October 13, 2015


Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Mengangkat sebuah naskah agung, lebih-lebih lagi karya Hamka memerlukan keberanian yang teguh, kalau bukan tindakan berani mati. Bayangkan sahaja naskah ini pernah diadaptasi ke pentas teater berkali-kali di tanah airnya, namun keberanian inilah yang harus saya puji dan khususkan kepada team produksi Istana Budaya (IB), Generasi Seni Malaysia (GenSem) dan CTRA Production di dalam pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (TKVDW).

Pengharapan dan ekspektasi saya tinggi terhadap produksi ini. TKVDM sendiri membawa nama yang besar dalam persuratan Melayu, apatah lagi dibawa ke Kuala Lumpur dan dipentaskan di IB yang bertaraf internasional. Nampaknya semangat berani mati ini bukan hanya terhenti setakat mementaskan karya, bahkan pemilihan pengarah muda Saudara Azhar Zainal dan pemilihan pelakon-pelakon baru juga melengkapkan aksi ini. Mulanya saya sedikit skeptikal dengan bakat Amar Bahrin mendukung watak utama Zainudin aka Sabir. Zainudin punya karisma besar sebagai pemain utama, anak dagang berdarah campuran (Minangkabau-Bugis) atau beberapa kali dipanggil ‘anak pisang’. Zainudin juga pejuang tegar ilmu agama dan penulis kreatif. Bahkan Zainudin juga pencinta sejati dan pujangga seni. Namun watak hampir sempurna (almost perfect) Zainudin juga disempurnakan dengan ‘kekurangan’ darjat dan harta. Layakkah Amar Bahrin selaku pucuk muda dalam dunia teater negara mendukung watak ‘hampir sempurna’ ini?

Bukan itu sahaja kendala Amar, dia bahkan digandingkan dengan pelakon kelas multi talented, Nabila Huda. Nabila dilihat lebih relaks dan terampil sebagai Hayati. Kelancaran tutur kata serta lontaran suaranya sering kelihatan sesuai dengan babak dan suasana. Bahkan, beberapa bait kata Hayati begitu mudah melekat di ingatan umpamanya, “…kerana hujan bukan sahaja membawa basah, bahkan juga membawa rahmat.”

Kendati, saya melihat kesungguhan Amar di dalam menguasai skrip yang sarat dengan nuansa penulisan klasik, bait dan untaian sastera Hamka yang penuh indah dan tersusun. Lagi-lagi semasa Zainudin sarat merindui Hayati selepas pernikahannya. Babak itu begitu terkesan, apabila Zainudin melihat inai di jari Hayati dan berkata, “Engkau bukan lagi siapa-siapa buatku, bukan tunangan, bahkan engkau isteri orang. Pergilah tinggalkan saya.”

Dan semestinya kekuatan watak Zainudin tidak mampu berdiri sendiri tanpa bantuan watak Muluk yang didukung juga oleh pemain baru, Syahrul Ridzwan. Sungguhpun berperan sebagai sampingan, Muluk adalah side kick Zainudin waktu susah mahupun senang. Muluk diibarat teman sehidup semati Zainudin kerana hanya dia yang memahami hidup matinya jiwa Zainudin. Pujian juga buat Syahrul yang mampu menguasai skrip dan menghayati Muluk tanpa kelihatan berlebih lebihan.

Bagi watak Aziz yang dilakonkan oleh Karl Shafek, masih banyak improvement yang perlu dilakukan. Produksi sebesar ini pastinya menuntut kesempurnaan penguasaan skrip, kerana rata-rata penonton telah mengenali TKVDW lewat pembacaan novel dan prosa kata yang sedikit klasik seolah menghambat kelancaran Karl. Intonasi suara juga masih boleh diperbaiki terutama ketika babak marah yang mana Aziz kedengaran seolah menjerit berbanding ‘teriak’. Pun begitu, Amyra Rosli harus diberi lebih peluang untuk mengembangkan wataknya. Bermain bersama Liza Abdullah, Amyra sebagai Khatijah hanya muncul ‘sekali-sekala’ dan kurang ke tengah.

Berkait dengan penggunaan props dan teknikal, secara keseluruhannya, sang sutradara telah berusaha membangkitkan nuansa desa dan kota dengan agak baik. Dengar-dengarnya produksi telah membelanjakan separuh daripada bajet RM2.4 juta bagi tujuan teknikal. Namun sedikit upset di dalam penggunaan latar yang kelihatan sangat artificial. Saya pernah menyaksikan beberapa pementasan dan saya yakin IB mampu menyediakan technicality yang lebih canggih dan mengagumkan. Sementelah kumpulan produksi menyasarkan golongan muda bagi karya ini, faktor kecanggihan hendaklah diambil kira, kalau bukan dititik beratkan, terutama di dalam babak tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Mungkin sahaja boleh ditumpukan kepada bahagian kapal yang menempatkan Hayati menjadi hancur berantakan dan bukan sekadar ‘berguling-gulingan’ di atas lantai. Bukankah tenggelamnya Kapal Van Der Wijck itu kemuncaknya cerita?