Ranggau
Antara hasilan awal RAM ini ternyata mempunyai ‘sengat’
tersendiri terutama pada separuh kedua novel. Mengisahkan mengenai Rusdi Salleh,
seorang penulis novel penyiasatan yang diupah mencari anak jutawan Sabah yang
hilang, Ranggau mampu membuat tidur aku tidak lena memikirkan kesudahan kisah
ini. Walau agak perlahan pada awal pembacaan, RAM seolah-olah menguji kesabaran
dan kesetiaan aku mengikuti segala ulahnya, sehinggakan akhirnya aku terjebak
ke dalam golongan kultus ‘RAMians’. Kendati, jebakan ini bersifat baik dengan
pengenalan pelbagai sudut positivism termasuklah unsur ketuhanan dan kekentalan
jiwa.
Ranggau pada istilah sukuan Sabah merupakan makhluk halus
yang menyesatkan manusia menerusi sifat jahat dalam diri. Atau bolehlah
dikatakan sebagai syaitan yang berbisik. Dan di dalam tulisan ini, Ranggau
adalah seorang doktor bedah bernama Doktor Zahid yang telah sesat akibat
bersahabat dengan Benjamin, si Yahudi. Doktor Zahid telah membentuk Kim (Boon Sai)
sebagai alat menjebak wanita untuk dibunuh dan diperdagangkan mata serta buah
pinggangnya. Dan antara mangsanya adalah Janet, adik kepada kekasih Doktor
Zahid sendiri, Ursula.
Selain sarat dengan unsur suspen, kasih sayang serta
kekeluargaan, RAM tidak pernah lupa mendakwah pembaca melalui konsep keislaman
terutama keutamaan solat dan berdoa serta berserah kepada Allah, tuhan yang
satu. Bayangkan sahaja seorang novelis terpaksa menyelesaikan kes kehilangan
Janet dan membongkar jenayah licik perdagangan organ berkat tawakalnya kepada
Allah.
Secara keseluruhannya, Ranggau menyediakan
platform awal kepada peminat RAM mengenai gaya penulisan menerusi kaca mata
‘aku’ yang banyak bermonolog. Ini dapat dilihat melalui hasilan karya ‘Aku
Bercerita’ yang menemui peminat pada tahun 2012. Membaca Ranggau, walau telah
sekian lama dihasilkan, tetap memberi kepuasan kerana aku merasakan
‘keikhlasan’ RAM dalam berkarya. Dan pada hari ini, nama Ramlee Awang Murshid
gah di persada dunia penulisan tanah air walau rata-ratanya dikuasai penulis
wanita. Aku, secara jujur mendoakan agar RAM terus aktif berkarya dan sentiasa
tawadhuk kerana ilham dari Allah hanya turun kepada insan yang terpilih.
Selamat Maju Jaya kepada RAM.
No comments:
Post a Comment
Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.