Cinta Sufi
Menelusuri sebuah hikayat pasti menuntut suatu intuisi dan
ketekunanan yang tinggi. Dan selayaknya RAM adalah juara di dalam bidang ini. Bayangkan
sahaja, trilogy epiknya bukan terhenti di Hijab Sang Pencinta bahkan bersambung
kepada tiga buah novel lagi. Mahu kita namakan apa ya bagi kesinambungan
seperti ini? Apa pun, watak Sunan masih menjadi tonggak ketiga-tiga hasilan RAM
ini. Cuma saja, timangannya sudah berubah kepada ’lelaki bertanduk dua’.
Cinta Sufi (CS) menyambung peristiwa kembalinya Sunan
daripada kurun ke 21 dengan kehilangan kudrat dan kegagahan. Pada masa itu juga
Benggali Putih atau Feringgi telah berjaya meroboh Kota Melaka. RAM sempat menjentik
rasa sedarku bahawa akibat penjajahan itu bukanlah hanya terkesan kepada
istana, bahkan golongan marheinlah yang lebih menderita. Ada babak di mana
panglima istana yang ditawan dan diberi layanan buruk sedangkan bukan semua
soldadu Portugis itu sebenarnya pahlawan ampuh. Teringat kata-kata Tok Hamsan, “bila
pokok pisang tumbang, kura-kura pun berani panjat”.
Oh ya, Sunan telah ditawan oleh Feringgi dan dijadikan hamba
sahaya Catalina buat menemaninya ke Hulu Melaka. Di sana, Catalina mahu bertemu
Maryam, seorang wanita berhijab yang ditemui dalam mimpi. Tetapi ancaman bahaya
seakan terus memburu Sunan bukan sahaja daripada Aliosio dan Leandro, bahkan
Taghut yang menyamar sebagai Pengeran Garitno dan Putri Kober Gandring si Pontianak.
RAM mengatakan bahawa babak Sunan kehilangan keperkasaannya
adalah sisi kelemahan Sunan agar watak itu diseimbangkan sebagai manusia yang
punya kelemahan. Dan kerinduan atas kehilangan wanita-wanita kesayangannya juga
adalah soft spot Sunan. Entahlah, bagi aku Sunan tetap manusia hebat walau
dilihat dari sudut manusiawinya. Kerana kehebatan sebenar Sunan adalah
tawakalnya kepada Allah. Apa pun, pengajaran yang baik daripada CS adalah
keikhlasan merupakan perisai terbaik seorang hamba.
Pemilihan latar kurun ke 15 memberikan kelebihan kepada RAM
untuk menampilkan segala cerita sakti dan ajaib. Cuba sahaja latar masanya
diubah ke kurun ini, pasti sahaja watak Pontianak, drakula, roh mati yang dipasung
daulat sultan Melaka dan bangsa Polip manusia bersayap akan kelihatan amat
tidak munasabah. Dan saya sangat suka bagaimana RAM menukilkan suasana Hulu
Melaka dengan mitos dua ekor naga serta lagenda si Puteri Gunung Ledang. Aneh,
tetapi tidak keterlaluan.
Kisah ini digantung dengan
pemergian Hang Tuah membawa Sunan yang tercedera ke dalam tasik Hulu Melaka. Ah,
pancingan ini benar-benar menjeratku untuk membaca kisah selanjutnya dalam
Sutera Bidadari.