Sunan Musafir
Buah tangan terakhir RAM dalam hikayat panjang perjalanan
hidup Laksamana Sunan akhirnya berjaya jua aku habiskan. Kata RAM, dia terpaksa
menoktahkan jua hikayat ini kerana jiwanya makin resah. Mulanya aku seakan
tidak faham, mengapakah kisah yang sangat menarik harus dinoktahkan, namun
akhirnya aku mengerti jua. Ibarat kata bijak pandai, berhenti sebelum kenyang
itu lebih baik, walau selera sedang berkuasa.
Sunan Musafir (SM) dimulai dengan pace yang sangat perlahan.
Saifudin menjalani hidup sebagai seorang imam musola yang jemaahnya tidak
seberapa. Dia dikenali sebagai Kiyai Kelana. Andai tidak terbiasa dengan unsur
suspens yan dikemudiankan dan sabar dalam tulisan RAM, mungkin saja aku terjerumus
dalam situasi bosan kerana thrillnya hanya muncul selepas bab 10.
SM menutup hikayat Laksamana Sunan dengan menyingkap segala
teka teki yang ditinggalkan oleh Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, Hijab Sang
Pencinta, Cinta Sufi dan Sutera Bidadari. Jesteru, permainan pembalikan masa memang
sangat sering berlaku di dalam Sunan Musafir. Dan ya, RAM masih sempat memperkenalkan
beberapa karekter baru seperti harimau jadian dari Jambi, Origa, Prayuga dan
Qishahir si makhluk halus juga Yang Suri serta Penghulu Deris.
Pendekatan penceritaan bak penglipur lara amat menarik
apabila Kiyai Kelana membuka setiap kisah bekenaan Laksamana Sunan kepada
anakandanya, Andika. Diselitkan jua kisah cinta fitrah Saifudin, Ratna Sang
Ratu Sulaman dan perungkaian sumpahan Maharani melalui Gimbaran. Tidak ketinggalan
kisah Maryam-Saifullah, Luna-Yedee dan Dani-Saleha serta Haryani. Cuma watak
Andika, satu-satunya anak Saifudin tidak dinoktahkan secara jelas. Mungkin penggantungan
ini adalah yang terbaik sesuai dengan gelarnya, Sunan Musafir.
Kesimpulannya, hikayat Laksamana Sunan atau Saifudin Jalis
atau Lelaki Berduka dari Tanah Rencong atau Lelaki Bertanduk Dua ini membawa
mesej yang sangat jelas, iaitu Tauhid kepada Allah adalah sebaik-baik pegangan.
Biar apa pun dugaan yang dihadapi, andai iman itu teguh, tiada apa yang
dirasakan terlalu berat. Kedua, semakin kuat iman seorang hamba, semakin
kuatlah dugaan yang dihadapi, biar dari sudut apa pun. Dan akhirnya, yang
namanya manusia itu tidak dapat lari daripada cinta fitrah tetapi cinta hakiki
kepada Allah itulah yang terbaik. Tidak menghairankan apabila RAM menyatakan
bahawa hikayat ini adalah karyanya yang paling disayangi kerana ianya adalah
unik dan paling berharga. Dan aku juga menyayangi hikayat ini selayaknya…
No comments:
Post a Comment
Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.