMu ini. Engkau berilah
peluang untuk aku solat di sana. Saya bertawakkal dan melangkah ke pinggir
Raudhah. Tiada ruang kosong untuk bersolat, hatta untuk berdiri menunggu
giliran. Manusia kelihatan seperti tidak mahu berganjak, sedangkan yang masih
menunggu semakin ramai. Saya sempat mengerling jam tangan, “sudah pukul 12.30
malam dan manusia masih ramai”.
Sesungguhnya Allah maha Berkuasa
dan pasti Dia tidak mensia-siakan harapan hambaNYa. Pada waktu ramai Jemaah
yang ditegur untuk mempercepatkan solat dan meringkaskan doa oleh sang
pengawal, tiba-tiba terpacul perkataan, “Haji, Malizia, solat”. Seorang pengawal
berbaju coklat berdiri di depan saya. Dia menyediakan ruang untuk saya
bersolat! Cukup-cukup untuk saya bersolat dengan selesa. Ya Allah, nikmat
apakah ini? Pada sujud terakhir, antara doa saya adalah memohon agar Allah
muliakan tanah haram ini dan mereka yang memuliakannya. Saya sangat bertuah
menjadi rakyat Malaysia.
Selesai salam, pengawal tadi
sudah beredar dan tiada seorang pun manusia yang melangkah kepala saya ketika
sujud. Air mata merembes lagi. Saya terus bangun demi memberi laluan kepada
Jemaah lain untuk bersolat dan berdoa. Prinsip saya, Allah telah memberi saya
peluang, saya patut berkongsi dengan manusia lain.
Saya kemudiannya menyertai Jemaah
lain beratur untuk menziarahi maqam kekasih Allah. Hati sekali lagi terasa
berdebar. Benarkah ini Ya Allah? Aku akan menemui kekasihMu? Melewati seakan
pintu gerbang pertama, hati semakin tidak keruan. Saya tekap tangan kanan di
dada. Terasa berombak kuat. “Assalamualaika Ya Rasulallah warahmatullahi
wabarakatuh.” Saya tahan air mata daripada jatuh. Aku sampaikan salam saudara
maraku di Malaysia kepadaMu wahai kekasih Allah. Ya Allah sampaikan hajat kami
semua untuk sampai ke sini.” Begitu lebih kurang doa saya. Dua orang pengawal
sibuk memarahi Jemaah di hadapan saya yang mengangkat tangan untuk berdoa.
Katanya maqam bukanlah tempat untuk berdoa, tetapi berdoalah di raudhah. Tiba
giliran saya, pengawal-pengawal ini tersenyum. Tiada suara teriakan mahupun
suara marah. Malah mereka tersenyum kepada saya.
Saya berbangga menjadi warga
Malaysia…
Kami bertemu semula di pintu khas
untuk wanita. Sempat juga kami bergambar kenangan. Cuma agak aneh dengan kehadiran belalang
dalam jumlah yang banyak. Belalang ini seakan belalang kunyit dengan saiz yang
besar tetapi berwarna coklat pudar. Walaupun banyak dan ada yang terpijak
tetapi tidaklah pula terdengar ada jeritan ketakutan daripada Jemaah wanita.
Oh ya, di Masjid Nabawi sekarang
sudah disediakan tong-tong berisi air zam zam yang dibawa dari Mekah. Ada yang
telah disejukkan dan ada yang tidak disejukkan. Carilah tong yang bertulis
Ghair Mubarrad untuk mendapatkan air zam zam yang bersuhu bilik. Saya tidak
melepaskan peluang untuk memimun segelas air zam zam setiap kali masuk dan
keluar masjid.
Suatu keadaan yang dapat saya
pastikan adalah layanan warga Madinah dan Jemaah lain terhadap warga Malaysia.
Andai bertemu mereka pantas menyapa, “Malisia? Malisia Bagus…” bahkan beberapa
ungkapan dalam Bahasa Melayu sudah boleh dituturkan baik oleh para peniaga
mahupun sesama Jemaah. Andai mahu berurusniaga, perkataan “sepuluh riyal,
murah-murah, mari tengok, belilah, masuk…masuk,” sudah menjadi kelaziman.
Dan di tanah Arab ini, tiada sen
digunakan, nilai terkecil adalah not 1 riyal manakala paling besar adalah not
1000 riyal. Semua barang biasanya akan bermula dengan harga 10 riyal sedangkan
kita boleh tawar menawar dengan menggunakan Bahasa Melayu mudah. Andai bisa
menggunakan beberapa perkataan Arab, mereka pasti lebih gembira dan akan
menurunkan sedikit harga lagi.
Pun begitu, ada satu insiden pergaduhan
ketika kami membeli jubah dan abaya di Madinah. Kejadian berlaku betul-betul di
hadapan kedai kami berkunjung. Beberapa orang lelaki Arab mulanya sekadar bertikam
lidah. Tetapi lama kelamaan melarat kepada insiden ejek mengejek dan mula bertumbuk.
Bayangkanlah mereka yang bertubuh seperti Encik Muslim bertumbuk. Dalam hati
saya berasa kecut juga terutama apabila pergaduhan mereka mula melarat ke dalam
kedai yang kami kunjungi. Mujurlah para pekedai pantas menolak mereka keluar.
Dan yang ajaibnya perkelahian mereka mengendur sejurus seseorang mengatakan
bahawa ini adalah kota Madinah, letaknya makam baginda Rasulullah dan
Rasulullah pastilah tidak menyukai umatnya bergaduh sesama sendiri.
Sian en.lim..terbabit sama dengan org arab tu boss....
ReplyDeleteRindu nk dgr tazkirah boss....
kak ila, jarak memisahkan...saya pun tak sempat nak update selalu...nampaknya kena rerajinlah sikit lepas nih...pdks tetap di hati.
ReplyDelete