Pakaian ihram yang menginsafkan
Jemaah dinasihatkan untuk memakai
ihram dari hotel sebelum check out. Dan inilah pengalaman pertama saya memakai
ihram. Hanya dua helai kain putih yang tidak berjahit. Pada mulanya saya berasa
sedikit sangsi, iyalah, sampaikan spender pun tak boleh pakai. Rupanya terdapat
pengajaran yang besar daripada pakaian ihram ni. Saya rasa ianya mendidik jiwa
agar sedar bahawa manusia ini sebenarnya tiada apa-apa. Kita lahir ke dunia
tanpa harta, tanpa pangkat tanpa nama. Kita juga disambut dengan sehelai kain
putih. Pada akhir hayat kita juga bakal dipakaikan dengan kain putih bernama
kafan. Maknanya kita bukanlah siapa-siapa sehingga Allah mengajar kita ilmu dan
kemahiran, mengangkat kedudukan kita dengan pelbagai jawatan dan gelaran, juga
menganugerahkan harta benda yang banyak.
Kami berhenti bermiqat di Masjid
Bir Ali. Ini adalah miqat bagi Jemaah yang bergerak dari Madinah. Masjid Bir
Ali tidaklah terlalu besar dan ianya berwarna putih. Kelihatan ramai Jemaah
yang sama-sama bermiqat dan ia adalah gambaran awal bagaimana kami harus
bermiqat setiap kali melakukan umrah nanti.
Sesunguhnya dalam setiap ibadah
itu terdapat cabaran dan dugaan yang tersendiri. Seperti ibadah solat dan
puasa, berihram juga mencabar kita menjaga 13 pantang larangnya serta pelbagai
dugaan yang pastinya berbeza ke atas setiap individu.
Di Masjid Bir Ali, selesai solat
saya berkenalan dengan seorang Jemaah, En Kamal dari Subang Jaya. Baru sahaja
bersara beberapa bulan dengan Syarikat Petronas. Apabila kami melangkah keluar
dari masjid, En Kamal telah kehilangan seliparnya. Beliau kelihatan sedikit
kecewa. Katanya, “Macam manalah saya ni, belum pun sampai ke Mekah tetapi telah
diuji dengan kehilangan selipar. Entah apa lagi ujian di sana nanti.” Saya
memujuk beliau agar tidak terlalu memikirkannya dan berjanji cuba membelikan
selipar baru di mana mana kedai berhampiran. Alhamdulillah, kebetulan ada
sebuah kedai di dalam kawasan masjid yang menjual selipar dengan harga RS10.
Saya katakan kepada beliau lihatlah bagaimana Allah mengambil dan mengembalikan
dengan sesuatu yang lebih baru. Beliau tersenyum.
Perjalanan dari Madinah menuju
Mekah mengambil masa 6 jam lebih. Dan sepanjang perjalanan menaiki bas ini saya
terfikir bagaimanakah rasanya Rasulullah berhijrah dahulu. Bayangkan keadaan
muka bumi Arab yang panas, kering dan tandus. Hanya bukit dan padang pasir.
Jarang kami dapat melihat pokok apatah lagi sungai. Di dalam keadaan serba
kepayahan ini Rasulullah berhijrah menaiki unta ditemani oleh Saidina Abu Bakar
sahaja. Oh, andai sahaja baginda memilih saya, belum tentu saya mampu
melaksanakannya memikirkan tanpa kenderaan, jalan raya, GPS dan tempat
persinggahan…
Bercakap berkenaan tempat
persinggahan, R & R di Arab tidaklah seperti di Malaysia. Saya pernah
diberitahu Tok Jo seboleh-bolehnya janganlah mengunakan tandas di R & R
kerana tahap kebersihan dan bekalan airnya yang terhad. Tetapi Allah maha
berkuasa dan berkehendakkan hambanya yang satu ini merasa sedikit kesusahan di
bumi Arab ini. Saya diserang sakit perut yang agak teruk sepanjang perjalanan.
Dan ke tandas bukanlah suatu pilihan, bahkan keperluan. Maka sempatlah saya
merasai pengalaman mengunakan bilik air di tengah gurun ini.
Suasana
R & R Arab
No comments:
Post a Comment
Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.