Tuesdays with Morrie
Hari ini aku membaca sebuah buku
kecil, Tuesdays with Morrie (TwM). Kendati pun kecil saiznya, namun TwM membawa
satu isu besar kepadaku. Buktinya, aku tak dapat meringkaskannya dalam beberapa
perenggan seperti buku-buku sebelum ini. Serasa terlalu banyak ‘isi penting’
yang perlu disertakan dan rugi jika ditinggalkan. Begini catatanku…
Mitch Albom, seorang kolumnis sukan yang berjaya di Detroit Free
Press telah berkesempatan mendampingi bekas professornya, Morrie Schwartz yang menderita penyakit amyotrophic lateral sclerosis (ALS). Morrie menghabiskan hari-hari terakhirnya dengan
berkongsi sebanyak mungkin mengenai falsafah hidupnya kepada orang lain dan
hampir melupakan penyakit yang dideritainya. Dan sesi khas antara Mitch dan
Morrie diadakan setiap Selasa selama 14 minggu. Berikut adalah beberapa pendapat
dan pandangan Morrie yang kaya dengan pengalaman untuk dikongsi bersama
pelajarnya, Mitch, juga buat kita semua;
·
Dunia – Perkara paling penting dalam hidup
adalah belajar bagaimana hendak memberi kasih sayang dan menerima kasih sayang.
Kita sangka kita tidak layak menerima kasih sayang, kita juga sangka jika
menerima kasih sayang kita menjadi ‘lembut’. Tetapi seorang lelaki bijak
bernama Levine pernah berkata, ‘Kasih sayang adalah satu-satunya perbuatan yang
wajar’.
·
Mengasihi diri sendiri – Bukankah lebih elok
menetapkan had masa dalam sehari bagi mengenangkan nasib diri. Hanya beberapa
minit yang memilukan, kemudian menempuh hari itu seperti biasa.
·
Penyesalan – Kita terlalu terkongkong dengan
perkara-perkara egois, kerjaya, keluarga, menambah kekayaan, mengurus gadai
janji, membeli kereta baru, melakukan kerja-keja rencam di rumah. Kita sibuk
dengan ratusan perkara kecil hanya bagi meneruskan kelangsungan hidup. Jadi
kita gagal menjadikan tabiat di mana kita sepatutnya berdiam diri seketika dan
menilai pencapaian hidup kita dan bertanya, ini sahajakah? Ini sahajakah yang
aku mahu? Ada apa-apa lagi yang kurang? “Kamu perlu seseorang bagi membimbing
kamu kearah itu. Ia tidak mungkin berlaku secara tiba-tiba.”
·
Kematian – “Saya sendiri tidak tau apa erti
sebenar ‘kemajuan kerohanian’. Tetapi saya tahu kita kekurangan dalam hal itu.
Kita terlalu terlibat dengan hal-hal kebendaan, dan ia tidak sedikit pun memberi
kepuasan kepada kita. Hubungan kasih sayang sesama kita, alam sekeliling kita,
tidak pernah mengendahkannya.
·
Keluarga – Penyajak Auden, “Saling sayang
menyayangi atau hidup menjadi tidak bermakna.” Rob dan Jon mahu berhenti kerja
dan menjaga bapanya, Morie, tetapi ini jawapan Morie. “Jangan berhenti dengan
hidup kamu. Jika tidak, penyakit ini akan memusnahkan kita bertiga, bukan hanya
saya seorang.”
·
Perasaan – “Mengasingkan perasaan”. Biarkan diri
mengalami perasaaan sakit, sedih, derita dengan membenarkan diri kita
menyelaminya jauh ke dalam, malahan sampai ke dasar, kita akan benar-benar
merasainya. Kita akan tahu apa itu sakit. Kita akan kenal apa itu kasih sayang.
Kita akan kenal apa itu kesedihan. Hanya selepas itu kita boleh brkata,
“Hah…aku pernah merasai perasaan itu, sekarang aku perlu ‘keluar’ daripada
perasaan itu buat seketika.”
·
Duit – “Satu kekeliruan besar berlaku dalam negara
ini adalah berkaitan dengan apa yang kita mahu, berbanding apa yang kita perlu.
Kita perlukan makanan, kita mahukan aiskrim coklat. Kita mesti ikhlas dengan
diri sendiri. Kita tidak memerlukan kereta sport baru, dan kita tidak
memerlukan rumah paling besar. Hakikatnya, kamu tidak mendapat kepuasan
daripada benda-benda itu. Apa yang betul-betul dapat memberi kepuasan adalah
menawarkan kepada orang lain apa yang kamu dapat beri”.
·
Cinta yang berkekalan – ‘Love is how you stay
alive’. Morrie sentiasa menyapa dengan kata,”Ah, sahabat saya…”. Apabila
bercakap, pandang ke mata dan mendengar betul-betul apa yang kamu katakan.
Seolah-olah kamulah satu-satunya orang dalam dunia ini.
·
Perkahwinan –“Ada beberapa peraturan yang saya
tahu mengenai kasih sayang dan perkahwinan yang boleh diikuti. Sekiranya kamu
tidak meghargai pasangan kamu, kamu akan menghadapai banyak masalah. Sekiranya
kamu tidak tahu bertolak ansur, kamu akan menghadapi banyak masalah. Sekiranya
kamu tidak mampu bercakap secara terbuka apa yang berlaku di antara kamu, kamu
akan menghadapi masalah. Dan sekiranya kamu tidak mempunyai nilai-nilai
kesepakatan, kamu akan menghadapi banyak masalah. Nilai-nilai kamu berdua
mestilah serupa. Dan yang paling penting di antara nila-nilai itu, kepercayaan
kamu terhadap pentingnya perkahwinan kamu. Secara peribadi, saya rasa
perkahwinan adalah perkara penting yang perlu dilalui, dan kamu akan kerugian
sekiranya tidak mencubanya.”
·
Budaya – Manusia akan berkeras apabila mereka terancam.
Bentuk budaya kecil kita sendiri. Contohnya seperti perempuan yang tidak
memiliki tubuh yang kurus ataupun orang yang tidak ada banyak wang sering menganggap
dirinya kekurangan. Itu sebenarnya apa yang budaya kita mahukan kita percaya. Saya
tidak mempercayai semua itu. Cara mengatasinya, bukan lari daripadanya. Kamu terpaksa
berusaha membentuk budaya kamu sendiri. Tidak kira di mana kamu tinggal,
kekurangan utama manusia adalah ‘rabun dekat’. Kita tidak melihat kemampuan
diri sendiri. Kita patut melihat kepada potensi diri kita sendiri, menjangkau
seberapa jauh yang boleh bagi mencapai apa yang kita mampu lakukan. Pada permulaan
hidup, semasa bayi kita bergantung kepada orang lain untuk hidup bukan? Dan di
penghujung hidup, kamu memerlukan orang lain bagi bergantung hidup, bukan? Tetapi
inilah rahsianya, di antara kedua-keduanya, kita juga saling memerlukan.”
·
Kemaafan – “Maafkan diri kamu sendiri sebelum
mati. Kemudian maafkan orang lain.” Berdamailah dengan diri sendiri. Maafkan di
atas perkara-perkara yang sepatutnya kita lakukan tetapi tidak kita lakukan. Jangan
tunggu, bukan semua orang mendapat waktu, bukan semua orang bernasib baik.”
·
Hari yang sempurna – “Pasrah menerima kematian. Sekiranya
kita tahu, akhirnya kita dapat menerima kematian itu dengan pasrah, barulah
kita dapat lakukan urusan yang paling susah iaitu berdamai dengan kehidupan. Selagi
kita boleh menyayangi antara satu sama lain, dan ingat perasaan sayang yang
kita ada, kita boleh mati, tetapi tidak berpisah. Segala cinta dan kasih sayang
yang kita pupuk masih ada di sana. Segala kenangan masih ada di sana. Kita terus
hidup – dalam hati setiap orang yang pernah kita sentuh dengan kasih sayang.”
Komen aku, kebanyakan perkara
yang diluahkan oleh Morrie telah diterangkan dengan jelas di dalam Islam. Dan kita
patut bersyukur untuk itu. Cumanya, setakat mana kefahaman dan dan penghayatan
kita, adakah sebaik Morrie?