November 12, 2015


Sunan Cinta Nan Sakti



Sequel kepada sebuah prequel adalah sesuatu yang bukan biasa di dalam penulisan Melayu. Dan RAM benar-benar telah berjaya  menyempurnakan hikayat Sunan ini seraya menghidangkan karya yang sangat relevan dengan zaman. Kala marga dahagakan sebuah penulisan yang asli, thrill, dan lokal, RAM masih gagah memegang takhta raja thriller Melayu tanpa sedikit goyah.

Sunan Cinta Nan Suci (SCNS) sememangnya berbaloi untuk dinanti. Setelah lebih setahun sejak kemunculan Sunan Nanggroe Sang Kembara (SNSK), kemunculan SCNS bersama cintanya ibarat siraman hujan di penghujung kemarau. SCNS sememangnya datang membawa cinta. Antara cinta hakikat dan cinta fitrah, kedua-duanya bersifat sakti. Kesaktian cinta inilah yang memacu jalan cerita penuh warna antara Megat-Seroja, Jaka-Jainon dan Saifudin-Engku Aminah. Kendati pun, tidaklah SCNS hanya berputarkisar sekitar cinta, kerana RAM terus gagah membugar segala rahsia rimba Sumatera dengan mengkisahkan riwayat orang kenit Pucuk Kumbu seperti Silabu sang raja, Silaping, Sibanga dan Sirangka.

Hanya sanya saya terus hanyut dalam ‘jebakan’ imaginasi SCNS bilamana Saifudin menerbangkan kita ke Tanah Mati, Bunga Kuburan dan Tangkuban. Kerana pada setiap destinasi ini, pasti bertemu Raja Tambuakar, Hantu Bangkit dan halusinasi. Tak urung juga, jagoan dunia hitam seperti Nyi Burga Klara, Beragas, Gimbaran dan Sang Ratu sendiri yang penuh kesaktian palsu.

Secara keseluruhannya, SCNS adalah sebuah produk paling berjaya oleh RAM dan saya tidak tahu andai akan ada penyambungannya. Namun, andai inilah pengakhiran sebuah hikayat Laksamana Sunan, saya relakannya, kerana saya sangat berpuas hati  dengan Sunan. Selama 8 bab keseluruhannya, Sunan berjaya menghimpun marga, bahkan mencipta kultus pengikut setia, selayaknyalah Sunan menjadi kesayangan RAM sendiri. Saya punya keyakinan Sunan akan terus hidup dalam jiwa dan nubari pencintanya bukan sahaja dek kerana kesaktiannya, bahkan pengajaran agamawinya yang terus menuntun jiwa-jiwa pembaca. Akhir kalam, perasaan ini ibarat seuntai kata dalam halaman 82, “Hujung hati pun terasa patah runcingnya.”

Hikayat Laksamana Sunan

Trilogi Sunan 1

Bagaikan Puteri

Cinta Sang Ratu

Hijab Sang Pencinta

 

Trilogi Sunan 2

Sutera Bidadari

Cinta Sufi

Sunan Musafir

                                                                                                   

Prequel

Sunan Nanggroe Sang Kembara

Sunan Cinta Nan Suci.

October 13, 2015


Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Mengangkat sebuah naskah agung, lebih-lebih lagi karya Hamka memerlukan keberanian yang teguh, kalau bukan tindakan berani mati. Bayangkan sahaja naskah ini pernah diadaptasi ke pentas teater berkali-kali di tanah airnya, namun keberanian inilah yang harus saya puji dan khususkan kepada team produksi Istana Budaya (IB), Generasi Seni Malaysia (GenSem) dan CTRA Production di dalam pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (TKVDW).

Pengharapan dan ekspektasi saya tinggi terhadap produksi ini. TKVDM sendiri membawa nama yang besar dalam persuratan Melayu, apatah lagi dibawa ke Kuala Lumpur dan dipentaskan di IB yang bertaraf internasional. Nampaknya semangat berani mati ini bukan hanya terhenti setakat mementaskan karya, bahkan pemilihan pengarah muda Saudara Azhar Zainal dan pemilihan pelakon-pelakon baru juga melengkapkan aksi ini. Mulanya saya sedikit skeptikal dengan bakat Amar Bahrin mendukung watak utama Zainudin aka Sabir. Zainudin punya karisma besar sebagai pemain utama, anak dagang berdarah campuran (Minangkabau-Bugis) atau beberapa kali dipanggil ‘anak pisang’. Zainudin juga pejuang tegar ilmu agama dan penulis kreatif. Bahkan Zainudin juga pencinta sejati dan pujangga seni. Namun watak hampir sempurna (almost perfect) Zainudin juga disempurnakan dengan ‘kekurangan’ darjat dan harta. Layakkah Amar Bahrin selaku pucuk muda dalam dunia teater negara mendukung watak ‘hampir sempurna’ ini?

Bukan itu sahaja kendala Amar, dia bahkan digandingkan dengan pelakon kelas multi talented, Nabila Huda. Nabila dilihat lebih relaks dan terampil sebagai Hayati. Kelancaran tutur kata serta lontaran suaranya sering kelihatan sesuai dengan babak dan suasana. Bahkan, beberapa bait kata Hayati begitu mudah melekat di ingatan umpamanya, “…kerana hujan bukan sahaja membawa basah, bahkan juga membawa rahmat.”

Kendati, saya melihat kesungguhan Amar di dalam menguasai skrip yang sarat dengan nuansa penulisan klasik, bait dan untaian sastera Hamka yang penuh indah dan tersusun. Lagi-lagi semasa Zainudin sarat merindui Hayati selepas pernikahannya. Babak itu begitu terkesan, apabila Zainudin melihat inai di jari Hayati dan berkata, “Engkau bukan lagi siapa-siapa buatku, bukan tunangan, bahkan engkau isteri orang. Pergilah tinggalkan saya.”

Dan semestinya kekuatan watak Zainudin tidak mampu berdiri sendiri tanpa bantuan watak Muluk yang didukung juga oleh pemain baru, Syahrul Ridzwan. Sungguhpun berperan sebagai sampingan, Muluk adalah side kick Zainudin waktu susah mahupun senang. Muluk diibarat teman sehidup semati Zainudin kerana hanya dia yang memahami hidup matinya jiwa Zainudin. Pujian juga buat Syahrul yang mampu menguasai skrip dan menghayati Muluk tanpa kelihatan berlebih lebihan.

Bagi watak Aziz yang dilakonkan oleh Karl Shafek, masih banyak improvement yang perlu dilakukan. Produksi sebesar ini pastinya menuntut kesempurnaan penguasaan skrip, kerana rata-rata penonton telah mengenali TKVDW lewat pembacaan novel dan prosa kata yang sedikit klasik seolah menghambat kelancaran Karl. Intonasi suara juga masih boleh diperbaiki terutama ketika babak marah yang mana Aziz kedengaran seolah menjerit berbanding ‘teriak’. Pun begitu, Amyra Rosli harus diberi lebih peluang untuk mengembangkan wataknya. Bermain bersama Liza Abdullah, Amyra sebagai Khatijah hanya muncul ‘sekali-sekala’ dan kurang ke tengah.

Berkait dengan penggunaan props dan teknikal, secara keseluruhannya, sang sutradara telah berusaha membangkitkan nuansa desa dan kota dengan agak baik. Dengar-dengarnya produksi telah membelanjakan separuh daripada bajet RM2.4 juta bagi tujuan teknikal. Namun sedikit upset di dalam penggunaan latar yang kelihatan sangat artificial. Saya pernah menyaksikan beberapa pementasan dan saya yakin IB mampu menyediakan technicality yang lebih canggih dan mengagumkan. Sementelah kumpulan produksi menyasarkan golongan muda bagi karya ini, faktor kecanggihan hendaklah diambil kira, kalau bukan dititik beratkan, terutama di dalam babak tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Mungkin sahaja boleh ditumpukan kepada bahagian kapal yang menempatkan Hayati menjadi hancur berantakan dan bukan sekadar ‘berguling-gulingan’ di atas lantai. Bukankah tenggelamnya Kapal Van Der Wijck itu kemuncaknya cerita?

 


 

 

January 26, 2015


Doa

 
Tersebutlah sebuah kisah mengenai dua saudara yang telah kematian bapa. Adapun si abang cenderungnya kepada berniaga. Setiap hari dia berdoa agar Allah memberinya kekayaan dan kesenangan. Saban waktu dia berdoa agar kehidupannya berubah dengan ditambahi wang melimpah ruah dan kehidupan yang senang lenang. Si abang mula berniaga. Dari hari ke sehari perniagaannya semakin maju dan kelihatan Allah memperkenankan doanya. Tidak lama selepas itu, si abang telah mampu membina sebuah mahligai dan berpindah dari teratak pusaka peninggalan ayah.

Adapun si adik nasibnya tidaklah seperti si abang. Dia keras berusaha dan berdoa namun kehidupannya serba sederhana. Sebelum wafat, si ayah telah berpesan kepada si adik sesuatu yang ditulis di atas sekeping kertas. Kertas yang dianggap sebagai wasiat ini digenggam kemas oleh si adik. Dia juga tidak cuai berdoa untuk setiap usahanya namun nasibnya masih tidak berubah.

Suatu hari si abang tergerak hatinya untuk melawat saudaranya. Setibanya di rumah pusaka, apa yang dilihat adalah kedhaifan dan kemiskinan. Lantas dia memulai bicara, “Dik, aku lihat engkau ini seret benar rezekimu. Adakah kurang usahamu atau kurang doamu kepada Tuhan? Seharusnya engkau contohi diriku ini. Aku rajin berusaha dan berdoa kepada Allah. Atas usahaku juga aku berjaya, dik.” Si adik hanya tersenyum. “Abang, aku berbangga dengan kejayaanmu. Namun ridhaku kepada Allah atas ketentuan-Nya adalah lebih utama,” detik hatinya.

Melihat ulah si adik yang hanya tersenyum si abang sedikit kecewa kerana saranannya seperti kurang dimengerti. “Terpulanglah kepadamu, dik. Sebagai abang aku menasihatimu atas pengalamanku. Berdoalah untuk senang dan kaya, kerana doa itu senjatamu,” lirih suara si abang seraya meninggalkannya. Semenjak hari itu, si abang semakin jarang menziarahi saudara satunya ini. Waktu terus bergulir, berputar dengan alam yang seakan tidak pernah tidur. Sehingga suatu hari si abang mendapat perkhabaran mengejut berkenaan kematian si adik.

Hatinya sedikit terkilan kerana tidak sempat menemui adiknya sebelum menghembus nafas terakhir. Sekarang rumah pusaka peninggalan ayah sudah tidak berpenghuni. Cadangnya dia mahu menjualkan sahaja kepada sesiapa. Ketika dia mengemas peninggalan arwah, matanya terlihat sehelai kertas yang sudah kumal. Barulah dia teringat bahawa itulah kertas yang sering digenggam adiknya saban waktu. Kertas itulah juga yang diamanahkan oleh si ayah. Demi dia membaca isinya, air matanya mengalir laju, “Nak, tiada apa yang ayah mampu tinggalkan kepadamu berdua dari harta dunia ini, hanya sebuah pesan buat azimat hidupmu. Sesungguhnya hak bagi seorang hamba ialah berdoa, maka engkau doakanlah saudaramu yang satu. Semoga termakbul segala keperluannya dan dia membawamu keluar dari kemiskinan ini. Janganlah kamu menyusahkannya dengan meminta-minta, kerana aku yakin kasihnya dia sebagai saudara mendaului permintaanmu.” Dan di hujung ayat si ayah, si adik menambah, “Maka aku bersumpah Ya Allah, Engkau kabulkanlah segala doa saudaraku, segala permintaan dan hajatnya kerana Engkaulah yang maha mendengar lagi maha mengasihani. Tiada suatu pun yang aku paling ingin melainkan kebahagiaan dan kesejahteraan saudaraku ini.”

Nah, moralnya, selalunya kita merasa bahawa apa yang Allah kabulkan ini adalah daripada doa kita yang tidak seberapa. Tetapi adakah kita sedar, barangkali sahaja Allah sebenarnya mengabulkan doa insan-insan yang ikhlas di sekeliling kita. Mungkin sahaja itu doa ibu dan bapa kita, atau mungkin pasangan dan adik beradik kita, atau mungkin juga sahabat serta saudara mara kita. Apa kata mulai hari ini kita doakan sekali saudara-saudara kita selain daripada keperluan diri sendiri. Kerana Allah suka doa seorang sahabat yang dilakukan secara sembunyi di belakang pengetahuan sahabatnya itu.

 

Kejutan yang membahagiakan

 
Suatu hari seorang guru tasawuf berjalan dengan anak muridnya yang masih muda. Mereka kelihatan begitu mesra meski tingkah dan adab antara seorang guru dan murid sentiasa terpelihara. Sampai di pertengahan jalan, mereka menemui sepasang sepatu buruk dan peralatan berkebun. Tahulah mereka bahawa barang-barang tersebut adalah kepunyaan sang tukang kebun yang bekerja di madrasah mereka.

Sang murid yang masih muda secara berseloroh berkata, “Guru, apa kata kita sorokkan sebelah daripada sepatu ini. Pastinya nanti si tukang kebun akan terkejut dan lucu sekali ulahnya”. Sambal tergelak kecil, sang murid sudah mula mencapai sebelah daripada sepatu usang itu. Si guru menahan tangan muridnya. “Apa kata kita buat sesuatu yang lebih menarik daripada itu. Kita masukkan wang ke dalam sepatu ini dan kita bersembunyi. Kita lihat apa reaksi si tukang kebun, pasti lebih menarik, nak” saran sang guru. Si murid menurut, pertamanya kerana hormatkan gurunya, yang kedua dia mahu melihat apa hikmah di sebalik sarana sang guru.

Mereka memasukkan beberapa keeping wang kertas yang digulung-gulung ke dalam sebelah sepatu tadi seraya menyembunyikan diri di sebalik rimbunan pohon bambu tidak jauh dari tempat itu. Sekonyong, tibalah si tukang kebun dari usai berehat. Kelihatan wajahnya keruh. Mungkin sahaja dia lelah, atau mungkin sahaja fikirannya diberati masalah lain. Ketika dia menyarungkan kakinya ke dalam sepatu, dia berasakan ada sesuatu di dalamnya. Lantas dibalikkan sepatu itu. Segumpal wang kertas jatuh ke tanah. Dia memerhatikannya dengan penuh kehairanan. “Duit? Tapi…” detik hatinya. Matanya meninjau-ninjau sekeliling, mungkin mencari empunya wang kertas itu. Beberapa detik, si tukang kebun seperti kebingungan. Melihatkan situasi itu, sang murid mahu tampil memberi kenyataan, namun ditegah oleh sang guru.

Pandangan mereka kembali tertancap kepada si tukang kebun. Kelihatan tukang kebun sedang menadah tangan. Apabila diamati, rupanya dia berdoa dengan suara yang sungguh sayu. “Ya Allah, Engkaulah tuhan yang maha mengetahui. Hanya Engkau yang mengerti bagaimana aku begitu memerlukan wang ini, demi mencari ubat buat isteriku yang sakit. Engkaulah jua yang maha tahu bahawa anak-anakku sedang kelaparan. Ketika aku berdoa agar dilepaskan dari ujian ini, Engkau utuskan manusia yang baik hati memberikan wang ini, sedang aku tidak mengetahui identitinya. Ya Allah, hanya Engkaulah yang mampu mengganjari kebaikan hambaMu itu. Aku bersyukur dengan nikmatMu yang tidak disangka-sangka ini”, bersungguh-sungguh munajat si tukang kebun.

Demi menyaksikan peristiwa itu, si murid berasa amat terharu, sehingga tanpa disedari air matanya mengalir di pipi. “Nah, lihatlah bagaimana kamu mampu mengubah sesuatu lelucon kepada suatu yang amat bermakna. Bagi kita ketika kita punya harta, beberapa keping RM mungkin kurang berharga. Tetapi bagi mereka yang amat berhajat, ianya amat bermakna. Apa kata mulai hari ini, engkau selalu membuat surprise yang membahagiakan. Percayalah, memberi itu lebih bermakna daripada menerima,” pesan sang guru.

January 20, 2015

Raudhah
 
Pesan saya kepada pembaca karya Ramlee Awang Murshid, expect the unexpected. Raudhah kali ini lebih bertujuan mendidik di dalam menghibur. Saya tahu pasti ramai di kalangan diehard fan RAM agak terkilan dengan Raudhah. Tapi terpulang, sebagai pembaca, kita juga bebas untuk melihat dari sudut apa rupa Raudhah sebenarnya.
Andai anda mengharapkan jalan cerita yang thrill, RAM menyediakannya di awal pengkisahan. Faris anak yatim piatu dibela oleh Pak Darus yang pembengis dan pendera. Faris lari dari rumah dan akhirnya menjadi anak didik Joni, pembunuh upahan. Karier inilah yang akhirnya diwarisi oleh Faris dengan menggunakan samaran Joker. Joker hanya berurusan dengan White, satu-satunya watak yang paling buat pembaca berteka-teki. Adakah white itu Sandy atau Detektif Bisca?
Maka muncullah watak sampingan seperti Michael Wan, Brendan Cheung, Joseph, Tok Chai, Detektif Azhar dan lain-lain. Kisah kumpulan gangster menjadi latar dalam slot thriller ini. Saya terperasan ada sedikit khilaf dalam fakta apabila Datuk Bandar Shah Alam yang digambarkan korup menawarkan projek pasir di Semenyih secara salah kepada Michael Wan. Eh, Semenyih dalam Daerah Hulu Langat. Shah Alam dalam daerah Petaling. Dan kelulusan pengeluaran pasir adalah daripada Kerajaan Negeri kepada Pentadbir Tanah. i.e Pegawai Daerah, bukan Datuk Bandar atau Yang Dipertua. Apa pun, ianya bukanlah salah, cuma kurang tepat sahaja.
Joker aka Faris mula terfikir untuk kembali ke pangkal jalan dan bertaubat setelah jantungnya terhenti selama tiga minit. Menurut hukum perubatan, Faris telah mati. Tetapi kehidupannya kembali menjadi isyarat bahawa Allah memberinya peluang kedua untuk bertaubat. Faris mula menghubungi Hambali dan menjauhi pekerjaan utamanya, membunuh. White berasa marah dan mengugut untuk membunuh Hambali.
Andai anda mahukan kisah cinta, aura cinta sememangnya mewarnai Raudhah sejak dari mula sampailah ke penghujungnya. Konflik sengaja dicipta apabila Faris secara diam menyintai Junaidatul Al Fatiah, tunangan Hambali. Jun adalah Raudhah. Secara peribadi, saya menyukai bagaimana RAM melakar suasana percintaan Hambali-Junaidatul. Tidaklah terlalu Islamik, tetapi sarat nuansa kemelayuannya. Cuma peribadi Jun yang sedikit ‘terlebih muslimah’ ditonjolkan sebagai graduan Universiti Amman, Jordan. Bagi sebahagian pembaca wanita, pasti mereka akan berasa sedikit ‘poyo’. Apa pun, seperti yang saya nyatakan di atas, terserah kepada rasa masing-masing.
Dan andai anda mahukan pengajaran Islamik, RAM tidak lupa mewarnakan nuansa keislaman dalam hampir keseluruhan cerita dan plot. Raudhah menurut Raudhah bukanlah hanya Junaidatul, bahkan yang lebih utama adalah Raudhah di Masjid Nabi, tempat yang didambakan Faris setelah bertaubat. Saya suka membaca bahagian ini kerana perjalanannya begitu menggamit kenangan ketika berada di tanah Haramain suatu ketika dahulu. Bahkan RAM menyuntik begitu banyak elemen taubat dan penyesalan seorang hamba di atas keterlajuran dan dosa. Pun begitu, RAM masih sempat menyelitkan konflik dan drama apabila Faris dipidana atas tuduhan membunuh Abuyomi.
Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan Raudhah. RAM masih nombor satu dalam penyampaian, susun kata, plot, pembinaan watak dan suspens. Cuma peleraian menggunakan pendekatan dunia koma agak mengejutkan. Dalam dunia penceritaan Melayu, rasanya kita sudah muak dengan pengakhiran, “…rupanya semua ini adalah mimpi.” Kendati, saya masih menyanjung usaha RAM di dalam melakukan research meski Raudhah berupa sebuah fiksyen. Maksud saya sebagai contoh undang-undang hudud yang dilaksanakan di Arab Saudi. Dan pace cerita Raudhah agak meleret di permulaan tetapi laju di pertengahannya, sehinggakan segala rahsia terbongkar tanpa perlu menunggu ke helaian-helaian terakhir. Apa pun, perlu berlapang fikiran di dalam menghadam Raudhah kerana Raudhah bukanlah kecil anak.