April 26, 2011


Misunderstanding...ke misunderstood?

Alkisah sebuah kisah berlaku tatkala seorang bapa yang hampir menghadap tuhannya telah berpesan kepada dua orang anak kesayangannya berkaitan business. Maka berkatalah sang ayah, "Wahai anakku, dengarlah pesanku ini. Sesungguhnya aku telah menghabiskan seluruh usia hidupku dengan mengendalikan perniagaan. Dan bersaksikan kamu sendiri bahawa perniagaanku itu telah berjaya dengan berkat ridha Allah serta usaha kerasku."

"Kamu berdua juga, wahai anakku, telah menurut jejak langkahku dengan memiliki perniagaan sendiri. Sekarang ini dengarkanlah wasiat dan nasihatku. Moga sahaja Allah mengizinkannya sebelum putus nafasku ini," sambung sang ayah. Si anak berdua menunggu penuh taat, di sisi katil sang ayah. "Andai kamu mahu berjaya anakku, pertama, janganlah kamu menagih-nagih hutang daripada manusia dan yang kedua, janganlah kamu terkena sinar mentari tiap kali kamu hendak membuka dan menutup perniagaanmu," tenang suara sang bapa, setenang wajahnya di pembaringan. Maka pergilah sang ayah selama-lamanya, meninggalkan pesan buat azimat anakanda berdua.

Adapun setelah beberapa lama, perniagaan si abang semakin berkembang maju. Apa sahaja yang diniagakan, mendapat perhatian dan sokongan pelanggan. Perniagaannya semakin dikenali ramai dan sering mendapat pujian. Berlainan pula nasib si adik. Kelihatannya semakin hari perniagaannya semakin malap. Banyak juga keluhan pelanggan yang kedengaran.

Maka sang ibu datang menemui si adik, bertanyakan perihal keadaan perniagaannya. "Wahai anakku, apa terjadi dengan perniagaanmu. Dahulunya ibu lihat ianya berkembang maju, tetapi sekarang, suram dan hilang sambutan?" soal ibu penuh prihatin. "Terima kasih atas perhatianmu ibu, sesungguhnya aku juga tidak tahu. Hanya pesan ayah yang kuturut dan kutiru. Tetapi entah di mana silapku, sampai perniagaanku jadi begitu,"sahut si bongsu. Sambungnya lagi, "Ayah berpesan agar jangan menagih hutang dari penghutang. Maka kuturut dan aku lepaskan yang berhutang, tanpa kutuntut walau sekupang. Tapi ibu, modalku susut hingga ke pinggang, sampaikan sesak dadaku membilang." "Ayahanda juga turut berpesan, jangan tersentuh mukamu sinar mentari tiap hari kau membuka perniagaan. Maka kuturut tanpa soal. Setiap hari aku mengupah beca buat ke perusahaan, walau mampu aku berjalan. Apakah salah dan khilafku wahai ibu, sekadar menunaikan wasiat dan pesan?" Si ibu termenung dan berjanji untuk bertanyakan pendapat si abang.

"Wahai anak, tahniah dan syukur ibu ucapkan. Atas kejayaanmu membesarkan perniagaan. Kulihat sekarang kau semakin maju dan berjaya atas apa yang kau usahakan, hingga namamu menjadi sebutan. Bolehkan kejayaanmu engkau kisahkan, moga sahaja menjadi panduan dan juga tauladan, kepada orang terbanyak, rakan dan taulan," sang ibu memulakan perbualan. "Selamat ke atasmu wahai ibuku. Sesungguhnya puji dan syukur hanya milik Yang Satu. Kerana segalanya dikurniakan kepadaku, kekayaan dan kejayaan mengiringi usahaku. Adapun pesan ayahanda sentiasa menjadi peganganku, wasiat dan usahanya aku tiru, tak pernah sekali aku melulu apatah lagi hendak menipu."

"Adakah kamu berkata akan nasihat yang dua itu wahai anakku?" soal sang ibu. "Benar ibu, nasihat yang itu..."jawab si abang. "Ayahanda berpesan, jangan kamu menagih-nagih kepada yang berhutang padamu. Maka aku membuat keputusan untuk tidak memberi hutang, wahai ibu. Segala urusan kujalankan dengan tunai tanpa menipu, maka terlepaslah aku dari masalah modal yang membelenggu. Kerana sahaja wahai ibu, hutang itu sentiasa memburu, bagi yang menerima dan juga yang berniat membantu. Malamnya resah siangnya malu. Maka aku berkeputusan begitu..."

"Adapun pesan ayahanda yang kedua. Aku membuka perniagaanku sebelum cahaya dan menutupnya setelah hilang cahaya. Maka panjanglah masa aku bekerja. Para pelanggan berasa suka kerana mudah mendapatkan keperluan mereka. Dapat juga kutangani persaingan niaga, kerana siapa sangka lagi menduga, kecemasan dan kesulitan sentiasa membelit manusia, kita peniaga harus pandai merebut peluang yang terbuka," panjang jawapan anak sulungnya.

Demikianlah wahai pembaca. Tiap dari kita berlainan fahamannya. Walau mendengar satu nasihat yang sama. Sekarang terpulang kepada semua, baca sekadar buang masa atau ambil iktibarnya...

2 comments:

  1. moralnya ust ajak, apabila terdengar satu perkara, bertanyalah pada ahlinya. jika bertanya pada bukan ahlinya maka linkuplah perniagaan kita.. ke guane?

    ReplyDelete
  2. betul tu ustaz...tu yang kene banyak bertanya ustaz tu...tapi dulu2 time kuliah ada yg berkata time kita nak bertanya, "sesungguhnya hancurnya umat terdahulu kerana banyak bertanya..." terus xjadi tanya...ke guane?

    ReplyDelete

Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.