March 12, 2013

Pelajaran dari sebatang pensil
 
 
Nenek Non sedang asyik menulis sesuatu di meja study cucunya, Yam. Keasyikan itu menarik perhatian sang cucu lantas menyapa, “Ha…nenek mesti tengah tulis pasal Yam kan?”. “Betullah tu…tapi nenek nak cerita yang lebih penting…pasal pensil ni,” balas si nenek seraya mengangkat pensil di tangannya. “Ada apa dengan pensil, nek?” tanya sang cucu.
“Cu, pada pensil ini terdapat pengajaran yang besar. Nenek dapat simpulkannya menjadi lima perkara yang bakal menjadikan hidupmu tenang sentiasa,” si nenek mula bercerita.
Pertama, pensil itu hanya dapat berfungsi dengan baik apabila ianya dipimpin oleh tangan yang mahir. Dengan kemahiran tangan inilah pensil dapat mencoretkan beribu bahkan berjuta huruf yang bercantum menjadi patah kata dan ayat. Ayat itu kemudiannya bergabung menjadi perenggan dan akhirnya berdiri menjadi ilmu. Demikianlah juga hidup kita, sebagai pensil hendaklah kita menurut patuh dengan ‘tangan’ yang mahir mencorakkan huruf, patah kata dan ayat. Dialah Allah yang maha kuasa.
Kedua, pensil dalam jangka masa tertentu barang pasti perlu diraut. Proses meraut ini kelihatannya menyakit dan menyiksaan. Namun proses ini adalah kemestian demi menajamkan mata pensil buat membolehkannya berfungsi semula. Demikianlah hidup kita, ada kalanya kesedihan, kesakitan dan penderitaan datang melanda. Bukanlah Allah itu mahu membeban dan menyiksa kita, bahkan mahu menjadikan kita terus berfungsi dengan baik. Kan tanpa cubaan kita sukar menjadi dewasa?
Pengajaran ketiga ialah tulisan yang terhasil pastilah kedapatan kesalahan. Dan dalam soal ini, tulisan pensil boleh dipadam oleh getah pemadam dan seumpamanya. Begitulah jua kehidupan manusia, pastilah akan berlaku kesalahan dan dosa. Setiap kekhilafan ini pasti sahaja boleh dihapus dengan kemaafan dan taubat. Sebagai pensil, jangan perasan sempurna, tetap sahaja berlaku keterlanjuran dan dosa, hanya perlu guna pemadam buat membetulkan kesalahan.
Seterusnya, kita lihat apa yang tinggal setelah tulisan pensil dipadam? Pastilah ada kedapatan kesan di atas kertas, bukan? Nah, itulah perlambangan bagi setiap kesalahan pastilah meninggalkan kesan, walau telah terampunkan. Maka berhati-hatilah selalu dalam penulisan kehidupan kerana pasti sahaja kesalahan kita, terutama kepada mereka yang akrab dengan kita, terkesan atas kekhilafan tersebut.
Dan akhirnya, jika diteliti pada fizik pensil itu sendiri, apa yang lebih penting pada pensil? Luarannyakah atau arangnya? Pastilah arangnya. Makanya, arang itu terletak di sebelah dalam dan dilindungi kayu yang keras. Inilah perlambangan paling hebat oleh sebatang pensil. Jiwa yang letak duduknya di dalam manusia, itulah yang lebih penting berbanding jasad luaran kita. Boleh sahaja pensil itu berharga puluhan malah ratusan ringgit tetapi arangnyalah yang paling berharga. Andai pensil berharga ratusan ringit namun tidak punya arang di dalamnya, masih berhargakah ia? Begitulah jua ibaratnya manusia, kalaulah sahaja jiwanya kosong, kumul dan bobrok, apakah nilaiannya berbanding penampilan luaran yang serba keren, gensi dan juga moden?
“Maka dengan itu wahai cucu, sentiasalah kita mencari pengajaran dari apa yang ada di sekeliling kita, hatta sebatang pensil. Kerana kitalah pensil itu, diciptakan dengan sebaiknya dan dituntun oleh sang Pencipta, diuji untuk mematangkan dan sentiasalah kita berbuat kesalahan, namun di sana, tetap sahaja ada kemaafan. Namun akhirnya, jiwa kitalah yang menjadi nilaian-Nya. Ingatlah, Allah menyuruh kita sentiasa peka dengan alam dan kehidupan. Di sana pasti kita sedar kemudiannya bahawa tiada suatu pun yang diciptakan sia-sia,” demikian pesan nenek.
 

March 5, 2013



Aku Bercerita

 

 

Buah tangan terkini Ramlee Awang Murshid mengetengahkan pendekatan baru dalam penulisan novel. Masih kuat memegang konsep triller, RAM bukan sahaja menyajikan sebuah, namun lima buah cereka yang bersifat individual namun saling berkait. Lima buah cereka yang berlainan perisa merupakan satu bonus kepada pembaca, kerana setiap satunya membawa latar zaman dan karakter serta isu yang berbeza. Namun semuanya masih sahaja terkait kuat dengan watak “Aku”.
Aku Bercerita (AB) mengisahkan “Aku” , seorang penulis prolifik yang menghabiskan cutinya di Pulau Pinang buat mencari idea tulisan barunya namun seakan terkena sindrom writer’s block. Aku menghadapi kisah aneh apabila mendapati satu persatu cereka terpapar di dalam skrin komputer ribanya. Gaya penceritaannya seakan-akan gayanya, namun bukanlah miliknya. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, cerita itu disalin ke dalam pen drive dan dipadam. Bukan satu, tetapi lima buah cereka. Sekarang hanya hatinya yang menimbang samada mahu menjadikan kesemua cereka itu karya miliknya atau tidak.
Pembaca pasti sahaja terbuai dengan pelbagai genre yang dihidangkan oleh RAM dalam AB. Bermula dengan Bunian, kisah berlatarkan kehidupan zaman 50-an yang masih tebal dengan kisah bunian dan mistik. Gaya bahasa yang sesuai pasti sahaja menyeret pembaca merasai suasana kampung bernuansa aman dan damai sehingga tercetusnya keributan apabila manusia dan bunian menembusi hijab dunia masing-masing. Saya hampir sahaja percaya bahawa Jailani itu adalah manusia…
Cereka kedua adalah Culik. Kisah ini lebih bersifat thriller moden dengan penculikan Lisa, anak tunggal jutawan, Mizwar. Pace cerita ini adalah inti dan nadi kepada Culik sesuai dengan plot yang jelas dan tidak berbelit-belit. Kalau diamati, ada sedikit persamaan dengan 9 Nyawa.
Seterusnya pembaca dihidangkan dengan Cinta Matiku. Berlatarkan tahun-tahun awal selepas Merdeka, Cinta Matiku membawa pembaca mengimbas cinta antara Tahir dan Rukiah. Tahir, anak seorang pemilik ladang kelapa sawit dituduh membunuh Rukiah, cinta matinya. Ah, terus-terusan aku meneka bahawa Rukiah adalah Rukiah, namun dia adalah Kefira Hebrew atau Kalsom atau Rukiah. Disulami sejarah perjuangan Perdana Menteri Malaysia kedua, Cinta Mati juga menceritakan kelicikan gerakan komunis di Tanah Melayu.
Sang Kancil pula mengambil slot seterusnya dalam AB. Umpama membaca kisah dan tauladan, Sang Kancil mengajar dalam diam, menjentik dalam geram dan menggugah dalam leka. Satu ungkapan paling glamer dalam Sang Kancil adalah, “Dalam dunia manusia banyak terdapat haiwan, tapi dalam dunia haiwan tiada terdapat manusia”. Haha…betul juga kan. Sang Kancil menceritakan mengenai Ahmad, seorang anak yang pendiam dan sering disisihkan, namun mempunyai satu kelebihan iaitu baik hati. Atas kebaikannya menyelamatkan sang kancil daripada jerat, dia akhirnya dibawa ke Pelangi Awangan dan mempelajari pelbagai kemahiran dalam dunia haiwan. Kemahiran Ahmad akhirnya berjaya menggagalkan rompakan di bank tempatnya bekerja dan dihadiahi sebuah kereta Kancil.
AB akhirnya ditutup dengan kisah Cut. Tidak sukar ditebak waktu mula membaca cereka penutup dalam AB ini sebagai sebuah babak lakonan apabila jalan ceritanya sangat dekat dengan cerekarama di dalam tv. Mengisahkan perkahwinan Herman dan Cut Asmidar yang diadakan secara tergesa-gesa buat menutup aib keluarga kaya Ibrahim Fakeh yang banyak berjasa kepada Pak Ayub. Sungguh pun sarat dengan emosi, RAM dilihat bijak dengan menggunakan pace penceritaan yang laju dan penggunaan bahasa yang tidak meleret.
Akhir kepada sebuah pengakhiran adalah, siapakah Aku dalan AB apabila pemilik sebenar kelima-lima cereka muncul menuntut haknya.
Secara peribadi, saya merasakan bahawa RAM sememangnya seorang penulis dan penghibur. Beliau membawa gaya penceritaan baharu dalam penulisan. AB bukanlah sebuah antologi walau hampir sama sifatnya. Ini kerana watak “Aku” akhirnya terungkai jua. Dan saya berasakan bahawa AB ini adalah hadiah RAM kepada peminat tegarnya kerana  dia menghadiahi 5 cerita dalam sebuah novel. Hebat bukan?