Hijab Sang Pencinta
Siri terakhir trilogi epik RAM ini adalah peleraian segala
persoalan yang ditinggalkan daripada Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu.
Sesuai dengan tajuknya, segala hijab akhirnya terbuka namun diceritakan
mengikut batas logika akal. Dan kali ini musuh utama adalah Manggala, manusia
serigala berasal dari Tibet yang diangkat oleh Taghut. Sedikit kelainan pada
Hijab Sang Pencinta (HSP), Sunan mengembara bersendirian tanpa teman dan
berlatar belakangkan belantara Sumatera. Selain itu, HSP masih sarat dengan
pertempuran dan pertembungan antara kebaikan dan kejahatan yang seakan tiada
berkesudahan sesuai dengan janji iblis hingga ke hari kiamat.
HSP juga membawa kelainan apabila Sunan pula yang hadir ke
abad 21 setelah tertidur di dalam gua berdekatan perkuburan bondanya, Sulimah. Hikmahnya,
Sunan telah berjaya menyelamatkan Haryani dan Dani daripada bangsa manusia
serigala seterusnya menghapuskan baka Manggala, si jenglot daripada hidup
semula dengan mencampakkannya ke dalam kawah Gunung Anak Krakatao.
Pada pengakhiran HSP, Sunan telah melamar Haryani sebagai
isteri namun ditembak oleh Hamid, pengikut setia Ibnu Misad dan ‘menghantarnya’
pulang ke kurun 15. Ketika itu, Portugis telah melanggar Melaka. Meminjam kata
ayah Yam, akhirnya setiap cerita pastilah kematian, begitulah jua HSP. Sunan
telah meninggal dan sejarah hidupnya yang sering meningkah kebiasaan mungkin
menjadi musabab mengapa tiada catatan mengenai Laksamana Sunan di mana-mana. Ah,
sebuah penghidupan serupa Laksamana Sunan tidak memerlukan dendangan sejarah,
cukuplah rakaman RAM dalam triloginya.
Sebagai penambah perisa, RAM memasukkan watak Gimbaran,
Awang Bagan, Putri Kober Gindring dan Saliha. Juga sedikit kisah bagaimana Hang
Tuah dapat merampas keris si Taming Sari daripada perajurit tua Majapahit yang sedang mengamuk itu. RAM juga
tidak lupa membuat homework mengenai lokasi-lokasi di Sumatera seperti
Palembang, Tulang Bawang atau Sai Bumi
Ruwa Jurai dan suku bangsa seperti suku Sebatin dan Pepadun.
Kesimpulannya, trilogi ini selayaknya diangkat sebagai kerja
tangan epik RAM kerana aliran ceritanya ibarat air sungai dari pergunungan. Ada
kalanya mengalir deras, ada kalanya merbahaya ketika melalui jeram dan lubuk,
ada kalanya tenang dan mendamaikan, namun air itu tidak pernah berhenti
mengalir dan terputus. Banyak ranjau yang menghalang aliran ini, namun sungai
tetap berjasa kepada kehidupan, walau budinya sering dilupakan. Begitulah
ibaratnya Saifudin alias Laksamana Sunan. Andai ada di kalangan penggiat seni
yang masih mencari manuskrip kisah pengembaraan untuk diangkat ke layar perak,
inilah jawabannya. Kerana trilogi ini setanding Lord of the Ring, bahkan lebih
hebat lagi.
No comments:
Post a Comment
Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.