Aku Bercerita
Buah tangan terkini Ramlee Awang Murshid mengetengahkan
pendekatan baru dalam penulisan novel. Masih kuat memegang konsep triller, RAM
bukan sahaja menyajikan sebuah, namun lima buah cereka yang bersifat individual
namun saling berkait. Lima buah cereka yang berlainan perisa merupakan satu
bonus kepada pembaca, kerana setiap satunya membawa latar zaman dan karakter
serta isu yang berbeza. Namun semuanya masih sahaja terkait kuat dengan watak “Aku”.
Aku Bercerita (AB) mengisahkan “Aku” , seorang penulis prolifik
yang menghabiskan cutinya di Pulau Pinang buat mencari idea tulisan barunya
namun seakan terkena sindrom writer’s block. Aku menghadapi kisah aneh apabila
mendapati satu persatu cereka terpapar di dalam skrin komputer ribanya. Gaya penceritaannya
seakan-akan gayanya, namun bukanlah miliknya. Ibarat orang mengantuk
disorongkan bantal, cerita itu disalin ke dalam pen drive dan dipadam. Bukan satu,
tetapi lima buah cereka. Sekarang hanya hatinya yang menimbang samada mahu
menjadikan kesemua cereka itu karya miliknya atau tidak.
Pembaca pasti sahaja terbuai dengan pelbagai genre yang
dihidangkan oleh RAM dalam AB. Bermula dengan Bunian, kisah berlatarkan
kehidupan zaman 50-an yang masih tebal dengan kisah bunian dan mistik. Gaya
bahasa yang sesuai pasti sahaja menyeret pembaca merasai suasana kampung bernuansa
aman dan damai sehingga tercetusnya keributan apabila manusia dan bunian
menembusi hijab dunia masing-masing. Saya hampir sahaja percaya bahawa Jailani itu
adalah manusia…
Cereka kedua adalah Culik. Kisah ini lebih bersifat thriller
moden dengan penculikan Lisa, anak tunggal jutawan, Mizwar. Pace cerita ini
adalah inti dan nadi kepada Culik sesuai dengan plot yang jelas dan tidak
berbelit-belit. Kalau diamati, ada sedikit persamaan dengan 9 Nyawa.
Seterusnya pembaca dihidangkan dengan Cinta Matiku. Berlatarkan
tahun-tahun awal selepas Merdeka, Cinta Matiku membawa pembaca mengimbas cinta
antara Tahir dan Rukiah. Tahir, anak seorang pemilik ladang kelapa sawit
dituduh membunuh Rukiah, cinta matinya. Ah, terus-terusan aku meneka bahawa
Rukiah adalah Rukiah, namun dia adalah Kefira Hebrew atau Kalsom atau Rukiah. Disulami
sejarah perjuangan Perdana Menteri Malaysia kedua, Cinta Mati juga menceritakan
kelicikan gerakan komunis di Tanah Melayu.
Sang Kancil pula mengambil slot seterusnya dalam AB. Umpama membaca
kisah dan tauladan, Sang Kancil mengajar dalam diam, menjentik dalam geram dan
menggugah dalam leka. Satu ungkapan paling glamer dalam Sang Kancil adalah, “Dalam
dunia manusia banyak terdapat haiwan, tapi dalam dunia haiwan tiada terdapat
manusia”. Haha…betul juga kan. Sang Kancil menceritakan mengenai Ahmad, seorang
anak yang pendiam dan sering disisihkan, namun mempunyai satu kelebihan iaitu
baik hati. Atas kebaikannya menyelamatkan sang kancil daripada jerat, dia
akhirnya dibawa ke Pelangi Awangan dan mempelajari pelbagai kemahiran dalam
dunia haiwan. Kemahiran Ahmad akhirnya berjaya menggagalkan rompakan di bank
tempatnya bekerja dan dihadiahi sebuah kereta Kancil.
AB akhirnya ditutup dengan kisah Cut. Tidak sukar ditebak
waktu mula membaca cereka penutup dalam AB ini sebagai sebuah babak lakonan
apabila jalan ceritanya sangat dekat dengan cerekarama di dalam tv. Mengisahkan
perkahwinan Herman dan Cut Asmidar yang diadakan secara tergesa-gesa buat
menutup aib keluarga kaya Ibrahim Fakeh yang banyak berjasa kepada Pak Ayub. Sungguh
pun sarat dengan emosi, RAM dilihat bijak dengan menggunakan pace penceritaan
yang laju dan penggunaan bahasa yang tidak meleret.
Akhir kepada sebuah pengakhiran adalah, siapakah Aku dalan
AB apabila pemilik sebenar kelima-lima cereka muncul menuntut haknya.
Secara peribadi, saya merasakan bahawa RAM sememangnya
seorang penulis dan penghibur. Beliau membawa gaya penceritaan baharu dalam
penulisan. AB bukanlah sebuah antologi walau hampir sama sifatnya. Ini kerana
watak “Aku” akhirnya terungkai jua. Dan saya berasakan bahawa AB ini adalah
hadiah RAM kepada peminat tegarnya kerana dia menghadiahi 5 cerita dalam sebuah novel. Hebat
bukan?
No comments:
Post a Comment
Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.