August 18, 2010


Andai ini aidilfitri terakhir...

"Tak apalah mak, kalau mak tak mahu bantu Din, Din pun tak kisah. Din tahu siapa Din di mata mak. Lainlah kalau macam, along, angah dan adik. Kalau diorang tu susah sikit, mak cepat2 bantu, cepat2 tolong. Kalau mak tak ada duit pun, mak akan carikan, pinjam daripada orang. Tapi Din nak mintak tolong sikit pun, mak buat tak reti je," ada nada merajuk dalam kata2 Din kepada ibunya. Duit yang dia minta bukanlah banyak, dan bukanlah selalu dia minta tolong daripada ibunya.

Ibu Din diam sahaja. Sudah puas diterang dan dipujuk Din. Tapi anak lelaki tunggalnya ini memang lain sikit. "Din, bukan mak tak mahu tolong kau, nak. Tapi mak tengah 'sesak' ni. Bulan ni aje, mak dah pinjamkan duit pada along dan angah. Kesian Din, keluarga kakak2 kau tu bukanlah senang sangat. Mak janji, hujung bulan depan, dapat duit kelapa sawit, mak beri pada kau," itu aje ayat yang mampu si ibu ucap. "Sudahlah mak. Mak simpan ajelah duit tu. Din mintak maaf sebab menyusahkan mak. Mak simpanlah buat bantu anak2 mak yang lain. Din ni bukan anak mak agaknya," sahut Din sambil melangkah keluar. "Din...," suara mak antara kedengaran dan tidak.

Din ambil keputusan drastik. Dia bawa keluarganya berpindah. Jauh dari kampung, daerah dan negeri kelahirannya. Tempat tumpah darah dan kasihnya pada ibu. Ah, kalau masih ada pengiktirafan ibu pada Din sebagai anaknya.

Din mulakan hidup baru di perantauan, di tempat orang. Kekecewaannya membuatkan Din menjadi seorang yang cekal. Din malas nak fikirkan tentang perasaan dan emosi. Baginya dia kena berusaha sendiri untuk mendapatkan apa yang dihajati. Daripada menyewa, kini Din sudah mampu membeli rumah sendiri, kenderaan sendiri.

Din mempunyai seorang jiran yang baik hati. Man namanya. Man sangat rapat dengan Din, maklumlah, sama tempat kerja. Mungkin disebabkan Din jauh daripada keluarganya, Man dianggap sebagai abang oleh Din sekeluarga. Keakraban dua jiran ini kadang2 melampaui keakraban dua beradik. Iyelah, kalau malam ni keluarga Din makan di rumah Man, malam esoknya keluarga Man pula makan di rumah Din. Hampir tiada rahsia antara mereka. Tetapi setelah empat tahun, Man terhidu juga keanehan dalam keluarga Din. Din tak pernah balik ke kampungnya. Jangankan ketika cuti panjang dan cuti sekolah, hari raya pun Din tak balik. Selalunya Din cuma balik ke rumah mertuanya.

"Din, aku dah anggap kau macam adik aku sendiri. Tapi aku berasa hairan kerana kau tidak pernah menceritakan perihal ibu dan bapamu kepadaku," soal Man suatu hari ketika minum petang. "Bang, kalau boleh aku tak mahu bercerita mengenai mereka," pendek sahaja jawapan Din. Air mukanya berubah mendung. Man tidak meneruskan niat hatinya.

Melalui isterinya, Man minta ditanyakan kepada isteri Din. Akhirnya tahulah dia bahawa Din telah berselisih faham dengan orang tuanya sehingga merajuk membawa diri. Lebih parah apabila Din seolah2 telah memutuskan semua hubungan dengan ibu bapanya. Din tak pernah balik menjenguk mereka, kirim khabar pun tak pernah. Luka di hatinya sangat dalam, sehingga menghapuskan rasa kasih, sayang dan rindunya kepada mak. "Biarlah bang. Selama ini pun saya dapat hidup tanpa mereka. Saya tidak menyusahkan mereka dengan meminta2 pertolongan wang dan harta benda. Mak juga tak pening dengan tingkahlaku menantu dan cucu2nya. Cukuplah mak saya ada kakak dan adik saya. Saya kira tanpa saya mak lebih gembira, mak tentu suka," jawapan Din pada petang yang lain.

"Din, dalam hidup ni, orang yang paling penting adalah ibu bapa kita. Jika tidak, masakan junjungan besar sendiri meletakkan ketaatan kepada mereka selepas ketaatan kepada Allah. Jangan Din, jangan sampai kau kira dengan tidak meminta pertolongan mereka kau sudah berjaya. Jangan sampai kau silap dengan menyangka segalanya sempurna tanpa mereka. Biar apa pun kesalahan mereka, pulanglah menemui mereka. Sebagai anak, kitalah yang seharusnya memohon maaf. Kitalah yang patut beralah, biarpun ada kesalahan mereka. Ingat Din, segalanya tidak berkat tanpa restu ibu," selayaknya itu nasihat sebagai seorang abang. Din tunduk. Ada beberapa titis air mata gugur di atas pehanya. "Saya tahu bang. Setiap hari hati ini meronta untuk menemui mak, menatap matanya. Saya tahu saya tidak sepatutnya mengikut keras hati saya. Saya tahu mak sayang semua anak2nya sama sahaja. Kakak2 dan adik saya semuanya perempuan, sememangnya mereka perlu lebih bantuan mak. Tapi...Sudahlah bang, saya ikut kata abang. Saya akan balik aidilfitri ini," Din angkat mukanya. Cepat2 dia kesat air matanya dengan penuh azam.

"Tidak Din, bukan aidilfitri. Tapi sebelum Ramadhan. Apa kau pasti kau sempat menemui mereka nanti. Telah empat tahun kau tinggalkan mereka tanpa pesan dan berita. Aku cadangkan minggu ini juga," tegas Man. "Tapi bang, aku malu...aku tak bersedia...aku tak tahu bagaimana harus aku menemui mereka, terutama mak...aku...," jawab Din tergagap2. "Sudahlah, nanti aku dengan kakak kau apply cuti. Biar kami menemankan kau. Janganlah kau risau, aku yakin kasih seorang ibu mengatasi kemarahannya. Balik ye Din," pujukan Man memang tidak dapat ditolak lagi oleh Din.

Hujung minggu Din dan Man sekeluarga berangkat. Di dalam kereta, Din banyak termenung. Berbagai2 peristiwa melintas di fikirannya, singgah di hatinya dan terbang bersama angin di lebuh raya. Man biarkan Din melayan perasaannya. Sampai sahaja di halaman rumah, kelihatan seorang lelaki tua berbaju singlet berkain pelekat sedang duduk di tangga batu. Di anak tangga bawahnya seorang wanita yang kelihatan agak uzur berwajah sugul. Kelihatannya mereka sedang menunggu sesuatu, atau mungkin juga seseorang. Man berhentikan kereta. Mereka kaget sebentar. Din buka pintu perlahan.

"Din!!! Anak mak. Kau balik nak. Akhirnya kau balik," si tua berteriak. "Ayahnya, Din balik," digoyang2kan lutut ayah Din. "Din," itu sahaja kalimah yang keluar dari mulut sang ayah. Din menerpa ibunya. Dia peluk ibunya seolah2 tidak mahu melepaskannya lagi. Air matanya terhambur tanpa bendungan. "Mak, maafkan Din mak. Din bersalah. Din terlalu ikut kata hati. Din derhaka pada mak," ayah Din menepuk2 belakang Din perlahan. "Ayahnya, doa saya akhirnya termakbul. Allah perkenankan doa saya setelah empat tahun. Saya berdoa agar anak saya pulang sebelum Ramadhan...," diciumnya pipi anak lelakinya itu. "Dan tidak sia2 doa dan penantianmu wahai isteriku, kerana Allah memberikan kita cucu2 yang comel juga," sahut ayah Din sambil mempersilakan semua yang hadir naik ke rumah.

"Dan hari raya ini adalah hari raya yang amat bermakna buat saya. Kerana saya dapat membantu dua insan yang berpisah bertemu semula, dua hati yang terluka terubat kembali dan dua rindu yang tersimpul terlerai kini. Kan itu nikmatnya aildilfitri?" Man mengakhiri ceritanya.

6 comments:

  1. encik razak ni kalau tak buat cerita yang buat air mata mengalir ...tak boleh ker. huhuhuhuhu. Naseb baik tak batal posa. . :p


    From siti the silent reader

    ReplyDelete
  2. best ajak.. nasib baik nama ambe piee bukan din..

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  6. ahya: takpe, biar menangis hari ni, jgn menangis esk2. Hargailah org tua kita sementara sempat...

    ust piee: huish, ustaz pie kan model anak soleh, serasa nak nukilkan kisah kejayaan ustaz pie lah satu hari nanti...

    ReplyDelete

Alah, aku tau korg sumer x sabor nak komen kan? silakanlah, kalau tak korg akan menyesal.