July 31, 2013

Ramadhan Bertamu


Ramadhan Bertamu

 


Hari itu Ramlee kelihatan amat ceria. Kepada setiap teman sepejabatnya dia memberi salam dengan senyuman yang manis. Mana tidaknya, dia baru sahaja mendapat panggilan daripada ibunya yang menyatakan hasrat ingin bertamu selama sebulan. Dengan hati yang lapang Ramlee menyambut hasrat ibunya yang dikasihi. Lagipun, sudah setahun ibu tidak bertandang ke rumah.
Ramlee memohon untuk pulang awal kepada ketua pejabatnya. Ini tidak lain adalah bagi membuat persiapan menyambut ibu tersayang. Di rumah, Ramlee bersama keluarganya sibuk menyiapkan hidangan istimewa. Bilik tetamu dikemas dan dibersihkan. Bahkan sempat juga dia memasang cadar dan menggantung langsir baru. Febreez disembur agar udara menjadi segar dan wangi. Bukan hanya Ramlee, isteri dan anak-anak juga gembira dengan kehadiran wanita itu.
Saat yang dinanti akhirnya tiba jua. Si ibu sampai di muka pintu seraya memberi salam. Kesemua ahli keluarga menyambut tetamu itu dengan mesra. Si ibu dilayan dengan penuh santun dan hormat. Sejuk hati ibu melihatkan adab mereka sekeluarga. Ibu dilayan dengan hidangan istimewa dan tempat tidur yang selesa. Selain itu mereka anak beranak bagaikan tidak mahu melepaskan peluang untuk menyantuni ibu dengan sepenuh jiwa.
Hari terus berlalu. Keluarga Ramlee tetap meladeni tetamu mereka dengan layanan yang tidak berbelah bagi. Si ibu tidak pernah berasa jemu sepanjang bertamu di rumah ini. Setelah hampir genap sebulan si ibu menyatakan bahawa dia perlu pulang ke rumahnya sendiri. Ramlee sekeluarga berasa sedih. Hiba kerana terpaksa berpisah. Masa dirasakan terlalu pantas berlalu dan serasa masih banyak bakti yang perlu dicurah buat si ibu.
“Nak, ibu sudah mahu pulang. Sudah hampir sebulan ibu bertamu di rumahmu. Engkau telah melayan aku dengan sebaiknya dan ibu tidak akan melupakan kebaikanmu ini. Kepada illahi aku berdoa agar engkau termasuk dalam golongan anak soleh beserta keluargamu semua,” sayu suara ibu.
Nah, inilah perumpamaan bulan Ramadhan. Ia bertandang setelah setahun meninggalkan kita. Bagaimanaka agaknya layanan kita terhadap Ramadhan? Adakah kita mahu meneladani seumpama Ramlee atau kita buat acuh tak acuh dengan tetamu kita ini? Adakah kita akan semakin sibuk di akhir garisan Ramadhan dengan persiapan hari raya dan mengkesampingkan segala tawarannya? Sesungguhnya Ramadhan datang dan pergi, tetapi pastikah ini bukan Ramadhan yang terakhir buat kita?
 

July 29, 2013


Hatiku Di Harajuku

 
Satu kelebihan di dalam penulisan karya fiksyen adalah kebebasan untuk berimaginasi. Di sini, segalanya hampir tiada garis sempadan selagi ianya masih di dalam lingkungan logika akal. Baik jalan cerita, watak, plot mahupun bahasa, segalanya terpulang sahaja di dalam kawalan si penulis. Dan sebagai pembaca, haruslah sesekali melepaskan cengkaman logik demi menikmati keseluruhan hidangan. Misalnya di dalam Hatiku Di Harajuku (HDH), lupakan seketika logika di mana tradisi Jepun yang sangat tegar dan ekslusif terhadap budaya samurai dan yakuza.  Kendati pun, Ryu-Watanabe adalah samurai paling digeruni di tanah Edo sedangkan dia adalah seorang berbangsa Melayu! Kenyataan yang sangat ekstrem dan hampir menongkah logika akal bukan?
HDH membawa pembaca mengenal kisah percintaan Ryu-Watanabe dan Noriko puteri Oyabun Nagamaru, ketua Yakuza Amikie. Ketika itu kumpulan samseng ini disaingi oleh satu lagi kumpulan iaitu Yakuza Jiro. Gandingan Ryu-Noriko yang mahir dengan seni mempertahankan diri kenjutsu merupakan tonggak utama Yakuza Amikie. Yamazaki telah menghadiahkan Tou Aii atau pedang cinta kepada keduanya. Namun cinta yang terjalin akhirnya kandas di tengah jalan.
Kuasa cinta sangat mempengaruhi kehidupan, hatta kelangsungan atau survival Amikie. Dan Jiro mengambil kesempatan ketiadaan Ryu Watanabe yang membawa diri dengan menghapuskan seluruh organisasi Amikie. Yang tinggal kini hanyalah Noriko yang terpaksa membalas dendam cara ninja.
HDH sarat dengan nuansa yakuza dan dendam. Dan pembaca terheret sama menghayati keunikan bumi Edo serta degup nafasnya. Yang lebih menarik adalah bagaimana RAM memadankan watak Ryu/Risham untuk menjadikannya sentiasa logik. Kan permainan logika akal ini hampir tiada bersempadan kerana bisa saja watak seperti Sabrina, Murni, Iskandar, Imam Daud, Kobun dan Saito bersaing sesama sendiri. Keseimbangan ini menjadikan kita terus santai mengikut rentak seorang samurai yang tanpa canggung  menarikan kenjutsu.
Dan sebuah cerita hebat memerlukan pengakhiran yang hebat. Bagaimana Ryu menemui jalan keluar atas segala dilema dan konflik, pembaca perlulah mencarinya sendiri di dalam HDH. Kerana sesungguhnya, ia bukanlah kisah cinta biasa.

July 4, 2013

mandatori


Mandatori



Saya memang meminati RAM. Dan kesempatan mengikuti karya awalannya memberikan suatu pengalaman berharga buat saya menelusuri perkembangan dan kematangan penulisan beliau. Ini kerana Mandatori adalah antara hasilan awal RAM yang langsung menjurus kepada genre thriller. Meski kelihatan sedikit longgar dari segi penguasaan ayat dan transisi, namun lihat sahaja bagaimana beliau mampu berdiri dengan karya seperti Fiksyen 302 dalam masa tidak sampai 10 tahun! Sesungguhnya “practice makes perfect”.
Mandatori mengisahkan kehidupan Amran yang bapanya telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati di bawah Akta Dadah Berbahaya (DDA), sedangkan dia sebenarnya dianiaya. Maka bermulalah mendung hitam yang seakan malas berarak melingkari kehidupan Amran. Dia dibuang sekolah dan mengikut Putih Tua menangkap ikan. Tetapi malang terus memburunya apabila sampan mereka karam dipukul ribut di tengah lautan. Amran terus hilang dan disangka mati.
Sekonyong muncullah watak Carlos yang menunjang dendam Amran terhadap penganiayaan bapanya. Seorang demi seorang individu yang terlibat dengan kes bapanya ditemui mati termasuklah pendakwaraya dan hakim. Kini dia bertindak sebagai judge kepada mahkamahnya sendiri dan tiada hukuman selain hukuman mati mandatori.
Pada masa yang sama Carlos juga mempunyai split personality iaitu Norman, seorang gentleman yang jatuh hati terhadap Juliana Dato Johari. Juliana, Kelvin dan Jane adalah rakan sekolah yang sentiasa membuli Amran semasa kecil. Dan Dato Johari terlibat secara langsung sebagai dalang memerangkap Tassan, bapa Amran. Dia bersekongkol bersama Chandran dan Mr. Lim.
Norman bukan sahaja berlagak sebagai Carlos, tetapi dia juga adalah Bogart, Pahlawan Mundu. Dari situlah dia mendapat kemewahan tanpa perlu bekerja. Dan Mandatori diakhiri dengan plot Amran yang telah amnesia dan hidup sebagai Bilal Piut. Secara keseluruhan, saya dapat merasakan bahawa RAM sememangnya telah sedia sebagai penulis thriller kerana imaginasi beliau yang tinggi, dan penulisan kreatif ini menjelmakan hasil yang seakan tanpa cacat. Saya tahu, hanya pengalaman dan latihan berterusan bisa menjadikan seorang insan berjaya seperi RAM. Salute!