April 18, 2013


Cinta Sufi

Menelusuri sebuah hikayat pasti menuntut suatu intuisi dan ketekunanan yang tinggi. Dan selayaknya RAM adalah juara di dalam bidang ini. Bayangkan sahaja, trilogy epiknya bukan terhenti di Hijab Sang Pencinta bahkan bersambung kepada tiga buah novel lagi. Mahu kita namakan apa ya bagi kesinambungan seperti ini? Apa pun, watak Sunan masih menjadi tonggak ketiga-tiga hasilan RAM ini. Cuma saja, timangannya sudah berubah kepada ’lelaki bertanduk dua’.
Cinta Sufi (CS) menyambung peristiwa kembalinya Sunan daripada kurun ke 21 dengan kehilangan kudrat dan kegagahan. Pada masa itu juga Benggali Putih atau Feringgi telah berjaya meroboh Kota Melaka. RAM sempat menjentik rasa sedarku bahawa akibat penjajahan itu bukanlah hanya terkesan kepada istana, bahkan golongan marheinlah yang lebih menderita. Ada babak di mana panglima istana yang ditawan dan diberi layanan buruk sedangkan bukan semua soldadu Portugis itu sebenarnya pahlawan ampuh. Teringat kata-kata Tok Hamsan, “bila pokok pisang tumbang, kura-kura pun berani panjat”.
Oh ya, Sunan telah ditawan oleh Feringgi dan dijadikan hamba sahaya Catalina buat menemaninya ke Hulu Melaka. Di sana, Catalina mahu bertemu Maryam, seorang wanita berhijab yang ditemui dalam mimpi. Tetapi ancaman bahaya seakan terus memburu Sunan bukan sahaja daripada Aliosio dan Leandro, bahkan Taghut yang menyamar sebagai Pengeran Garitno dan Putri Kober Gandring si Pontianak.
RAM mengatakan bahawa babak Sunan kehilangan keperkasaannya adalah sisi kelemahan Sunan agar watak itu diseimbangkan sebagai manusia yang punya kelemahan. Dan kerinduan atas kehilangan wanita-wanita kesayangannya juga adalah soft spot Sunan. Entahlah, bagi aku Sunan tetap manusia hebat walau dilihat dari sudut manusiawinya. Kerana kehebatan sebenar Sunan adalah tawakalnya kepada Allah. Apa pun, pengajaran yang baik daripada CS adalah keikhlasan merupakan perisai terbaik seorang hamba.
Pemilihan latar kurun ke 15 memberikan kelebihan kepada RAM untuk menampilkan segala cerita sakti dan ajaib. Cuba sahaja latar masanya diubah ke kurun ini, pasti sahaja watak Pontianak, drakula, roh mati yang dipasung daulat sultan Melaka dan bangsa Polip manusia bersayap akan kelihatan amat tidak munasabah. Dan saya sangat suka bagaimana RAM menukilkan suasana Hulu Melaka dengan mitos dua ekor naga serta lagenda si Puteri Gunung Ledang. Aneh, tetapi tidak keterlaluan.
 Kisah ini digantung dengan pemergian Hang Tuah membawa Sunan yang tercedera ke dalam tasik Hulu Melaka. Ah, pancingan ini benar-benar menjeratku untuk membaca kisah selanjutnya dalam Sutera Bidadari.

No comments:

Post a Comment

Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.