February 23, 2012

Kisah beliung dan Teh
Adapun dikisahkan pada sutu masa dahulu terdapat seorang penebang pokok yang terkenal. Dia bersama kapaknya pasti dapat membereskan segala kerja menebang pokok dalam masa yang singkat. Maka banyaklah undangan menebang pokok yang diterimanya menjadikan perkhidmatannya menjadi sangat masyhur di serata tempat. Sehinggalah pada suatu hari sang penebang dipanggil menebang sebatang pokok yang besar.
Sebagaimana biasa, sang penebang memulakan pekerjaannya di awal pagi. Ditakik sekeliling pokok dan dia pun memulakan hayunan beliungnya dengan keras. Beberapa ketika, pokok tersebut masih belum juga tumbang. Hatinya menjadi runsing memikirkan pokok tersebut masih juga tegak gagah, sedangkan hari semakin tinggi dan tenaganya telah banyak diperas. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk berhenti buat hari tersebut.
Keesokan harinya, sang penebang pokok menyambung kerjanya yang terbengkalai semalam. Setelah beberapa ketika, pokok tersebut masih juga berdiri gagah tidak mahu tumbang. Sang penebang semakin bingung dan hampir berputus asa. Tidak pernah berlaku di dalam sejarah khidmatnya dia tidak dapat menumbangkan pokok yang ditebangnya. Akhirnya dia berhenti dan pulang ke rumah. Di dalam hatinya dia berkata;"Agaknya setakat ini sahaja Allah menghendaki aku menjadi penebang pokok. Mungkin aku perlu mencari punca rezeki yang lain pula."
Di pertengahan jalan, sang penebang pokok disapa oleh seorang lelaki tua, "Wahai anakku, mengapakah kamu aku lihat berduka nestapa? Apakah yang telah berlaku?". "Wahai rangtua, dahulu aku adalah seorang penebang pokok terkemuka. Akan tetapi mulai kelmarin, Allah tidak lagi menghendaki aku meneruskan pekerjaan itu, pokok yang cuba tumbangkan tetap berdiri kukuh biar aku telah menggunakan segala tenaga dan kemahiranku," jawab sang penebang pokok. "Bawalah kemari beliungmu itu, anakku," pinta si tua. "Nak, lihatlah beliungmu ini, tidak lagi tajam berkilat. Dahulunya beliung ini sangat tajam, segala kayu dapat ditumbang dan dibelahnya. Tetapi aku pasti kamu terlupa mengasahnya sehingga ia menjadi tumpul dan tidak mampan menjalankan perannya," si tua menyatakan penelitiannya. Sang penebang pokok terpana, bagaikan baru pertama kali dia mendengar nasihat sebaik itu...dari seorang pak tua...
Moralnya, kadang-kadang kita perasan sendiri bahawa kita sudah sangat mahir dengan pekerjaan kita. Sehinggakan jika disaran ketua untuk menambah ilmu dan kemahiran pun kita ingkar. Sedarkah kita bahawa bakat dan kemahiran perlu diasah suapaya terus bersinar dengan gemilang. Ibarat kapak yang tajam jika digunakan setiap hari pun perlulah terus diasah. Jika kapak yang mulanya tajam tetapi terus digunakan setiap hari dan lupa untuk diasah, pastilah suatu hari nanti luntur fungsinya.
Anekdot ini bolehlah juga diibaratkan seperti meminum seteko teh. Pada mulanya teh dituang, pastilah teh yang enak, cantik dan sedap yang kita dapat, kita tuang dan terus menuang sehingga kita terlupa untuk mengisinya semula. Pada waktu teko hampir kosong, apa yang kita dapat adalah serdak dan hampas teh yang pastinya tidak sedap dan tidak boleh diminum pun. Oleh itu, sentiasalah menambah kemahiran, tidak kiralah sebagai pekerja, suami, isteri, ibu, bapa, bos apatah lagi hamba-Nya.

2 comments:

  1. Salam en. Razak, lama tul x dgr en. punya tazkirah.... bila ada peluang mcm ni baca blog en. byk gak info yg perlu di pk2 kan.TQ 4 sharing is caring...hehehehe

    ReplyDelete
  2. Ha'ah kan? terima kasihlah singgah, kim salam ngan geng plb sabak ye...

    ReplyDelete

Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.