Apa yang kita punya?
Husaini (sekadar meminjam nama) berjalan tanpa tujuan. Hatinya kusut memikirkan poketnya yang kosong. "Apalah yang akan kubawa pulang untuk mengisi perut anak dan isteriku?" pertanyaan yang tiada jawapan, berlegar dan bergema di benak fikirannya. Tiba-tiba Husaini terpijak sesuatu. Apabila diamat-amatinya, sekeping syiling yang kelihatan sangat buruk. Lalu diambil dan dibawa ke bank. Fikirnya biarlah dia bertanya kepada yang expert mengenai syiling itu.
Ternyata syiling tersebut adalah syiling purba dan pihak bank mengusulkan agar dibawa berjumpa dengan pengumpul barang purba untuk diketahui nilaiannya. Husaini bergegas menemui penumpul barang purba dan wang tersebut dibeli dengan harga RM30. Itulah rezeki terpijak namanya.
Dengan wang RM30 Husaini berjalan pulang. Syukur kerana dia sudah punya wang untuk membeli makanan. Dalam perjalanan pulang, dia terjumpa seorang lelaki yang sedang memikul sekeping kayu. Husaini sangat tertarik melihatkan kayu yang sangat elok pada perkiraannya itu. Lalu dibeli dengan harga RM30. Kayu itu akan digunakan untuk membaiki dinding rumahnya yang sudah terkopak.
Di pertengahan jalan Husaini berhenti sebentar di bawah pokok. Melepas lelah dan penat pada cuaca yang panas dan memeritkan. Di hadapan tempatnya berehat terdapat sebuah bengkel perabut. Tuan empunya bangkel sangat tertarik dengan kayu yang dibawa Husaini. Setelah diteliti, ternyata itu adalah sebatang kayu yang amat jarang ditemui dan sangat sesuai untuk dibikin perabut custom made permintaan seorang pelanggan kaya. Lalu empunya bengkel menawarkan harga RM100 untuk kayu tersebut. Husaini bersetuju, tetapi ditukarkan dengan sebuah almari yang kelihatan amat cantik, buat hadiah kepada isterinya di rumah.
Sekarang Husaini sangat gembira. Dalam perjalanannya pulang ke rumah, Husaini terlihat seorang wanita sedang termenung di hadapan rumah. Wanita tersebut baharu sahaja berpindah ke rumah tersebut dan sangat menginginkan sebuah almari. Tatkala terlihatkan almari yang sedang dipikul Husaini, wanita tersebut terus tertarik untuk memilikinya. Lalu berlakulah tawar menawar dan Husaini mendapat RM250. Alhamdulillah, rezeki daripada Allah.
Sekarang Husaini berasa sangat gembira. Ditangannya kini ada RM250 dan cukup untuk membeli barang keperluan dapurnya. Namun panas tidak sampai ke petang, Husaini telah dirompak di tengah jalan. Habislah wang RM250 di tangannya.
Setibanya di rumah, isteri Husaini berasa hairan, "Ke mana saja abang ni. Seharian suntuk abang keluar dan baru sekarang abang pulang?". "Abang dirompak...", perlahan sahaja suara Husaini. "Abang? Abang dirompak? Apalah perompak tu dapat daripada abang?" makin hairan isteri Husaini. "Sekeping syiling buruk..."jawab Husaini.
Moralnya, kenapalah kita selalu risau dengan perkara yang belum tentu milik kita. Kadang kala kita akan berasa risau memikirkan sesuatu nikmat, macam mana nak kembangkan dan dapat yeng lebih menguntungkan kononnya. Padahal semuanya milik Allah dan kita sepatutnya boleh menikmati seadanya andai tidak terlalu tamak...
No comments:
Post a Comment
Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.