August 18, 2010


Andai ini aidilfitri terakhir...

"Tak apalah mak, kalau mak tak mahu bantu Din, Din pun tak kisah. Din tahu siapa Din di mata mak. Lainlah kalau macam, along, angah dan adik. Kalau diorang tu susah sikit, mak cepat2 bantu, cepat2 tolong. Kalau mak tak ada duit pun, mak akan carikan, pinjam daripada orang. Tapi Din nak mintak tolong sikit pun, mak buat tak reti je," ada nada merajuk dalam kata2 Din kepada ibunya. Duit yang dia minta bukanlah banyak, dan bukanlah selalu dia minta tolong daripada ibunya.

Ibu Din diam sahaja. Sudah puas diterang dan dipujuk Din. Tapi anak lelaki tunggalnya ini memang lain sikit. "Din, bukan mak tak mahu tolong kau, nak. Tapi mak tengah 'sesak' ni. Bulan ni aje, mak dah pinjamkan duit pada along dan angah. Kesian Din, keluarga kakak2 kau tu bukanlah senang sangat. Mak janji, hujung bulan depan, dapat duit kelapa sawit, mak beri pada kau," itu aje ayat yang mampu si ibu ucap. "Sudahlah mak. Mak simpan ajelah duit tu. Din mintak maaf sebab menyusahkan mak. Mak simpanlah buat bantu anak2 mak yang lain. Din ni bukan anak mak agaknya," sahut Din sambil melangkah keluar. "Din...," suara mak antara kedengaran dan tidak.

Din ambil keputusan drastik. Dia bawa keluarganya berpindah. Jauh dari kampung, daerah dan negeri kelahirannya. Tempat tumpah darah dan kasihnya pada ibu. Ah, kalau masih ada pengiktirafan ibu pada Din sebagai anaknya.

Din mulakan hidup baru di perantauan, di tempat orang. Kekecewaannya membuatkan Din menjadi seorang yang cekal. Din malas nak fikirkan tentang perasaan dan emosi. Baginya dia kena berusaha sendiri untuk mendapatkan apa yang dihajati. Daripada menyewa, kini Din sudah mampu membeli rumah sendiri, kenderaan sendiri.

Din mempunyai seorang jiran yang baik hati. Man namanya. Man sangat rapat dengan Din, maklumlah, sama tempat kerja. Mungkin disebabkan Din jauh daripada keluarganya, Man dianggap sebagai abang oleh Din sekeluarga. Keakraban dua jiran ini kadang2 melampaui keakraban dua beradik. Iyelah, kalau malam ni keluarga Din makan di rumah Man, malam esoknya keluarga Man pula makan di rumah Din. Hampir tiada rahsia antara mereka. Tetapi setelah empat tahun, Man terhidu juga keanehan dalam keluarga Din. Din tak pernah balik ke kampungnya. Jangankan ketika cuti panjang dan cuti sekolah, hari raya pun Din tak balik. Selalunya Din cuma balik ke rumah mertuanya.

"Din, aku dah anggap kau macam adik aku sendiri. Tapi aku berasa hairan kerana kau tidak pernah menceritakan perihal ibu dan bapamu kepadaku," soal Man suatu hari ketika minum petang. "Bang, kalau boleh aku tak mahu bercerita mengenai mereka," pendek sahaja jawapan Din. Air mukanya berubah mendung. Man tidak meneruskan niat hatinya.

Melalui isterinya, Man minta ditanyakan kepada isteri Din. Akhirnya tahulah dia bahawa Din telah berselisih faham dengan orang tuanya sehingga merajuk membawa diri. Lebih parah apabila Din seolah2 telah memutuskan semua hubungan dengan ibu bapanya. Din tak pernah balik menjenguk mereka, kirim khabar pun tak pernah. Luka di hatinya sangat dalam, sehingga menghapuskan rasa kasih, sayang dan rindunya kepada mak. "Biarlah bang. Selama ini pun saya dapat hidup tanpa mereka. Saya tidak menyusahkan mereka dengan meminta2 pertolongan wang dan harta benda. Mak juga tak pening dengan tingkahlaku menantu dan cucu2nya. Cukuplah mak saya ada kakak dan adik saya. Saya kira tanpa saya mak lebih gembira, mak tentu suka," jawapan Din pada petang yang lain.

"Din, dalam hidup ni, orang yang paling penting adalah ibu bapa kita. Jika tidak, masakan junjungan besar sendiri meletakkan ketaatan kepada mereka selepas ketaatan kepada Allah. Jangan Din, jangan sampai kau kira dengan tidak meminta pertolongan mereka kau sudah berjaya. Jangan sampai kau silap dengan menyangka segalanya sempurna tanpa mereka. Biar apa pun kesalahan mereka, pulanglah menemui mereka. Sebagai anak, kitalah yang seharusnya memohon maaf. Kitalah yang patut beralah, biarpun ada kesalahan mereka. Ingat Din, segalanya tidak berkat tanpa restu ibu," selayaknya itu nasihat sebagai seorang abang. Din tunduk. Ada beberapa titis air mata gugur di atas pehanya. "Saya tahu bang. Setiap hari hati ini meronta untuk menemui mak, menatap matanya. Saya tahu saya tidak sepatutnya mengikut keras hati saya. Saya tahu mak sayang semua anak2nya sama sahaja. Kakak2 dan adik saya semuanya perempuan, sememangnya mereka perlu lebih bantuan mak. Tapi...Sudahlah bang, saya ikut kata abang. Saya akan balik aidilfitri ini," Din angkat mukanya. Cepat2 dia kesat air matanya dengan penuh azam.

"Tidak Din, bukan aidilfitri. Tapi sebelum Ramadhan. Apa kau pasti kau sempat menemui mereka nanti. Telah empat tahun kau tinggalkan mereka tanpa pesan dan berita. Aku cadangkan minggu ini juga," tegas Man. "Tapi bang, aku malu...aku tak bersedia...aku tak tahu bagaimana harus aku menemui mereka, terutama mak...aku...," jawab Din tergagap2. "Sudahlah, nanti aku dengan kakak kau apply cuti. Biar kami menemankan kau. Janganlah kau risau, aku yakin kasih seorang ibu mengatasi kemarahannya. Balik ye Din," pujukan Man memang tidak dapat ditolak lagi oleh Din.

Hujung minggu Din dan Man sekeluarga berangkat. Di dalam kereta, Din banyak termenung. Berbagai2 peristiwa melintas di fikirannya, singgah di hatinya dan terbang bersama angin di lebuh raya. Man biarkan Din melayan perasaannya. Sampai sahaja di halaman rumah, kelihatan seorang lelaki tua berbaju singlet berkain pelekat sedang duduk di tangga batu. Di anak tangga bawahnya seorang wanita yang kelihatan agak uzur berwajah sugul. Kelihatannya mereka sedang menunggu sesuatu, atau mungkin juga seseorang. Man berhentikan kereta. Mereka kaget sebentar. Din buka pintu perlahan.

"Din!!! Anak mak. Kau balik nak. Akhirnya kau balik," si tua berteriak. "Ayahnya, Din balik," digoyang2kan lutut ayah Din. "Din," itu sahaja kalimah yang keluar dari mulut sang ayah. Din menerpa ibunya. Dia peluk ibunya seolah2 tidak mahu melepaskannya lagi. Air matanya terhambur tanpa bendungan. "Mak, maafkan Din mak. Din bersalah. Din terlalu ikut kata hati. Din derhaka pada mak," ayah Din menepuk2 belakang Din perlahan. "Ayahnya, doa saya akhirnya termakbul. Allah perkenankan doa saya setelah empat tahun. Saya berdoa agar anak saya pulang sebelum Ramadhan...," diciumnya pipi anak lelakinya itu. "Dan tidak sia2 doa dan penantianmu wahai isteriku, kerana Allah memberikan kita cucu2 yang comel juga," sahut ayah Din sambil mempersilakan semua yang hadir naik ke rumah.

"Dan hari raya ini adalah hari raya yang amat bermakna buat saya. Kerana saya dapat membantu dua insan yang berpisah bertemu semula, dua hati yang terluka terubat kembali dan dua rindu yang tersimpul terlerai kini. Kan itu nikmatnya aildilfitri?" Man mengakhiri ceritanya.

August 12, 2010


Yang Mana Satu...


Kisah ini adalah di antara seorang ayah bersama empat orang anaknya. Suatu hari sewaktu sang ayah baru pulang dari kerja, dia meminta anak sulungnya untuk mengambilkannya segelas air. Si along yang sedang asyik menonton tv lantas bangun menuju ke dapur. Seketika kemudian, along kembali bersama segelas air dan menyuakannya kepada sang ayah. "Ayah, di rumah ini masih ada ramai manusia lain, kenapa ayah tetap menyuruh along?" Terkejut sang ayah dengan jawapan si along.


Pada hari yang lain pula, sang ayah telah meminta diambilkan air kepada anaknya yang kedua, si angah. Angah tetap melaksanakan perintah ayahnya dengan mengambil air minuman. Sekembalinya angah ke ruang tamu, dia berkata kepada si ayah,"Ini airnya ayah, tetapi ayah kena bayar angah RM1.00 untuk perkhidmatan angah. Sang ayah terus terdiam.


Pada waktu yang lain pula, sang ayah meminta diambilkan minuman kepada anaknya yang ketiga, si uda. Uda bingkas ke dapur dan diambilkannya air seperti permintaan sang ayah. Gelas diletak di sisi ayah dan Uda terus beredar. Oh, rupanya Uda takut kepada ayah.


Dan seterusnya sang ayah meminta diambilkan air kepada anaknya yang bongsu, Adik. Adik bingkas ke dapur membancuh air minuman. Sempat juga Adik membawakan kuih yang dibuat ibu. Setelah mempersilakan ayah makan dan minum dengan sopan, adik berkata;"Ayah pasti penat bekerja. Kasihan Adik melihatkan ayah bekerja bertungkus lumus untuk menyara kami sekeluarga. Mari Adik urut bahu ayah." Sang ayah tersenyum.


Tak lama selepas itu, sang ayah mahu bekerja di luar kawasan. Sebelum ayah berangkat, semua anak-anaknya menemui ayah. "Along nak beg tangan," kata Along. "Angah nak jam berjenama," pesan Angah. "Uda nak baju cantik," order Uda. "Adik?" sang ayah pula bertanya. "Adik cuma mahu ayah berhati-hati dan jangan lupakan kami di sini. Adik mohon kepada Allah semoga Ayah sentiasa selamat dan sejahtera dan kembali ke pangkuan kami," cuma itu pinta Adik.


Nah, cuba baca apa jawapan sang ayah. "Along, bila ayah minta air daripada along, along sering merungut. Along buat, tapi sebab ayah yang arah, Along terpaksa. Angah pula, Angah ambilkan sebab angah bertanyakan apakah ganjaran yang bakal ayah beri. Uda, Uda laksanakan perintah ayah sebab Uda takut Ayah marah. Tapi Adik, Adik laksanakan perintah ayah sbb adik cinta ayah. Sebab itu Adik buat lebih daripada apa yang ayah pinta.


Begitulah kita sebagai manusia di dalam menjalankan perintah Allah. Ada di antara kita menjalankan perintahNya dengan sangkaan, "Dah itu perintah Allah, kenalah kita laksanakan. Semua manusia kena laksanakan." Sebab itu hasil perbuatan kita sambil lewa sahaja. Ada juga di antara kita yang melaksanakan perintah Allah sebab kita tengok apa ganjarannya. Sampaikan ada yang memilih-milih dalam menjalankan perintah. Ada juga di kalangan kita yang menjalankan perintah sebab kita takut kepada kemarahan dan kemurkaan Allah. Kita takut kalau kita tidak solat atau puasa, kita akan dicampak ke dalam neraka. Sedangkan setinggi-tinggi martabat adalah apabila kita melaksanakan perintah kerana kecintaan kita kepada Allah.


Lihat sahaja kecintaan Rasulullah kepada Allah, baginda sanggup mendirikan solat sunat sehingga bengkak dan menggeletar kakinya. Demikianlah hebatnya cinta kerana cinta membuatkan kita melakukan lebih dari yang dipinta. Dah, tak reti2 lagi nak wat solat tarawikh ker?"

August 2, 2010

Jangan Biarkan Surau Ini Roboh


Jangan Biarkan Surau Ini Roboh (JBSIR)...

Kiranya masih ada yang bertanya tentang maksud sebenar cinta, Taufiqurrahman al-Azizy mungkin boleh memberi jawapannya. JBSIR tampil dengan jalan cerita yang sangat murni apabila tema kehidupan desa bersama karektor2 desa yang sangat biasa. Sebagai pembaca, aku amat terbuai dengan suasana desa yang sangat suci, asas dan alami. Apabila Ibrahim, seorang pemuda desa yang masih mentah berdepan dengan soal cinta. Lantunan persoalan cinta ini benar2 mampu mengetuk hati khalayak apabila soal cinta kepada Allah adalah kemuncak cinta sejati yang tiada tara.

Bermula dengan kisah Ibrahim sebagai anak bongsu yang serba sederhana tidak mendapat perhatian selayaknya oleh kedua orang tua, berbanding Yusuf, sang abang yang jauh lebih gagah, tampan dan bermulut manis. Ibrahim terlalu lugu terutama pabila berdepan dengan soal cinta, sering tewas dalam hal bercinta sehinggakan sang abang telah merampas gadis impiannya, Partinah dan kemudiannya Sarah. Tidak hanya soal cinta kepada wanita, Ibrahim juga diduga dengan soal cintanya kepada Kiyai Ahmad, imam tua di surau uzur. Apabila si ibu sangat terasa bahawa cinta dan sayang Ibrahim sering mengatasi kecintaan kepada orang tuanya, Ibrahim diusir dari rumah.

Tetapi soalan paling besar menanti Ibrahim ialah memastikan surau peninggalan Kiyai Ahmad dari roboh dan dirobohkan. Ah, masakan insan sekerdil Ibrahim, yang tidak sekacak Yusuf, yang hanya bercita2 kecil, yang tidak pandai memujuk dan merayu, bahkan tidak berjaya seperti abangnya, Yusuf mampu menunaikan amanah sang Kiyai?

Rupanya Allah maha bijaksana dalam setiap perancanganNya. Segala dugaan, cabaran, kekalahan, kecelakaan, kekecundangan hamba adalah demi memerdekakan jiwa Ibrahim, mendewasakan dan menjadikan jiwanya besar. Sungguh pun Ibrahim akhirnya berjaya membawa pulang kejayaan dengan menebus kembali tanah surau dan mendirikan semula Surau Kiyai Ahmad, tetapi ujian terbesar tetaplah di dalam hati. Hati mana yang sanggup menerima takdir apabila kekasih hatinya dirosakkan oleh abang kandungnya sendiri. Sesungguhnya Allah benar2 telah mendidik Ibrahim agar berjiwa besar dengan memaafkan kesalahan manusia, berkorban demi manusia yang pernah menganiayainya dan menunaikan takdir buat dirinya.

Ah, jika kita mampu merajai cinta seperti Ibrahim, tiada azab dirasakan menyiksakan, kerana untuk menjadi seorang insan agung, kita harus mampu mempunyai hati yang besar...