Sutera Bidadari
Apa yang paling menonjol dalam hasilan kelima daripada
rangkaian enam buah ceritera epik RAM ini adalah kematangan. Aura ini memang
jelas terutama dari segi perkembangan watak Saifuddin Jalis atau Laksamana
Sunan. Dan Sutera Bidadari (SB) cuba mengintai dari sudut kerinduan Sunan
kepada arwah isterinya, Ratna aka Ratu Sulaman. Dalam masa yang sama, watak
misteri Sang Dewi dimunculkan, tetapi digantung sehingga hujung, menjuntai
pertanyaan adakah dia sebenarnya Sang Ratu?
Tetapi bukan itu sahaja rasa yang ada dalam SB. RAM masih
tegar memerikan pengalaman mistik dan magis sepanjang pengembaraan memburu Taghut
aka Raja Roman yang telah dilepaskan oleh Sang Petala ke tempat kelahirannya,
wilayah Dacia Romawi. Sunan pastinya ditemani pemain pembantu seperti Maryam,
Luna, Sadik, Abdol Rohman (keponakan almarhum Djailuh), Laksamana Awang Bagan,
Thariq, Indera dan Yedee yang setia.
Kendati pun, gaya atau style berperi dalam dua zaman iaitu
tahun 2010 dan 1511 masih dikekalkan oleh RAM. Biarpun seakan pengulangan
tetapi tak pernah membosankan kerana kedua-duanya sarat dengan unsur suspens
dan cemas. Jesteru persoalan siapakah
Saifullah pewaris khazanah Maryam di Lisbon pula muncul. Mengapakah dia
dikatakan mirip Saifuddin? Dan perjuangannya mempertahankan keris Nanggroe serta
catatan Maryam yang akhirnya menjebak Abid Kamal dan Shahril ke sarang Drakul
serta Vlad the impaler di Transylvania, Romania.
Pada penutupnya, RAM menyatakan bahawa SB menyingkap banyak
persoalan yang ditinggalkan oleh Cinta
Sufi (CS), tetapi bagiku, banyak lagi persoalan yang ditinggalkan untuk dijawab
dalam pengakhiran rangkaian kisah sunan, Cinta Musafir. Di situlah
kebijaksanaan RAM.
P/s; Oh ya, aku teruja dengan pengembangan watak Hang Tuah
dalam SB yang ditonjolkan sebagai pahlawan yang amat mulia merawat Sunan dan
mengajarkannya jurus bayangan. Andai sahaja Melayu itu bersatu, dan saling
membantu, pastilah ia menjadi bangsa yang maju.
No comments:
Post a Comment
Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.