May 21, 2013

MIKHAIL
 
Mengapa aku tidak pernah jemu dengan karya RAM? Kerana ianya tidak pernah gagal menggugah selera intuisiku. Lauk sesedap mana pun andai yang sama dihidang setiap hari pastilah akan menjadikan kita bosan dan putus selera. Berlainan dengan RAM yang bijak mengolah menunya sehinggakan apa sahaja yang dihidang menjadi sentiasa enak dan menyelerakan.
Begitulah jua apa yang aku rasa selepas puas ‘menghadap’ hidangan bernama Mikhail ini. Hidangan antarabangsa ini sangat terasa internationalnya kerana pertama wataknya membawa nama Rusia, Mikhail si pembunuh upahan professional. Mikhail mempunyai senarai mangsa yang perlu dibunuh dan dia berjaya melaksanakan tugasnya terhadap Yap dan Sundram di luar Negara. Kini hanya tinggal Dato’ Bakri dan Halim serta keluarganya. Kendatipun, demi melihat wajah Raihana, Mikhail 496 berubah fikiran.
Kali ini aku terpaksa membuat re-branding terhadap judul karya RAM. Biarlah aku namakan Mikhail 496 kerana terdapat beberapa orang Mikhail yang sering membunuh dan saling berbunuhan sesama sendiri. Elemen suspens dan thrill memang sangat kental di dalam karya kali ini apabila pembaca diheret secara halus untuk sama-sama menjejak sejarah latar belakang Mikhail 496.  RAM terus-terusan mencipta plot penyamaran, penipuan, brainwash, gila duit dan pengkhianatan. Jangan terkejut apabila RAM secara langsung menggunakan watak dan situasi beberapa anggota PDRM yang belot dan menjadi boneka Amerika. Tetapi tetap sahaja diimbangi dengan watak polis yang jujur dan cekap iaitu Zetty.
Kekuatan novel kali ini aku sandarkan kepada watak Mikhail 496 atau nama sebenarnya Mahmud Fadhil. Pada suku terakhir novel, barulah RAM bersedia membuka segala rahsia berkenaan Mikhail 496, Mikhail 155 dan Robert.  Dan menggunakan teori badan rahsia yang menguasai dunia seperti yang tertera di duit satu dolar menjadikan hidangan sangat inernasional.
Another good work and worth to read.

May 13, 2013


Sutera Bidadari

 



Apa yang paling menonjol dalam hasilan kelima daripada rangkaian enam buah ceritera epik RAM ini adalah kematangan. Aura ini memang jelas terutama dari segi perkembangan watak Saifuddin Jalis atau Laksamana Sunan. Dan Sutera Bidadari (SB) cuba mengintai dari sudut kerinduan Sunan kepada arwah isterinya, Ratna aka Ratu Sulaman. Dalam masa yang sama, watak misteri Sang Dewi dimunculkan, tetapi digantung sehingga hujung, menjuntai pertanyaan adakah dia sebenarnya Sang Ratu?

Tetapi bukan itu sahaja rasa yang ada dalam SB. RAM masih tegar memerikan pengalaman mistik dan magis sepanjang pengembaraan memburu Taghut aka Raja Roman yang telah dilepaskan oleh Sang Petala ke tempat kelahirannya, wilayah Dacia Romawi. Sunan pastinya ditemani pemain pembantu seperti Maryam, Luna, Sadik, Abdol Rohman (keponakan almarhum Djailuh), Laksamana Awang Bagan, Thariq, Indera dan Yedee yang setia.

Kendati pun, gaya atau style berperi dalam dua zaman iaitu tahun 2010 dan 1511 masih dikekalkan oleh RAM. Biarpun seakan pengulangan tetapi tak pernah membosankan kerana kedua-duanya sarat dengan unsur suspens dan cemas. Jesteru  persoalan siapakah Saifullah pewaris khazanah Maryam di Lisbon pula muncul. Mengapakah dia dikatakan mirip Saifuddin? Dan perjuangannya mempertahankan keris Nanggroe serta catatan Maryam yang akhirnya menjebak Abid Kamal dan Shahril ke sarang Drakul serta Vlad the impaler di Transylvania, Romania.

Pada penutupnya, RAM menyatakan bahawa SB menyingkap banyak persoalan yang ditinggalkan  oleh Cinta Sufi (CS), tetapi bagiku, banyak lagi persoalan yang ditinggalkan untuk dijawab dalam pengakhiran rangkaian kisah sunan, Cinta Musafir. Di situlah kebijaksanaan RAM.

P/s; Oh ya, aku teruja dengan pengembangan watak Hang Tuah dalam SB yang ditonjolkan sebagai pahlawan yang amat mulia merawat Sunan dan mengajarkannya jurus bayangan. Andai sahaja Melayu itu bersatu, dan saling membantu, pastilah ia menjadi bangsa yang maju.

 
Sunan Musafir
Buah tangan terakhir RAM dalam hikayat panjang perjalanan hidup Laksamana Sunan akhirnya berjaya jua aku habiskan. Kata RAM, dia terpaksa menoktahkan jua hikayat ini kerana jiwanya makin resah. Mulanya aku seakan tidak faham, mengapakah kisah yang sangat menarik harus dinoktahkan, namun akhirnya aku mengerti jua. Ibarat kata bijak pandai, berhenti sebelum kenyang itu lebih baik, walau selera sedang berkuasa.
Sunan Musafir (SM) dimulai dengan pace yang sangat perlahan. Saifudin menjalani hidup sebagai seorang imam musola yang jemaahnya tidak seberapa. Dia dikenali sebagai Kiyai Kelana. Andai tidak terbiasa dengan unsur suspens yan dikemudiankan dan sabar dalam tulisan RAM, mungkin saja aku terjerumus dalam situasi bosan kerana thrillnya hanya muncul selepas bab 10.
SM menutup hikayat Laksamana Sunan dengan menyingkap segala teka teki yang ditinggalkan oleh Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencinta, Cinta Sufi dan Sutera Bidadari. Jesteru, permainan pembalikan masa memang sangat sering berlaku di dalam Sunan Musafir. Dan ya, RAM masih sempat memperkenalkan beberapa karekter baru seperti harimau jadian dari Jambi, Origa, Prayuga dan Qishahir si makhluk halus juga Yang Suri serta Penghulu Deris.
Pendekatan penceritaan bak penglipur lara amat menarik apabila Kiyai Kelana membuka setiap kisah bekenaan Laksamana Sunan kepada anakandanya, Andika. Diselitkan jua kisah cinta fitrah Saifudin, Ratna Sang Ratu Sulaman dan perungkaian sumpahan Maharani melalui Gimbaran. Tidak ketinggalan kisah Maryam-Saifullah, Luna-Yedee dan Dani-Saleha serta Haryani. Cuma watak Andika, satu-satunya anak Saifudin tidak dinoktahkan secara jelas. Mungkin penggantungan ini adalah yang terbaik sesuai dengan gelarnya, Sunan Musafir.
Kesimpulannya, hikayat Laksamana Sunan atau Saifudin Jalis atau Lelaki Berduka dari Tanah Rencong atau Lelaki Bertanduk Dua ini membawa mesej yang sangat jelas, iaitu Tauhid kepada Allah adalah sebaik-baik pegangan. Biar apa pun dugaan yang dihadapi, andai iman itu teguh, tiada apa yang dirasakan terlalu berat. Kedua, semakin kuat iman seorang hamba, semakin kuatlah dugaan yang dihadapi, biar dari sudut apa pun. Dan akhirnya, yang namanya manusia itu tidak dapat lari daripada cinta fitrah tetapi cinta hakiki kepada Allah itulah yang terbaik. Tidak menghairankan apabila RAM menyatakan bahawa hikayat ini adalah karyanya yang paling disayangi kerana ianya adalah unik dan paling berharga. Dan aku juga menyayangi hikayat ini selayaknya…