Nabi Ayyub terkenal dengan
kesabarannya yang tinggi di dalam menghadapi ujian dari Allah. Beliau adalah
seorang lelaki yang almost perfect andai hidup pada hari ini.
Baginda seorang lelaki yang tampan, sihat dan gagah. Bukan itu sahaja, baginda
juga dikurniakan seorang isteri yang solehah lagi setia bernama Rahmah. Bersama
Rahmah, baginda dikurniakan 12 orang putera dan puteri yang soleh dan solehah.
Selain berjaya dari sudut
peribadi dan keluarga, Nabi Ayyub juga adalah seorang hartawan. Baginda
dikurniakan harta yang banyak berupa ladang tanaman yang beribu hektar luasnya.
Bukan setakat konglomerat sektor perladangan, baginda juga dikurniakan nikmat
ternakan yang berjumlah ribuan ekor. Maka ramailah di kalangan umat Nabi Ayyub
yang sama-sama merasai nikmat kekayaan baginda kerana baginda adalah seorang
yang pemurah. Kekayaan dan kejayaan Nabi Ayyub ini meletakkan baginda sebagai
seorang ikon di kalangan umat baginda. Ini juga menjadi salah satu daya penarik
kepada dakwah baginda.
Meski baginda hampir perfect sebagai seorang insan, namun
baginda tidak pernah menyombong diri, bahkan bagindalah manusia paling warak
dan banyak bersyukur kepada Allah. Kisah kejayaan Nabi Ayyub ini sangat
dicemburui iblis.
Maka suatu hari iblis datang
menghadap Allah swt untuk menyatakan ketidak puasan hatinya terhadap Nabi
Ayyub. “Ya Allah, seharusnyalah Ayyub itu banyak besyukur kepadaMu memandangkan
dia dikurniai dengan banyak kelebihan. Cuba sahaja jika dia itu miskin,
sebatang kara ataupun sakit-sakit, pasti
sahaja dia tidak akan pernah bersyukur kepadaMu,” kata iblis. “Maka aku memohon
agar engkau cabut salah satu nikmatMu kepadanya berupa kekayaan. Aku yakin,
Ayyub pasti akan berputus asa dan berhenti dari menjadi umatMu yang bersyukur,”
sambung iblis. Maka Allah mengizinkan iblis menjalankan misinya.
Iblis terus pergi ke ladang Nabi
Ayyub. Disebarkannya hembusan berupa racun ke atas tanaman dan ternakan Nabi
Ayyub sehingga mati keseluruhannya. Pokok-pokok menjadi layu dan ternakan menjadi
kurus. Tidak lama selepas itu, seluruh ladang tanaman dan ternakan Nabi Ayyub
menjadi padang jarak padang tekukur. Nabi Ayyub telah jatuh papa dalam masa
yang singkat. Tetapi apakah reaksi Nabi Ayyub? Adakah baginda menjadi putus
asa?
Nabi Ayyub tidak langsung
mengeluh melihatkan musibah yang menimpanya. Bahkan baginda terus terusan
memuji dan bersyukur kepada Allah. Kerana baginya segala sesuatu itu adalah
pemberian Allah dan seharusnyalah sebagai pemilik, Allah berhak mengambil
barang milikanNya pada bila-bila masa sahaja. Iblis berasa sangat sakit hati
terhadap apa yang berlaku, sangkanya setelah jatuh miskin, pastilah Nabi Ayyub
akan menjadi sangat devastated dan
berputus asa.
Lalu iblis pergi menemui Allah
semula. Dia memohon agar Allah mencabut nyawa kesemua anak-anak Nabi Ayyub.
Pada pendapat iblis anak-anak adalah jantung hati seorang bapa dan kematian
anak-anak ini pastilah akan sangat menghancurkan iman dan taqwa Nabi Ayyub.
Allah perkenankan permohonan iblis dan terus menyatakan bahawa hambaNya Ayyub
pasti akan terus menjadi hamba yang bersyukur.
Sekonyong kesemua anak Nabi Ayyub
telah mati serentak. Bayangkan sahaja menghadapi kematian dua belas orang anak
yang soleh dan solehah serentak tanpa ada tanda-tanda sakit, pastilah sahaja
menggegar keimanan seorang insan. Tetapi tidak bagi Nabi Ayyub. Baginda tetap
tabah dan tunduk bersyukur kepada Allah. Iblis sangat hairan dan datang menemui
Nabi Ayyub. “Wahai Ayyub, dahulu engkau ini kaya. Hartamu menimbun dan anakmu
ramai. Tetapi kini satu persatu nikmat itu telah dicabut Allah. Tidakkah kau
berasa bahawa tuhanmu sedang murka ke atasmu lantas menjatuhkan kaffarah
kepadamu? Maka mengapa kamu masih mahu sujud bersyukur kepada tuhanmu?”. “Aku
beriman kepada Allah kerana aku adalah hambaNya, bukan kerana yang lain,” jawab
Nabi Ayyub.
Iblis berasa sangat marah. Kali
ini dia menemui Allah untuk memohon agar ditimpakan sakit ke atas Nabi Ayyub.
Kerana selain kemiskinan, manusia pasti akan goyah imannya apabila diuji dengan
sakit. Allah mengizinkan permohonan iblis dan tetap menyatakan bahawa Nabi
Ayyub akan kekal menjadi hamba yang bersyukur.
Selang beberapa ketika, Nabi
Ayyub diserang sejenis penyakit ganjil. Badannya menjadi kurus dan kulitnya
ditumbuhi kudis. Perubahan mendadak fizikal Nabi Ayyub menjadi bualan penduduk
kota. Mereka berasa pelik dengan penyakit yang menimpa Nabi Ayyub bimbang ianya
akan menulari seluruh penduduk. Maka mereka berpakat mengusir Nabi Ayyub dari
kota. Mengusir manusia yang dahulunya tidak putus membantu mereka ketika susah
dan menunjukkan mereka akhlak terpuji.
Maka pada suatu hari, Nabi Ayyub
telah keluar dari rumahnya bersama Rahmah, isteri yang setia. Mereka melarikan
diri ke dalam hutan yang jauh dari penempatan manusia. Nabi Ayyub sangat
bersyukur kerana masih ditemani isterinya walau keadaan fizikalnya yang lemah
dan berpenyakit. Baginda tidak pernah putus bersyukur kepada Allah apatah lagi
mengeluh dan berputus asa.
Kekuatan iman Nabi Ayyub sangat
menyakitkan hati iblis. Lantas iblis mengatur rencana menghasut Rahmah, isteri
Nabi Ayyub. Iblis menjelmakan dirinya dalam sosok seorang lelaki tua. “Puan,
aku sangat kasihan melihatkan nasibmu. Dahulu engkau punya segalanya, harta
yang banyak, suami yang berpengaruh dan dihormati serta anak-anak yang ramai.
Tetapi hari ini, lihatlah sahaja keadaanmu. Terpunduk di tengah hutan, diusir
oleh kaummu sendiri, pada kedana dan sebatang kara. Engkau mintalah suamimu
berdoa kepada Allah agar dikembalikan segala nikmat yang pernah diturunkan
kepadanya. Semoga sahaja engkau kembali seperti dahulu,” pujuk iblis. Iblis
berhelah agar Nabi Ayyub sekurang-kurangnya menyalahkan takdir dan berhenti
bersyukur.
Rahmah terpedaya dengan helah
iblis. Dia menemui baginda dan merayu agar suaminya itu berdoa dilepaskan dari
segala ujian yang getir ini. Nabi Ayyub berasa sedih dan marah. Kepada Rahmah
baginda berkata, “Wahai isteriku, selama ini engkau rapat dan setia kepadaku.
Aku menyangka engkau mengerti dakwah dan peganganku bahawa segala sesuatu yang
berlaku itu adalah takdir tulisan Allah. Kerana sesungguhnya takdir Allah
adalah yang terbaik buatku. Tetapi hari ini engkau menyuruhku memohon Allah
mengubah tulisan takdir itu? Hanya kerana engkau tidak tahan dipandang hina
manusia lain?”. Rahmah tertunduk. “Mulai hari ini pergilah engkau dari sisiku
dan aku bernazar andai suatu hari nanti engkau kembali kepadaku, maka aku akan
menghukummu dengan seratus sebatan,” sambung Nabi Ayyub.
Maka tinggallah baginda
keseorangan setelah ditinggalkan Rahmah. Baginda terus-terusan beribadat kepada
Allah dan sentiasa bersyukur. Iblis berasa sangat hairan terhadap tahap
kesabaran Nabi Ayyub. Tidak pernah dia bertemu dengan insan setabah Ayyub.
Akhirnya iblis pergi menghadap Allah. “Ya Allah, sesunguhnya aku berasa hairan
terhadap hambaMu, Ayyub. Tidak pernah aku bertemu manusia sesabarnya. Dia
diduga dengan kekayaan, pengaruh dan keluarga tetapi masih teguh bersyukur
kepadaMu. Pada hari ini aku gagal menggoda dan menyesatkan hambaMu yang satu
ini,” iblis menyerah kalah. “Bukankah telah aku katakan bahawa engkau akan
mendapati Ayyub itu hamba yang banyak bersyukur,” firman Allah.
Setelah iblis pergi, Allah telah
memerintahkan malaikat Jibril untuk menemui Nabi Ayyub. Melalui Jibril, Nabi
Ayyub disuruh menghentakkan kakinya ke bumi dan terpancarlah mata air. Dari
mata air tersebut Nabi Ayyub disuruh minum dan mandi. Segala suruhan itu
dilakukan oleh Nabi Ayyub. Dan kini baginda beransur sihat seperti sediakala,
bahkan baginda menjadi lebih tampan dari yang dahulunya.
Nabi Ayyub telah berjaya
menghadapi ujian ke atasnya dengan cemerlang. Kita baginda pulang ke kota
mencari isterinya, Rahmah. Rahmah seakan tidak mengenali lagi suaminya dek
kerana perubahan yang berlaku ke atas Nabi Ayyub. Dia kembali hidup bersama
Nabi Ayyub.
Pada kali ini Allah mengurniakan
harta yang lebih banyak daripada dahulu. Juga Allah mengurniakan anak yang
lebih ramai. Di kalangan anak-anak Nabi Ayyub, Allah angkat seorang daripadanya
sebagai Rasul iaitu Nabi Zulkifli.
Lihatlah balasan di atas
kesabaran seorang hamba. Allah tidak menguji kita kerana Dia membenci kita.
Tetapi Allah menguji kerana Dia mahu memberi kita sesuatu yang lebih baik,
kerana kesudahan yang baik adalah bagi mereka yang bersyukur. Juga harus
diingat, ketika kita diuji dengan kehilangan, kematian dan kekurangan,
dipandang hina dan dipulaukan, bertawakallah kepada Allah. Sentiasa beringat ke
atas nikmat-nikmat lain yang masih banyak. Semoga hati kita terdidik untuk
terus bersyukur.
Para sahabat rasulullah akan
berasa sedih dan gundah andai terus terusan sihat dan cukup keperluannya. Pada
mereka Allah tidak menguji kerana Allah sudah melupakan mereka. Mereka akan
berasa bersyukur andai diuji dengan kesakitan, kesempitan mahupun kelaparan.
Kerana tanda Allah peduli dengan hamba ialah ketika kita diuji. Oleh itu,
bersyukurlah atas ujian. Teruskan bertawakkal kerana kita secara fitrahnya
lebih mudah bersyukur ketika kita diuji.
No comments:
Post a Comment
Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.