Perihal telefon…
Saya telah diingatkan oleh seorang
teman ketika di tanahair agar jangan lupa membeli kad sim Arab dan janganlah
sekadar roaming pembekal perkhidmatan biasa kita. Haji Yasin menyatakan dia
telah terperangkap kerana roaming dan bilnya melambung sehingga RM700 ketika di
Mekah. Alhamdulillah, ketika di dalam bas lagi, seorang pegawai UTAS telah
menjual kad sim dengan harga RS50. Sepanjang 15 hari di sana saya hanya isi
semula RS50, itu pun masih berbaki RS18 ketika pulang. Padahal saya sentiasa
menghubungi isteri setiap kali selepas solat dan umrah, dan menghubungi ayah
serta Ummi di Malaysia beberapa kali.
SIM
kad Arab
Jabal Uhud yang bersejarah
Hari ketiga di Madinah Jemaah
kami dibawa menziarahi beberapa tempat bersejarah di sekitar Madinah. Antaranya
adalah Masjid Quba’, masjid pertama yang didirikan oleh Rasulullah. Masjid Quba’
ini tersergam indah serba putih. Kami sempat bersolat sunat tahiyyatulmasjid
dan solat dhuha. Kendatipun, saya kurang selesa dengan kanak-kanak perempuan
yang menjual tasbih di sana. Iyalah, mereka ‘mengejar’ kita untuk membeli
dagangan mereka yang berupa tasbih, dan hanya tasbih. Ketika di luar masjid
bersama Shai, anak saudara saya, seorang budak perempuan telah mendekati dan
mengunjukkan tasbih yang banyak. Kami menolak untuk membeli. Tetapi budak itu terus-terusan
mendesak dengan membega-bega muka seakan mahu menangis. Kemudian kami buat acuh
tidak acuh sahaja. “Bakhil,” kata budak itu sambil mencebik. Kemudian, budak
yang sama pergi kepada seorang wanita berjubah hitam. Setelah merayu dan tidak
dipedulikan tiba-tiba budak perempuan itu telah menangis dengan kuat. Bukan
setakat itu, dia juga telah berguling-guling di tanah seolah olah terlalu
kecewa. Mungkin kerana rasa bersalah, wanita itu telah membeli seikat tasbih
budak itu. Yang anehnya, budak itu terus tersenyum dan memanggil rakannya yang
lain.
Ketika di dalam bas, adegan
serupa rupanya berlaku. Kanak-kanak perempuan ini merayu semua Jemaah untuk
membeli tasbih mereka. Saya buat tak tahu sahaja, tetapi budak itu telah
mencampakkan tasbihnya di riba saya. Saya kata, “Lak, lak” sambil cuba
mengembalikan tasbih tersebut. Dia terus mendesak sambil memegang tangan saya.
Buat-buat nak menangis. Saya kata, “kan dah batal wadhuk aku…”. Dia terus
berlalu.
Dari Quba’ kami menuju ke Jabal
Uhud. Uhud adalah bukit tertinggi di Madinah. Di sinilah tempat berlakunya
Perang Uhud, perang yang kedua di dalam Islam selepas Perang Badar. Muzawwir
kami menerangkan secara ringkas peristiwa peperangan tersebut dan kisah
kematian Saidina Hamzah. Kami turun dan meninjau kawasan perkuburan yang
berpagar. Oh ya, perkuburan di kedua-dua tanah haram ini hanyalah bernisankan
sebiji batu bulat dan tanahnya diratakan. Tiada tulisan sebagai tanda milik
siapakah sesebuah pusara itu, sekadar dikenali sebagai sebuah pemakaman.
Saya berjalan sambil mengimbau
peristiwa Perang Uhud, tentang kehebatan strategi Rasulullah dan keingkaran
tentera Muslim. Siapakah tokoh-tokoh besar yang terlibat dalam peperangan ini
dan bagaimana Rasulullah telah tercedera. Dan tidak lupa bagaimana Saidina Hamzah,
bapa saudara Rasulullah yang telah ditombak oleh Wahsyi dan kisah Hindun yang
membelah dada jenazah Saidina Hamzah.
Kami terdiam seketika apabila mengingat
peristiwa ini. Seramai 70 orang syuhada’ gugur manakala hanya 22 orang
musyrikin yang mati. Dan tempat Saidina Hamzah gugur dikenal sebagai Bukit
al-Rumah (bukit pemanah). Terimbau jua sejarah bahawa ketua angkatan Musyrikin
Mekah yang mengalahkan tentera Islam adalah Khalid bin alwalid, yang
kemudiannya memeluk Islam dan mendapat gelar Pedang Allah. Sesunguhnya
menyaksikan sendiri tempat bersejarah ini memberikan kita kesan yang lebih
mendalam daripada sekadar membaca buku dan mendengar cerita. Saya sempat
melihat penanda suhu di sana yang mencatatkan suhu setinggi 45 darjah Celcius.
Wah, dengan suhu setinggi ini, bagaimanakah agaknya mereka di zaman dahulu
berperang dengan kelengkapan yang serba kekurangan dan jumlah yang sedikit?
Sesungguhnya amat tinggi iman dan takwa mereka yang sebelum kita.
Ziarah kami diselang dengan
lawatan sambil ‘melontar’ di ladang kurma. Ladang sebenar tidaklah kami dibawa
melawat, sekadar tempat jualan produk kurma sahaja. Pelbagai jenis kurma ada
dijual dengan harga yang pelbagai. Bayangkan sahaja kurma ajwa atau kurma nabi
ada terdapat 4 jenis dengan harga bermula dari RS80 sekilo sehingga RS140
sekilo. Selain itu, produk berasaskan kurma seperti kurma bersalut coklat,
kurma yang diisi kekacang di dalamnya dan jus kurma jua dijual. Dan orang
Malaysia sememangnya terkenal dengan kehebatan skil ‘melontar’ ini.
Seterusnya ziarah kami melewati
Masjid Qiblatain (Masjid di mana Rasulullah telah mendapat perintah agar
menukar kiblat daripada Baitul Maqdis di Palestin ke Masjidil Haram di Mekah).
Juga Masjid Sab’ah atau Masjid Tujuh. Masjid ini terkenal bersempena Perang
Khandak. Seorang sahabat rasul dari Iran, Salman Al Farisi telah mengusulkan
agar digali parit di sekeliling Madinah sebagai pertahanan. Parit yang digali
adalah sepanjang 5.5km yang hanya memakan masa 10 hari untuk disiapkan.
Ketujuh-tujuh masjid ini asalnya adalah pos kawalan tentera yang dikenal
sebagai Masjid Salman, Masjid Abu Bakar, Masjid Umar, Masjid Uthman, Masjid
Ali, Masjid Fatimah dan Masjid Fatah. Pada hari ini hanya lima buah masjid yang
dapat dilihat dan ditutup kerana sebuah masjid baru bernama Masjid Khandak
telah dibina.
Masjid
Khandaq yang baharu
Banyak tempat berziarah ini hanya
kami lewati dan tidak berhenti kerana kami mengejar waktu Zohor di Masjid
Nabawi. Walau ada sebahagian Jemaah yang merungut kerana berasakan bahawa
travel agent kami seakan menipu memandangkan lawatan hanya di atas bas, tetapi
saya amat percaya bahawa mengejar fadhilat bersolat di Masjid Nabawi yang
menyerupai dengan 1000 pahala itu pastilah lebih berbaloi.
Selamat tinggal Madinah
Hari keempat adalah antara hari
paling sedih buat kami. Perpisahan pertama yang amat menghiris hati sedangkan
cinta kami sedang berbunga. Kami terpaksa meninggalkan Masjid Nabawi ini dan
mengerjakan umrah di Mekah. Muzawwir memberikan kebebasan untuk kami membuat
ziarah wida’ di Masjidil Nabawi. Usai sarapan kami mengemas beg pakaian.
Kemudian bersama-sama menuju ke masjid. Saya bersama Shai ke Perkuburan Baqi’
untuk ziarah. Perkuburan yang mengabadikan lebih 10,000 orang sahabat
termasuklah Saidina Uthman bin Affan. Manakala Saidina Abu Bakar dan Saidina
Umar bersemadi di sisi makam Rasulullah. Saidina Ali pula dimakamkan di
Karbala, Iran.
Perkuburan
Baqi’
Hari ini saya ikut masa sendiri
untuk bermunajat di Raudhah. Memasuki pintu Babussalam, hati tetap merasa sayu.
Apatah lagi apabila memikirkan bahawa ini adalah lawatan terakhir. Saya
mengambil peluang solat di mehrab Saidina Uthman, barisan paling hadapan dalam
Masjid Nabawi. Muzawwir ada menyatakan ketika solat fardhu, ramai Jemaah yang
berebutkan tempat di Raudhah sedangkan keutamaan solat jamaah adalah di saf
paling hadapan. Ada kebenaran di situ.
Sempat juga bersolat tahiyyatul
masjid, solat dhuha, solat taubat dan solat hajat. Saya sempat juga
menghabiskan membaca Surah Luqman. Entah mengapa hati terasa begitu sayu ketika
membaca surah ini. Air mata terus tumpah tanpa dapat ditahan-tahan. Teringatkan
Abang Lokman barangkali. Di akhir bacaan saya sujud, makin laju air mata
bercucuran. Apa yang boleh saya katakan, serasa hati lebih tenang ketika
bersujud, seolah tiada hijab tika doa dilantunkan.
Beginilah
keadaan raudhah sepanjang waktu
Kawasan
Raudhah dapat dipastikan dengan permaidani berwarna hijau. Selain itu
permaidani berwarna merah
Beberapa ketika, saya bangkit.
Mengangguk kepala kepada Shai, tanda besedia untuk ke Raudhah. Saya tahu,
kemungkinan untuk bersolat bersebelahan di Raudhah adalah hampir mustahil. Jadi
kami harus pandai mencari peluang dan mengambil kesempatan. Saya tinjau keadaan
di hadapan mimbar nabi. Teringin untuk solat di situ. Saya panjatkan doa memohon
agar diberi kesempatan Allah. Selang beberapa ketika, seorang hamba Allah
menarik tangan saya seraya memberikan tempatnya. Saya panggung kepala,
“MasyaAllah!”, saya berada betul-betul di hadapan mimbar nabi. Saya solat dan
bermunajat. Salam dan dapat solat lagi sekali. Maha Suci Allah yang mengabulkan
doa hamba-Nya tanpa bertangguh. Selesai doa, saya bangun dan memberi laluan
kepada Jemaah lain. Semoga Allah memberkati hamba-Nya yang berkongsi.
Dari Raudhah saya bergerak ke
makam Nabi. Walau telah beberapa kali melaluinya, hati tetap merasa sebak.
Apatah lagi ini adalah ziarah wida’. Saya panjatkan doa agar ini bukanlah
ziarah saya yang terakhir ke Masjid Nabi. Sesungguhnya perpisahan ini terasa amat
berat.
No comments:
Post a Comment
Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.