January 15, 2014

‘PENUNGU RIMBA’ TOMBIRUO


PENUNGU RIMBA’ TOMBIRUO



Aneh apabila membaca bahagian pertama daripada trilogi Tombiruo ini memandangkan aku telah membaca Tombiruo Terakhir tiga tahun lepas. Pelik juga kerana aku mengambil masa yang lama (bahkan sehingga dua bulan) untuk menyelesaikannya. Bukanlah kerana jalan ceritanya kurang menarik, tetapi kerana separuh hatiku mengatakan ‘aku dah tahu endingnya, buat apa baca openingnya?’. Tetapi RAM bukan sebarang penulis. Mengikuti hasil karyanya, biar dari tajuk yang mana pun, kita pasti terpukau, sekali gus menolak segala prasangka bahawa ‘kita perlu baca ikut urutan tahun novel RAM dikeluarkan’.
Pada ‘Penungu Rimba’ Tombiruo (aku sengaja ringkaskan Tombiruo 1 atau T1), RAM memperkenalkan pendokong-pendokong utama seperti Amirudin, Ejim, Wan Suraya dan keluarga Tuan Berham. Watak-watak inilah yang kemudiannya berkembang dan matang di dalam karya T2 dan T3/TT (Tombiruo Terakhir). Apa yang aku suka dengan gaya penulisan RAM adalah dia berusaha untuk kelihatan adil terhadap semua watak. Bayangkan, mengimbangi watak kembar, Amirudin-Ejim, sahaja memerlukan pendekatan kreatif kerana kembaran ini hidup dalam suasana yang totally different. Seorang di hutan Keningau dan seorang lagi sebagai menantu orang kaya, Tuan Berham.
Dan aku juga suka watak Wan Suraya, seorang wartawan jenayah, yang gigih mencari berita dan menyiasatnya sehingga ke akar umbi. Walaupun ada sedikit kekeliruan apabila Wan Suraya ditukarkan ke seksyen sukan tetapi entah bagaimana dia mampu menulis kembali dalam ruangan jenayah selepas membongkar kes Omar. Mungkin kerana special relationnya dengan Encik Khalid?
Dan RAM tidak ketinggalan menyelitkan unsur drama sebagai sebahagian inti dalam T1 melalui sejarah kelahiran Amirudin-Ejim. Tarawit, anak Poyonggut si penghulu – rogol Tobugi – lahir anak kembar – Nenek Monsiroi, nenek Ondu membidan kelahiran itu. Ejim dihanyutkan di sungai dan dipungut oleh Pondulou manakala Amirudin dijaga oleh Gitom yang kemudiannya menyerahkan Amirudin ke rumah anak yatim.
Sedangkan Omar, watak antagonis berlagak baik dengan konon-konon membantu urusan perniagaan keluarga Tuan Berham sebagai sepupu sehingga bejaya memenangi kepercayaan Bonda. Tetapi dialah syaitan bertopengkan manusia yang sanggup membunuh 3 wanita dan 2 lelaki serta mencolek bahkan mengedar dadah. Akhir hidupnya Omar terpaksa berhadapan dengan Ejim dan tumpas di Hutan Keningau.

Pada T1 ini, aku meletakkan RAM sebagai berusaha untuk membina pengenalan terhadap karekter dan cerita. Pendekatan ini adalah tindakan bijak terutama apabila watak utama Ejim bakal mewarnai keseluruhan trilogi sebagai Tombiruo. Aku suka apabila RAM memilih untuk mengetengahkan watak penunggu hutan yang telah memeluk Islam. Dan Ejim kekal menetap di hutan kerana wajahnya yang bukan berwajah manusia.
Dan satu lagi gaya penulisan RAM yang unik adalah menggantung cerita di helaian-helaian terakhir. Meningalkan pembaca dengan perbagai persoalan dan menjadikan kita tertanya-tanya. Sesungguhnya pancingan ini sangat mengena!

No comments:

Post a Comment

Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.