Pelajaran dari sebatang pensil
Nenek Non sedang asyik menulis sesuatu di meja study
cucunya, Yam. Keasyikan itu menarik perhatian sang cucu lantas menyapa, “Ha…nenek
mesti tengah tulis pasal Yam kan?”. “Betullah tu…tapi nenek nak cerita yang
lebih penting…pasal pensil ni,” balas si nenek seraya mengangkat pensil di
tangannya. “Ada apa dengan pensil, nek?” tanya sang cucu.
“Cu, pada pensil ini terdapat pengajaran yang besar. Nenek
dapat simpulkannya menjadi lima perkara yang bakal menjadikan hidupmu tenang sentiasa,”
si nenek mula bercerita.
Pertama, pensil itu hanya dapat berfungsi dengan baik apabila
ianya dipimpin oleh tangan yang mahir. Dengan kemahiran tangan inilah pensil
dapat mencoretkan beribu bahkan berjuta huruf yang bercantum menjadi patah kata
dan ayat. Ayat itu kemudiannya bergabung menjadi perenggan dan akhirnya berdiri
menjadi ilmu. Demikianlah juga hidup kita, sebagai pensil hendaklah kita
menurut patuh dengan ‘tangan’ yang mahir mencorakkan huruf, patah kata dan
ayat. Dialah Allah yang maha kuasa.
Kedua, pensil dalam jangka masa tertentu barang pasti perlu
diraut. Proses meraut ini kelihatannya menyakit dan menyiksaan. Namun proses
ini adalah kemestian demi menajamkan mata pensil buat membolehkannya berfungsi
semula. Demikianlah hidup kita, ada kalanya kesedihan, kesakitan dan
penderitaan datang melanda. Bukanlah Allah itu mahu membeban dan menyiksa kita,
bahkan mahu menjadikan kita terus berfungsi dengan baik. Kan tanpa cubaan kita
sukar menjadi dewasa?
Pengajaran ketiga ialah tulisan yang terhasil pastilah
kedapatan kesalahan. Dan dalam soal ini, tulisan pensil boleh dipadam oleh
getah pemadam dan seumpamanya. Begitulah jua kehidupan manusia, pastilah akan
berlaku kesalahan dan dosa. Setiap kekhilafan ini pasti sahaja boleh dihapus
dengan kemaafan dan taubat. Sebagai pensil, jangan perasan sempurna, tetap
sahaja berlaku keterlanjuran dan dosa, hanya perlu guna pemadam buat
membetulkan kesalahan.
Seterusnya, kita lihat apa yang tinggal setelah tulisan
pensil dipadam? Pastilah ada kedapatan kesan di atas kertas, bukan? Nah, itulah
perlambangan bagi setiap kesalahan pastilah meninggalkan kesan, walau telah
terampunkan. Maka berhati-hatilah selalu dalam penulisan kehidupan kerana pasti
sahaja kesalahan kita, terutama kepada mereka yang akrab dengan kita, terkesan
atas kekhilafan tersebut.
Dan akhirnya, jika diteliti pada fizik pensil itu sendiri,
apa yang lebih penting pada pensil? Luarannyakah atau arangnya? Pastilah
arangnya. Makanya, arang itu terletak di sebelah dalam dan dilindungi kayu yang
keras. Inilah perlambangan paling hebat oleh sebatang pensil. Jiwa yang letak
duduknya di dalam manusia, itulah yang lebih penting berbanding jasad luaran
kita. Boleh sahaja pensil itu berharga puluhan malah ratusan ringgit tetapi
arangnyalah yang paling berharga. Andai pensil berharga ratusan ringit namun
tidak punya arang di dalamnya, masih berhargakah ia? Begitulah jua ibaratnya
manusia, kalaulah sahaja jiwanya kosong, kumul dan bobrok, apakah nilaiannya
berbanding penampilan luaran yang serba keren, gensi dan juga moden?
“Maka dengan itu wahai cucu, sentiasalah kita mencari
pengajaran dari apa yang ada di sekeliling kita, hatta sebatang pensil. Kerana kitalah
pensil itu, diciptakan dengan sebaiknya dan dituntun oleh sang Pencipta, diuji
untuk mematangkan dan sentiasalah kita berbuat kesalahan, namun di sana, tetap
sahaja ada kemaafan. Namun akhirnya, jiwa kitalah yang menjadi nilaian-Nya.
Ingatlah, Allah menyuruh kita sentiasa peka dengan alam dan kehidupan. Di sana
pasti kita sedar kemudiannya bahawa tiada suatu pun yang diciptakan sia-sia,”
demikian pesan nenek.
No comments:
Post a Comment
Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.